W3C   High Contrast View +-(reset)         eMaklumbalas  |   Manual  |  Log Masuk Infocenter (Single Sign On)    
Bahasa lain  

Kursus Serantau Pengurusan and Teknik Pemulihan Hutan Paya Laut

Print Friendly
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah berjaya melaksanakan Kursus Serantau Pengurusan dan Pemulihan Hutan Paya Laut (Regional Training Workshop on Mangrove Management and Restoration Techniques) pada 26–29 Julai 2010 yang melibatkan 20 peserta yang terdiri daripada pegawai serta pakar bertanggungjawab dalam pengurusan hutan paya laut dan persisiran pantai di rantau Laut Merah dan Teluk Aden.  Dianjurkan bersama Pertubuhan Antarabangsa Pendidikan, Saintifik dan Budaya Islam (ISESCO), dan Regional Organisation for the Conservation of the Environment of the Red Sea and Gulf of Aden (PERSGA), bengkel ini diadakan untuk memperkasakan keupayaan para peserta dalam pemulihan serta pengurusan kelestarian hutan paya laut di rantau tersebut.  Dalam kursus yang berlangsung selama empat hari ini, peserta telah didedahkan kepada pelbagai strategi, kaedah serta teknik yang digunakan dalam pengurusan serta usaha pemulihan hutan paya laut di Malaysia.  Para penyelidik FRIM telah memberi gambaran keseluruhan tentang usaha pemuliharaan dan penggunaan lestari hutan paya laut di negara ini serta membentangkan hasil-hasil penemuan yang berkaitan penilaian hutan paya laut melalui penggunaan teknologi penderiaan jauh (remote sensing), pemulihan hutan laut di pesisiran pantai terhakis melalui teknik penanaman inovatif spesies-spesies tertentu, kajian profil tanah paya laut, penyerapan karbon dan impak perubahan iklim terhadap paya laut, serta ekonomi sosial dan penglibatan masyarakat tempatan dalam usaha pemuliharaan hutan bakau.  Terdapat juga beberapa penceramah jemputan dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM). Antara topik-topik yang dikemukakan pada dua hari pertama bengkel ini adalah pengurusan hutan paya laut di Matang, inisiatif penanaman bakau dan spesies yang sesuai di persisiran pantai, hakisan pantai dan amalan mitigasi di Malaysia, serta penilaian hidraulik di kawasan penanaman semula paya laut.  Penyelaras Programme Sumber Hidupan Laut PERSGA, Dr Ahmed S.M. Khalil turut membentangkan status paya laut dan pemulihan di Laut Merah dan Teluk Aden. Antara lain, Dr Waqar Ahmed telah mengemukakan isu-isu serta ancaman terhadap hutan paya bakau di Pakistan; sementara En. Ashraf Kamal berkongsi hasil penemuan kajian penanaman Gray Mangrove (Avicennia marina) dengan gabungan akuakultur di negara-negara Arab (UAE); dan En. Badar Al Bulushi memberi keterangan tentang “Mangrove Transplanting Project” di Oman.  Selain daripada itu, terdapat juga sesi perbincangan terbuka di antara peserta dan penyelidik FRIM untuk membicarakan soalan-soalan serta isu-isu berkaitan pemuliharaan hutan paya laut pada pengakhiran hari kedua bengkel.  Program bengkel ini turut merangkumi dua sesi lawatan lapangan ke plot kajian teknik penanaman inovatif spesies bakau di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor pada 28 Julai, dan ke Hutan Simpan Paya Laut Matang, Kuala Sepetang, Perak, pada 29 Julai.  Para peserta diberi taklimat serta demonstrasi teknik penanaman inovatif serta kajian pengumpulan sampel tanah di plot eksperimen Sungai Haji Dorani. Di Matang pula, mereka diberi taklimat berkenaan pengurusan hutan simpan tersebut dan dibawa melawat  kawasan penebangan lapang (felling area), plot penanaman semula hutan paya laut serta kilang pembuatan kayu arang.
VN:F [1.9.22_1171]
Rating: 0.0/5 (0 votes cast)
       +(reset)-