FRIM jalin kerjasama dengan institut penyelidikan hutan China
1 September 2012 (Sabtu): Institut Penyelididkan Perhutanan Malaysia (FRIM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Tropika (RITF) Akademi Perhutanan China (CAF) bagi menjalin dan mengukuhkan kerjasama di antara kedua-dua pihak dalam bidang penyelidikan perhutanan dan hutan ladang.
MOU ini turut merangkumi penumpuan kepada aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pelanjutan efektif perhutanan tropika dan pembangunan hutan ladang untuk spesies pokok hutan bernilai yang terpilih; Eurycoma longifolia (Tongkat ali), Santalum album (kayu Cendana) dan spesies Eucalyptus (Kayu putih) termasuk hibrid.
Perjanjian ini ditandatangani di Guangzhou, China oleh Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod yang mewakili Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB) dan Dr. Xu Daping selaku Pengarah RITF-CAF. Majlis ini diadakan bersempena dengan Perhimpunan Agung Persatuan Institusi-Institusi Perhutanan Asia Pasifik (APAFRI) serta Majlis Penyampaian Anugerah Penyelidikan Perhutanan Dr. Y.S. RAO 2012.
Abd Latif berkata RITF-CAF merupakan sebuah institusi yang mempunyai keupayaan tinggi melaksanakan penyelidikan sains dan perhutanan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa; khususnya projek penyelidikan merentasi-wilayah dan pembangunan ladang hutan.
RITF yang ditubuhkan pada 1962 merupakan salah sebuah institusi pengajian di bawah Akademi Perhutanan China yang menumpu kepada penanaman, perlindungan, penggunaan, dan pengurusan hutan tropika secara lestari. Institusi ini telah banyak menyumbang kepada kemajuan pembangunan ladang spesies pokok hutan yang bernilai (Valuable Tree Species (VTS) di China sejak penubuhannya.
“Harapan saya agar kerjasama ini akan mempercepatkan pembangunan ladang perhutanan, aktiviti pemilihan spesies, dan produktiviti ladang hutan di Malaysia,” tambah beliau.
Abd Latif telah dilantik semula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif APAFRI untuk satu penggal lagi dari 2012 hingga 2015. Keputusan itu telah diumumkan di Perhimpunan Agung APAFRI yang ke-enam pada 31 Ogos 2012.
Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi APAFRI pada kali pertama semasa Perhimpunan Agung APAFRI yang ke-Iima di Kuala Lumpur pada 4 Oktober 2009.

















