W3C   High Contrast View +-(reset)         eMaklumbalas  |   Manual  |  Log Masuk Infocenter (Single Sign On)    
Bahasa lain  

Pengenalan

Print Friendly
 

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) merupakan antara institusi terulung dalam penyelidikan perhutanan tropika, dalam dan luar negara. Diasaskan oleh seorang saintis perhutanan berbangsa British pada tahun 1929, FRIM yang dahulunya dikenali sebagai Institut Penyelidikan Perhutanan (IPP) merupakan institusi penyelidikan perhutanan terawal di Malaysia dengan Dr. W. Foxworthy sebagai ketua pegawai penyelidiknya yang pertama. FRIM kemudiannya menjadi sebuah badan berkanun di bawah Akta Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia pada tahun 1985 dan diletakkan di bawah Kementerian Perusahan Utama sebelum berpindah ke Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada tahun 2004.

Terletak di Kepong sejauh 16 km barat laut Kuala Lumpur dengan keluasan 544.3 hektar, ia di kelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong. (Institut ini juga telah dinobatkan sebagai mempunyai sistem pengurusan yang berkualiti MS ISO 9001:2008) dan diketuai oleh Ketua Pengarah Dato’ Dr. Abdul Latif Mohmod.

FRIM menggalakkan pengurusan secara berkekalan dan penggunaan optimum sumber-sumber hutan dengan menjana pengetahuan dan teknologi melalui penyelidikan, pembangunan dan aplikasi. Kepakaran kakitangannya dalam pelbagai bidang serta keupayaan memenangi anugerah penyelidikan dan kerjasama di peringkat antarabangsa telah membolehkan FRIM menempah nama dalam bidang perhutanan tropika.

Terdapat lima bahagian penyelidikan di FRIM iaitu Bahagian penyelidikan adalah Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Bahagian Bioteknologi Hutan, Bahagian Biodiversiti Hutan, Bahagian Hasilan Semulajadi dan Bahagian Keluaran Hutan. Bahagian Perhutanan menyediakan data, standard dan garis panduan untuk mengurus hutan asli secara berkekalan. Bahagian Pembangunan Produk pula bertumpu kepada perkembangan industri perhutanan, manakala Bahagian Bioteknologi bertanggung jawab untuk menghasilkan bahan tanaman baru melalui kejuruteraan genetik.

Antara servis yang disediakan di Institut ini ialah arboretum yang menjadi rujukan dalam pendidikan perhutanan, herbarium yang dibangunkan pada tahun 1908 dengan koleksi melebihi 200,000 spesimen, kursus latihan yang meliputi bidang landskap sehingga ke pengenalan kayu, pembuatan produk rotan dan buluh, nurseri pokok, perpustakaan dan kemudahan mengendalikan seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Institut ini juga menawarkan pelbagai kemudahan untuk penyelidikan, termasuk mengurus 7 stesen penyelidikan yang mewakili hutan-hutan tertentu di pelbagai lokasi di seluruh negara.

Pakej melawat hutan yang ditawarkan memberi peluang untuk aktiviti luar seperti rekreasi dan pendidikan umum. FRIM turut merupakan lokasi yang begitu popular kepada mereka yang gemar berkelah, berlari, berbasikal, di samping pelancong serta mereka yang mengkaji alam semula jadi. Tidak ketinggalan, FRIM juga terkenal sebagai tempat untuk mengadakan hari keluarga, pertandingan mencari harta karun, berkhemah, meninjau burung, menjelajah hutan dan sesi fotografi. Tempat yang pada mulanya merupakan sebuah kawasan terbiar lama bekas perlombongan, yang kemudiannya bertukar menjadi kebun sayur, kini merupakan satu destinasi hutan yang bebas daripada pencemaran, dengan udara yang lebih sejuk dan nyaman.

VISI
Menjadikan FRIM sebuah institusi penyelidikan hutan tropika yang bertaraf dunia

MISI
Mencapai kecemerlangan dalam penyelidikan saintifik, pembangunan dan perkhidmatan sector perhutanan.
Objektif Umum FRIM adalah untuk:
  • Menjana pengetahuan saintifik bagi pemahaman, pengurusan dan penggunaan sumber hutan
  • Mencapai kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan dengan penggunaan alat saintifik terkini
  • Mengkaji kepelbagaian biologi bagi menghasilkan produk berguna melalui penyelidikan dan pembangunan yang intensif
  • Memajukan teknologi berkaitan bagi memenuhi keperluan industri perhutanan
  • Mempakejkan hasil penyelidikan dan pembangunan untuk disebar kepada pelanggan
  • Mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan melalui pemindahan teknologi kepada pihak yang berminat
  • Menyediakan perkhidmatan cemerlang untuk memenuhi kepuasan pelanggan
  • Mewujudkan kerjasama strategik dengan agensi tempatan dan antarabangsa
  • Meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan alam sekitar dan pemuliharaan kepelbagaian biologi hutan
Objektif Operasi FRIM adalah untuk:
  • Menyediakan program pembangunan sumber manusia bagi melahirkan golongan saintis yang berwibawa dan kompeten
  • Menyediakan suasana kerja yang kondusif bagi menggalakkan cetusan idea di kalangan saintis dan perhubungan lebih rapat dengan pelanggan
  • Menyebarkan hasil teknologi, penyelidikan serta memberi perkhidmatan nasihat dan teknikal yang tepat dan profesional
  • Menyediakan penyelesaian praktikal kepada masalah berkaitan pengurusan dan penggunaan sumber dan hasil hutan
  • Menyediakan kemudahan dan memberi perkhidmatan profesional dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap alam sekitar
FUNGSI
  • Merancang dan melaksanakan penyelidikan bagi pembangunan sektor perhutanan dan pemuliharaan sumber hutan.
  • Memperoleh dan menyebarkan maklumat hasil penyelidikan bagi meningkatkan pengurusan hutan dan penggunaan hasil hutan
  • Mengadakan hubungan kerjasama penyelidikan dan pembangunan perhutanan dengan badan-badan dalam dan luar Malaysia
DASAR KUALITI KORPORAT

FRIM komited menyediakan perkhidmatan penyelidikan dan perkhidmatan sokongan berkaitan dengan cekap dan berkesan bagi memenuhi keperluan pelanggannya. Kami akan memastikan semua yang bekerja dengan kami bersama-sama bertanggungjawab dan mematuhi standard kualiti yang telah ditetapkan. FRIM akan melaksanakan penambahbaikan berterusan bagi meningkatkan keberkesanan sistem berkaitan.



DASAR KUALITI OPERASI
Kami di FRIM bertanggungjawab:
  • menjalankan penyelidikan dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti secara profesional bersesuaian dengan keperluan dan jangkaan pelanggan dalam bidang perhutanan tropika dan keluaran hutan,
  • melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) secara berkesan untuk skop perkhidmatan penyelidikan, latihan, ujian & tentukuran, jualan, sewaan, perundingan dan khidmat nasihat yang memenuhi keperluan ISO 9001,
  • memantau keberkesanan pelaksanaan SPK melalui maklum balas yang diterima daripada pelanggan,
  • memastikan peningkatan secara berterusan ke atas objektif kualiti yang sedia ada melalui tindakan pembetulan dan pencegahan berdasarkan hasil analisis petunjuk kualiti yang dilakukan secara konsisten dan menyeluruh,
  • memastikan semua prosedur dan perkhidmatan yang disediakan untuk pelanggan melalui proses penyemakan agar standard yang ditetapkan dapat dicapai,
  • memastikan sebarang kegagalan dalam mencapai standard yang ditetapkan akan disemak dan dinilai untuk digunakan sebagai rujukan dalam proses peningkatan berterusan,
  • memastikan dasar ini difahami oleh kakitangan FRIM melalui taklimat, mesyuarat dan pameran poster, dan
  • memastikan setiap kakitangan FRIM melaksanakan polisi dan prosedur dalam semua aspek perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.
Pengenalan, 3.7 out of 5 based on 6 ratings
       +(reset)-