FRIM, UTP meterai perjanjian MoU

Ditulis oleh Corporate Management Unit pada . Ditulis dalam Berita & Acara





22 November 2013 (Jumaat) - Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam mempromosikan pengurusan hutan mapan (SFM) dan penggunaan optimum sumber-sumber hutan melalui aplikasi pengetahuan dan teknologi yang dihasilkan melalui aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Majlis menandatangani perjanjian ini telah dimeterai oleh Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, yang mewakili Lembanga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB), dan Naib Canselor UTP, Datuk Ir (Dr) Abdul Rahim Hashim, di kampus UTP di Bandar Seri Iskandar, Tronoh , Perak, semalam.

Abdul Rahim berkata, terdapat empat spesies pokok terancam dalam kampus UTP seluas 1000- ekar, iaitu Vatica flavida (resak padi), Shorea hemsleyana (cengal pasir daun besar), Shorea macrantha (kepong hantu) and Aquilaria malaccensis (karas).

“Keempat-empat spesies ini dianggap sebagai warisan negara dan FRIM telah memberi sokongan kepada UTP dengan membuat lawatan sebulan sekali untuk memeriksa dan pada masa yang sama, memulihara pokok-pokok ini. Melalui kerjasama ini, UTP memberi akses kepada FRIM untuk masuk ke kawasan hutan ini untuk menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan hasilnya akan dikongsi dengan masyarakat UTP pada masa depan,” katanya.

Beliau juga berharap inisiatif ini akan membantu meningkatkan kesedaran masyarakat kampus UTP tentang betapa pentingnya pemuliharaan spesies dan habitat terancam, serta faedah pemulihan tanah terosot.

Abd Latif berkata usahasama ini adalah selaras dengan misi FRIM untuk membangunkan pengetahuan dan teknologi yang sesuai bagi pemuliharaan, pengurusan, pembangunan dan penggunaan sumber-sumber hutan dan hasrat mencapai kecemerlangan dalam sains R&D dan pemindahan teknologi dalam sektor perhutanan.

“Pengalaman hampir satu abad menjalankan R&D dalam bidang perhutanan dan keluaran hutan telah membolehkan FRIM memainkan peranan penting dalam perlindungan dan pemuliharaan sumber alam semula jadi Malaysia. Ianya telah memperkasakan keupayaan kami untuk melaksanakan pengurusan sumber hutan secara mampan dan menangani kebimbangan terhadap kehilangan biodiversiti serta kerosakan alam sekitar semula jadi di peringkat kebangsaan dan global,” katanya.

Abd Latif berkata penyelidikan pemuliharaan tumbuhan di UTP bermula pada 2007 apabila FRIM memulakan carian spesies dipterokap terancam iaitu Dipterocarpus semivestitus (keruing padi), dan ini membawa kepada penemuan tiga spesies terancam yang lain di dalam kampus Sri Iskandar Universiti Teknologi Mara (UiTM ) dan UTP.

“Usaha kami untuk menyelamatkan spesies pokok yang jarang ditemui dan terancam telah menghasilkan penemuan 44 pokok karas (Aquilaria malaccensis) antara tahun 2011 dan 2013. Pemintaan terhadap pokok karas liar amat tinggi kerana nilai gaharu yang mahal, dan suka kami nyatakan bahawa UTP mempunyai pokok-pokok yang sihat dan tidak rosak,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Kewangan UTP, Hasbullah Ihsan; Ketua Cawangan Pemuliharaan dan Biodiversiti Informatik FRIM, Dr Lillian Chua; Ketua Unit Pengurusan Korporat, Norhayati Nordin; dan Penyelaras Pusat Penanaman Semula Hutan Bekas Lombong Timah, Dr Ang Lai Hoe.



.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre