Latar Belakang dan Justifikasi

Kebimbangan terhadap kesan mudarat yang timbul akibat penggunaan bahan kimia sintetik dan juga tanggapan yang tersasar terhadap produk-produk berasaskan semulajadi telah melahirkan suatu era yang dikenali sebagai `herbal renaissance’ atau green wave pada 1980an. Permintaan terhadap produk-produk berasaskan bahan semulajadi meningkat secara mendadak dan para pengusaha seluruh dunia berlumba-lumba menghasilkan pelbagai produk yang didakwa berasaskan bahan semula jadi untuk pelbagai tujuan seperti penjagaan kesihatan tambahan (suplemen), ubat-ubatan, kosmetik dan penjagaan diri (toiletries). Di Amerika contohnya, permintaan terhadap produk kosmeseutikal sahaja meningkat hampir 11% setiap tahun dan dijangka bernilai bernilai USD 7 billion pada 2008. Malah di Malaysia sendiri, industri pasaran produk berasaskan herba dianggar bernilai lebih kurang RM 4.5 billion dan dijangka terus meningkat.

Malaysia dalam hal ini amatlah beruntung memandangkan kelebihan-kelebihan yang dimiliki. Kekayaan sumber semula jadi selaku salah satu dari dua belas pusat megadiversiti dan juga asimilasi amalan dan pengetahuan etnobotani masyarakat majmuk yang unik lagi tersendiri. Anugerah alam yang tidak ternilai ini sewajarnya dimanfaatkan untuk menjana sumber kekayaan baru negara. Justeru kerajaan Malaysia telah memulakan inisiatif ke arah merealisasikan hasrat berkenaan dengan memperkenalkan beberapa dasar penting seperti Dasar Pertanian Negara 3 (1998-2010), Dasar Perhutanan Negara, Dasar Kepelbagaian Biologi (Biodiversiti) Kebangsaan dan Dasar Bioteknologi Kebangsaan yang secara langsung menyokong pembangunan industri ini. Malah penubuhan beberapa kumpulan contohnya MIG Farmaseutikal (1995) dan MIG Herbal (1997) di bawah Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan Program Tumbuhan Ubatan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) (1995) yang diberi mandat secara langsung untuk memeta dan mengkordinasikan kemajuan industri herba negara.

Namun di sebalik kesedaran berkenaan, di Malaysia, pasaran herba dan ubatan tradisional lebih dikuasai oleh produk yang diimport dari luar negara seperti Indonesia, China dan India. Berbekalkan amalan zaman berzaman disamping farmakopia sebagai dokumen rujukan yang lengkap, ubatan herba di ketiga-tiga negara berkenaan merupakan suatu yang sudah sangat lazim dan bertapak kukuh di negara-negara berkenaan. Justeru adalah tidak menghairankan sekiranya produk-produk herba negara-negara tersebut mendominasi pasaran tempatan.

Langkah-langkah proaktif perlu diambil untuk menggerak dan memajukan industri herba tempatan. Usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (P&P) yang dilaksanakan oleh saintis tempatan selama ini telah mula menunjukkan hasil yang boleh dibanggakan namun kerap kali penemuan tersebut terhenti setakat di skala makmal. Justeru telah tiba masanya untuk kesemua yang terbabit dalam industri herba untuk berganding bahu dan memperbaharui iltizam untuk sama-sama memanfaatkan khazanah alam yang tidak ternilai ini secara bersistematik dan lebih bermakna.

 

PEMBANGUNAN PRODUK-PRODUK BERASAS HERBA BERNILAI TINGGI UNTUK DIKOMERSILKAN

Program Tumbuhan Ubatan FRIM semenjak penubuhan pada 1995 sehingga kini telah terlibat secara langsung dengan pelbagai aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (P&P) berkaitan herba. Mengambil pendekatan bersepadu gabungan saintis yang terdiri daripada pelbagai kepakaran sehingga kini telah berjaya menghasilkan banyak penemuan yang dijangka dapat memajukan industri herba tempatan. Berlandaskan dari penemuan terdahulu, kumpulan penyelidik mencadangkan kajian lanjutan dilaksanakan terhadap pembangunan produk-produk herba yang bukan sahaja berkualiti, selamat malah terbukti keberkesanannya (kemujarabannya) selaras dengan prasyarat yang telah yang telah dan akan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Penghasilan produk-produk herba yang terbit dari aktiviti P&P bukan sahaja mempunyai nilai yang tinggi malah dijangka meningkatkan intergriti industri herba tempatan.

Produk-produk yang dicadangkan adalah merupakan formulasi produk-produk berasas herba untuk kegunaan industri kosmetik dan industri farmaseutikal berupa sabun, krim, shampoo, tablet atau cecair disinfektan, cecair pencuci / bilasan, malah jus dan juga teh herba.

(i) Sasaran produk-produk yang diformulasi untuk kegunaan kosmetik dan penjagaan diri adalah outlet-outlet berasaskan kecantikan dan penjagaan diri seperti saloon-saloon kecantikan, pusat spa dan sauna.

(ii) Sasaran produk-produk yang diformulasi untuk kegunaan farmaseutikal lebih menjurus kepada kegunaan sektor kesihatan seperti hospital dan klinik.

 

PIHAK YANG BOLEH MENDAPAT MANFAAT DARI PROJEK (MANFAAT SECARA LANGSUNG DAN TIDAK LANGSUNG)

a) Industri Farmaseutikal : Formulasi antiinfektif yang baru sebagai alternatif atau tambahan kepada agen yang sedia ada. Kepelbagaian agen yang boleh digunakan secara tidak langsung mampu mengekang atau melambatkan proses keresistanan. Produk-produk antiseptik dan disinfektan untuk pelbagai kegunaan (sabun antiseptik, busa cucian antiseptik, formulasi bilasan tiub/katater dan disinfektan)

b) Industri Kosmetik : Produk-produk bernilai tinggi berasas herba yang mampu memenuhi kehendak pengguna masa kini.

c) Usahawan Industri Kecil Sederhana (SMI): Produk-produk berasas herba bernilai tinggi untuk dikomersilkan bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga antarabangsa.

d) Sektor Pertanian : Mempelbagaikan spesies herba yang berpotensi maju untuk diperkenalkan sebagai tanaman ladang.

e) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) : Peningkatan ilmu dan kemahiran pegawai / kakitangan institut dalam bidang penerokaan sumber semula jadi sebagai agen kosmeseutikal dan terapeutik.

 

Perancangan Penyelidikan

a) Pengumpulan dan Penyediaan Ekstrak Herba Terpiawai

Spesies herba yang sahih identitinya akan diekstrak komponen aktif bagi penghasilan ekstrak terpiawai (standardized extract) yang bernilai tinggi untuk dievaluasi dan divalidasi potensinya. Fasa ini memenuhi keperluan aspek kualiti yang digariskan oleh Kem. Kesihatan Malaysia (KKM). Unit sumber biologi dan unit fitokimia Program Tumbuhan Ubatan FRIM dilengkapkan dengan saintis dan prasarana yang perlu untuk melaksanakan penyelidikan ini.

b) Validasi Kesesuaian Potensi Herba untuk Formulasi Produk

Ekstrak herba terpiawai yang dipilih akan menjalani saringan evaluasi dan validasi potensi untuk memastikan kesesuaiannya dengan produk yang ingin dihasilkan samada untuk kegunaan kosmetik (pencerah kulit, antimicrobial, potensi pengawetan dan lain-lain seumpamanya) atau pun untuk kegunaan farmaseutikal (antiseptik, disinfectant, makanan tambahan dan lain-lain seumpamanya). Unit Bioaktiviti Program Tumbuhan Ubatan FRIM dilengkapkan dengan saintis dan prasarana yang perlu untuk melaksanakan lebih daripada 20 jenis pencerakinan berbeza merangkumi validasi potensi antimicrobial, antioxidant, antiinflammatory, antidiabetic, skin whitening, biopesticidal, dan preservative potential sebagai bukti saintifik untuk pembangunan produk yang bersesuaian.

c) Formulasi Produk-produk Herba Bermutu Tinggi

Kajian formulasi : Mencipta dan menilai kesesuaian formulasi bagi produk-produk yang pelbagai (busa, sabun, krim, larutan bilasan) untuk kegunaan yang berbeza (krim pencerah kulit / shampoo bersifat antiseptik, disinfektan dsb) Unit Formulasi dan Pembangunan Produk Program Tumbuhan Ubatan FRIM dilengkapkan dengan saintis dan prasarana yang perlu untuk melaksanakan penilaian terbabit.

d) Penilaian keberkesanan dan tahap keselamatan

(i) Kajian keberkesanan / kemujaraban: Membandingkan keberkesanan pelbagai formulasi dari (a) dengan aktiviti biologi sebatian yang asal Dilaksanakan oleh saintis dari unit bioaktiviti, fasa ini memenuhi keperluan efikasi (kemujaraban) yang akan dikuatkuasakan oleh KKM pada sedikit masa lagi.

(ii) Penilaian tahap keselamatan produk yang dibangunkan dilaksanakan melalui beberapa ujian iaitu:

• Toksisiti : menggunakan model pada peringkat sel dan haiwan

• Tahap kandungan mikrob (microbial load test)

• Analisis logam berat

 

HAK MILIK ‘INTELLECTUAL PROPERTY RIGHTS’ PROJEK

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) & Badan Pembiaya Projek

 

Kesimpulan

Produk berasas herba yang memenuhi keperluan-keperluan dari aspek kualiti, selamat dan terbukti berkesan/mujarab mempunyai nilai pasaran yang tinggi dan semakin dihargai oleh masyarakat pengguna. Penghasilan produk herba yang berintergriti tinggi ini pastinya memerlukan sokongan dan dokongan daripada data-data yang dijana melalui aktiviti–aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang holistik sifatnya. Inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi selaku institusi penghubung antara saintis dengan usahawan dilihat sebagai suatu strategi serampang dua mata bagi memangkin kemajuan industri herba negara. Saintis dibantu melalui saluran dana untuk menterjemahkan hasil penyelidikan mereka ke produk-produk bernilai tinggi. Usahawan dibawah naungan Kementerian pula berpeluang memanfaatkan teknologi atau produk bernilai tinggi yang dibangunkan berkenaan sebagai komoditi untuk dikomersilkan.