Brownlowia latifiana, spesies baharu sempena KP FRIM

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

Pokok dungun latif di habitat semula jadi.

5 April 2018 (Khamis) – Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod sekali lagi mencatat sejarah apabila nama beliau diabadikan sempena satu spesies pokok baharu yang ditemui di negeri Terengganu.

Brownlowia latifiana atau dungun latif daripada famili Malvaceae-Brownlowioideae telah ditemui ketika ekspedisi botani penyelidik FRIM ke Hutan Simpan (HS) Jerangau, Terengganu pada tahun 2009.

Brownlowia latifiana

Abd Latif memegang anak pokok Brownlowia latifiana di tapak semaian.

Spesies pokok ini telah dinamakan sempena Abd Latif sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam mendapatkan dana sebanyak RM7.6 juta untuk ‘Projek Melindungi Kepelbagaian Hutan Tumbuhan Semenanjung Malaysia’ di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan. Inisiatif serta usaha Abd Latif juga telah membolehkan FRIM menjadi satu-satunya institusi penyelidikan perhutanan yang mempunyai hakmilik ke atas tanah kampus seluas 544.3 ha daripada Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2007. Beliau turut menjadi perintis kepada usaha mendapatkan pengiktirafan untuk FRIM sebagai Tapak Warisan Semula Jadi pada tahun 2009 dan Warisan Kebangsaan (2012).

Pengumuman penamaan spesies turut dimeriahkan dan menjadi lebih bermakna dengan ulang tahun ke-10 pelantikan beliau sebagai KP FRIM; dan genap 33 perkhidmatan beliau di FRIM serta juga 33 tahun tertubuhnya FRIM sebagai sebagai badan berkanun pada tahun ini.

Buah muda (atas) dan jambak bunga spesies tersebut.

Dungun latif ialah pokok renek yang boleh mencapai ketinggian 15 m. Pokok ini ditemui tumbuh kira-kira 90 m di atas aras laut, di atas tanah liat berpasir dan aluvium di kawasan beralun serta tepi sungai di hutan dipterokarpa tanah pamah.

Spesies ini endemik kepada Semenanjung Malaysia dan disenaraikan sebagai Amat Terancam (Critically Endangered). Pokok ini hanya ditemui di HS Jerangau dan Sungai Jerangau di Dungun. Kedua-dua kawasan ini terletak di luar Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA). Kompatmen 95 HS Jerangau diklasifikasikan sebagai hutan pengeluaran yang pernah dibalak pada 1996 manakala Kuala Sungai Jerangau dikelilingi oleh perladangan pokok getah.

FRIM menjalankan usaha menyelamatkan spesies tumbuhan dari ancaman kepupusan melalui penubuhan kawasan pemuliharaan secara in situ di habitat asal tumbuhan atau ex situ yang melibatkan pemuliharaan sebahagian kecil germplasma di kawasan seperti taman botani dan arboretum.

Spesies-spesies baharu yang ditemui dinamakan sempena para penyelidik dan orang kenamaan yang telah banyak menyumbang kepada pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti sebagai satu usaha memperkenalkan spesies berkenaan kepada masyarakat sekaligus meningkatkan kesedaran akan kepentingan usaha pemuliharaan spesies serta habitat terutama bagi spesies terancam.

5 (100%) 4 votes
Print Friendly, PDF & Email

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast