FRIM organises first biodiversity talk

FRIM anjur ceramah biodiversiti mengenai pemuliharaan mamalia

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

Khali Aziz merasmikan ceramah tersebut.

17 April 2018 (Selasa) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan Ceramah Biodiversiti yang bertema, “Pemuliharaan Mamalia di Malaysia” semalam di Auditorium FRIM.

Dua orang pakar fauna terkenal iaitu, Dr Lim Boo Liat dan Prof. Dato’ Dr Tajudddin Abdullah telah membentangkan tajuk, ‘Pengalaman penyelidikan saya dari 1947 sehingga sekarang’ dan ‘Biodiversiti, biogeografi dan evolusi’ masing-masing.

Lim (kiri) dan Tajuddin menyampaikan pembentangan masing-masing

Lim yang merupakan bekas pakar zoologi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), dianggap sebagai perintis bidang zoologi di Malaysia. Beliau telah mendedikasikan kerjaya profesionalnya dalam penyelidikan bio-perubatan berkaitan haiwan kecil dan penyakit zoonotik seperti ‘scrub typhus’, leptospirosis dan penyakit hawar hitam (plague). Beliau juga merupakan perunding kehormat zoologi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia.

Khali Aziz (paling kiri) menyampaikan cenderahati kepada Tajuddin (kedua dari kiri) dan Lim (kedua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Chua (paling kanan).

Tajuddin merupakan pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), juga merupakan Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL).

Ceramah yang dirasmikan oleh Dr Khali Aziz Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FRIM ini dihadiri hampir 200 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), PERHILITAN, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, IMR, para penyelidik FRIM, pakar-pakar, ahli-ahli akademik, wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan universiti serta pihak umum.

Sebahagian daripada peserta di Auditorium FRIM.

Program anjuran Cawangan Zoologi Biodiversiti Hutan FRIM ini ialah yang pertama dalam satu siri Ceramah Biodiversiti yang akan diadakan untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan, pengalaman, status terkini dan hala tuju berkaitan isu-isu biodiversiti, ekologi dan pemuliharaan di Malaysia. Turut hadir, Dr Lillian Chua, Pengarah Biodiversiti Hutan FRIM dan

Khali Aziz (paling kiri) menyampaikan cenderahati kepada Tajuddin (kedua dari kiri) dan Lim (kedua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Chua (paling kanan).

Ketua Cawangan Zoologi, Mohammad Shahfiz Azman.

 

Gutta percha

Gutta percha, sejarah yang tidak diketahui ramai

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

Gutta percha

Pucuk pokok gutta percha.

12 April 2018 (Khamis) – Sejarah penubuhan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berhubung kait dengan spesies pokok yang aneh sebutannya, iaitu gutta percha/ pokok nyatoh taban merah yang pada suatu ketika dahulu amat berharga kepada Kerajaan British. Permintaan yang tinggi dan eksploitasi yang melampau terhadap pokok inilah yang mendesak Kerajaan British untuk memulakan pengurusan hutan serta penyelidikan perhutanan di Tanah Melayu British pada hujung abad ke-19 sehinggalah kepada penubuhan FRIM pada tahun 1985.

Permintaan tinggi spesies tersebut disebabkan oleh kegunaan getah pokok ini sebagai penyalut kabel dalam air semasa perkembangan pesat telekomunikasi antarabangsa pada pertengahan abad ke-19. Pengutipan getah gutta percha secara menebangkan seluruh pokok telah menyebabkan populasinya semakin berkurangan menimbulkan kebimbangan dan usaha untuk menjalankan penyelidikan perhutanan dimulakan bagi memastikan kelestarian spesies ini dan sumber hutan lain.

Abd Latif memerhatikan pertumbuhan pokok gutta percha di kampus FRIM.

Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata, “Penyelidikan perhutanan sangat penting dalam memastikan penggunaan sumber asli secara lestari untuk pemuliharaan khazanah hutan negara. Dalam aspek ini, FRIM sentiasa berusaha membantu pihak industri dalam membangunkan kaedah pengusahasilan secara lestari serta menggalakkan penghasilan produk menggunakan sumber bahan mentah alternatif.”

Produk yang dihasilkan daripada gutta percha: penyalut kabel (kiri) dan barang hiasan dalaman (sumber gambar: http://atlantic-cable.com/).

Pengurususan hutan merupakan tanggungjawab Pegawai Tanah pada 1895-1901 dalam pentadbiran Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States). Walau bagaimanapun, sejak 1901 Ketua Pegawai Hutan bertanggungjawab mentadbir hutan di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Jabatan Hutan yang pertama ditubuhkan di Johor pada 1920, diikuti dengan Kedah (1923), Kelantan dan Brunei (1933) serta Terengganu (1936) yang bertindak sebagai ‘Malayan Forest Service’. Dari situlah bermulanya sistem pengurusan hutan sehingga tertubuhnya Institut Penyelidikan Perhutanan (FRI) sebagai cawangan penyelidikan Jabatan Hutan dan penubuhan FRIM sebagai badan berkanun pada 1985.

‘Gutta’ bermaksud ‘getah’ dalam Bahasa Melayu manakala ‘percha’ itu nama pokok tersebut. Gutta percha atau nyatoh taban merah (Palaquium gutta) daripada famili Sapotaceae tergolong dalam kumpulan balak saiz sederhana yang dapat mencecah ketinggian 35 m. Spesies ini dijumpai di hutan tanah pamah di Semenanjung Malaysia, Singapura, Sumatera dan Borneo.

Gutta percha merupakan jenis kayu keras ringan adalah sesuai untuk pembuatan hiasan dalaman dan panel. Daunnya berwarna hijau kekuningan atau berkarat dengan urat-urat daun berwarna tembaga manakala bunganya berwarna putih bersaiz kecil.

Pokok ini mula mengeluarkan getah berwarna putih bila melebihi 15 tahun. Pada suhu bilik, getah gutta percha adalah keras namun apabila dipanaskan, bahan ini boleh dikepal-kepal menjadi pelbagai bentuk. Gutta percha mula-mula diperkenalkan di Eropah dan dipasarkan setelah diketahui memiliki sifat-sifat yang sesuai (senang lentur, tahan tekanan tinggi dan suhu dingin) untuk pembuatan penyalut dawai elektrik dalam air. Di samping itu, getahnya juga digunakan sebagai pelapis bola golf, dalam rawatan gigi serta menghasilkan genggaman pistol dan bahan perhiasan.

Pokok-pokok gutta percha tertua di kampus FRIM ditanam pada 1927. Ketinggian pokok-pokok tersebut ialah kira-kira 27–32 m dan mempunyai diameter berukuran 33-46 cm pada paras dada (dbh).

 

Brownlowia latifiana

Brownlowia latifiana, spesies baharu sempena KP FRIM

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

Pokok dungun latif di habitat semula jadi.

5 April 2018 (Khamis) – Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod sekali lagi mencatat sejarah apabila nama beliau diabadikan sempena satu spesies pokok baharu yang ditemui di negeri Terengganu.

Brownlowia latifiana atau dungun latif daripada famili Malvaceae-Brownlowioideae telah ditemui ketika ekspedisi botani penyelidik FRIM ke Hutan Simpan (HS) Jerangau, Terengganu pada tahun 2009.

Brownlowia latifiana

Abd Latif memegang anak pokok Brownlowia latifiana di tapak semaian.

Spesies pokok ini telah dinamakan sempena Abd Latif sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam mendapatkan dana sebanyak RM7.6 juta untuk ‘Projek Melindungi Kepelbagaian Hutan Tumbuhan Semenanjung Malaysia’ di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan. Inisiatif serta usaha Abd Latif juga telah membolehkan FRIM menjadi satu-satunya institusi penyelidikan perhutanan yang mempunyai hakmilik ke atas tanah kampus seluas 544.3 ha daripada Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2007. Beliau turut menjadi perintis kepada usaha mendapatkan pengiktirafan untuk FRIM sebagai Tapak Warisan Semula Jadi pada tahun 2009 dan Warisan Kebangsaan (2012).

Pengumuman penamaan spesies turut dimeriahkan dan menjadi lebih bermakna dengan ulang tahun ke-10 pelantikan beliau sebagai KP FRIM; dan genap 33 perkhidmatan beliau di FRIM serta juga 33 tahun tertubuhnya FRIM sebagai sebagai badan berkanun pada tahun ini.

Buah muda (atas) dan jambak bunga spesies tersebut.

Dungun latif ialah pokok renek yang boleh mencapai ketinggian 15 m. Pokok ini ditemui tumbuh kira-kira 90 m di atas aras laut, di atas tanah liat berpasir dan aluvium di kawasan beralun serta tepi sungai di hutan dipterokarpa tanah pamah.

Spesies ini endemik kepada Semenanjung Malaysia dan disenaraikan sebagai Amat Terancam (Critically Endangered). Pokok ini hanya ditemui di HS Jerangau dan Sungai Jerangau di Dungun. Kedua-dua kawasan ini terletak di luar Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA). Kompatmen 95 HS Jerangau diklasifikasikan sebagai hutan pengeluaran yang pernah dibalak pada 1996 manakala Kuala Sungai Jerangau dikelilingi oleh perladangan pokok getah.

FRIM menjalankan usaha menyelamatkan spesies tumbuhan dari ancaman kepupusan melalui penubuhan kawasan pemuliharaan secara in situ di habitat asal tumbuhan atau ex situ yang melibatkan pemuliharaan sebahagian kecil germplasma di kawasan seperti taman botani dan arboretum.

Spesies-spesies baharu yang ditemui dinamakan sempena para penyelidik dan orang kenamaan yang telah banyak menyumbang kepada pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti sebagai satu usaha memperkenalkan spesies berkenaan kepada masyarakat sekaligus meningkatkan kesedaran akan kepentingan usaha pemuliharaan spesies serta habitat terutama bagi spesies terancam.

FRIM celebrates IDF

FRIM sambut Hari Hutan Antarabangsa dan tubuh Taman Sinonim

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

FRIM celebrates IDF

Marzalina (kiri) dan Abd Latif menyampaikan ucapan masing-masing.

4 April 2018 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan sambutan Hari Hutan Antarabangsa (IDF) Peringkat FRIM dan Penubuhan Taman Sinonim di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Selandar, Melaka semalam.

Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah menyempurnakan majlis dengan penanaman pokok melaka (Phyllanthus emblica).

Program melibatkan staf FRIM dan wakil-wakil komuniti setempat.

Sejumlah 66 pokok daripada 33 spesies tumbuhan yang namanya sinonim dengan nama-nama tempat di Melaka ditanam oleh hampir 80 peserta dari FRIM dan wakil komuniti setempat termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, kampung-kampung serta badan-badan kerajaan terlibat dalam aktiviti menanam pokok.

Tiga puluh tiga spesies pokok yang dipilih sempena sambutan Ulang Tahun FRIM ke-33 tahun ini termasuk bidara (Ziziphus mauritiana) dan merlimau (Suregada multiflora). Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) FRIM bersama-sama komuniti setempat.

Wakil-wakil sekolah bergambar dengan Abd Latif (tengah) selepas menerima buku ‘Sinonim’.

Abd Latif berkata: “Program ini mengetengahkan kepentingan pemuliharaan hutan serta memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang kewujudan nama-nama tempat yang sinonim dengan nama tumbuhan.”

Dari kiri: Dasrul, Khali Aziz dan Abd Latif semasa majlis penanaman pokok.

Beliau yang merupakan pengarang utama buku FRIM bertajuk, ‘Sinonim Nama Tempat dengan Nama Tumbuhan’ turut menyampaikan hadiah senaskah buku tersebut kepada setiap wakil sekolah yang hadir. Buku tersebut telah memenangi Anugerah Buku Negara (Buku Teknikal Terbaik) pada 2016 daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara.

SPF Selandar seluas 30 hektar ditubuhkan pada 2009 sebagai pusat kecemerlangan berkonsepkan perhutanan sebagai tarikan pelancongan, penyelidikan uji tanam klon terpilih, hutan tani dan pelabur ladang hutan.

Gambar berkumpulan semua pihak yang terlibat.

Turut hadir, Dr Khali Aziz Hamzah, Timbalan KP (Operasi) FRIM; Dato’ Dr Marzalina Mansor, Pengarah Bioteknologi Perhutanan; Norhayati Nordin, Pengarah Perkhidmatan Teknikal; Liza Ismail, Pengarah Pentadbiran serta Penyelaras SPF Selandar, Dasrul Iskandar Darus.

 

MOU herbal product testing

FRIM, KKM meterai MOU untuk kajian produk herba

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

Semasa Majlis Menandatangani MOU di Bilik Mesyuarat Licuala.

30 Mac 2018 (Jumaat) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) petang tadi untuk bekerjasama dalam memastikan produk-produk tradisional atau bahan mentah herba yang dipasarkan di Malaysia berkualiti dan selamat digunakan.

Ketua Pengarah (KP), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod mewakili FRIM dalam menandatangani MOU manakala KKM pula diwakili KP Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Abd Latif (kiri) dan Noor Hisham semasa sesi pertukaran dokumen.

Dalam kerjasama ini, FRIM bertanggungjawab memberikan pendedahan kepada industri tempatan akan kepentingan ujian kawalan kualiti atas bahan mentah herba sebelum digunakan sebagai bahan aktif produk tradisional; menjalankan perkhidmatan ujian dan nasihat dalam ujian kawalan kualiti ke atas produk serta bahan mentah herba dan juga menjalankan validasi serta verifikasi terhadap ujian kawalan kualiti yang dibangunkan.

MOU herbal product testing

Dari kiri: Amim, Nor Azah, Abd Latif, Noor Hisham, Ramli dan Noorul Akmar bergambar selepas menandatangani MOU.

Abd Latif berkata: “FRIM berusaha memberi bimbingan kepada usahawan herba bagi menghasilkan produk yang selamat dan berkesan melalui pemindahan teknologi dalam bentuk kursus, latihan teknikal, serta perkhidmatan; khususnya pemprosesan berdasarkan amalan pengilangan baik (GMP) dan perkongsian pintar melalui kolaborasi dengan pihak industri, akademik atau pihak berkepentingan daripada aspek teknologi piawai yang berkaitan dari peringkat huluan ke hiliran dalam proses pengeluaran produk herba.”

Noor Hisham mengucapkan tahniah kepada FRIM atas pengiktirafan Makmal Natural Product Quality Control (NPQC) oleh KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi perkhidmatan analisis produk tradisional melibatkan ujian had logam berat, kontaminasi mikrobial, keseragam berat serta pengecaian produk kapsul dan tablet untuk tiga tahun sehingga 2020.

“Diharap dengan kerjasama ini, kajian-kajian berkaitan herba dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dan seterusnya turut memacu ekonomi negara,” tambahnya.

Gambar berkumpulan semua pegawai-pegawai FRIM dan KKM yang menghadiri majlis tersebut.

NPQC yang berstatus akreditasi MS ISO/IEC 17025 telah diiktiraf sebagai makmal BioNexus Partner (BNP) oleh BioEconomy Corporation.  Dalam MOU berkenaan, FRIM dilantik oleh NPRA sebagai salah satu Pusat Pensahihan Bahan Mentah Herba.

Turut hadir, Dato’ Sri Mohd Amim A. Wahab, Anggota FRIM dan juga Penasihat FRIM Inc.; Dr Ismail Harun, Timbalan KP (Penyelidikan) FRIM; Dr Khali Aziz Hamzah, Timbalan KP (Operasi); Dr Nor Azah Mohamad Ali, Pengarah Bahagian Hasilan Semula Jadi FRIM; Dr Ramli Zainal, Pengarah NPRA dan Noorul Akmar Mohd Nur, Timbalan Pengarah Pusat Kawalan Kualiti NPRA.

product certification

FRIM PCS luaskan skop pensijilan produk

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

Taklimat FRIM sebagai Badan Pensijilan Produk Perabot pada 2013 bersama pengusaha serta wakil MOF, KPM, KDN dan MINDEF.

22 Mac 2018 (Khamis) – Perkhidmatan Pensijilan Produk Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM PCS) yang ditubuhkan pada Jun 2013 kini bersedia untuk mempersijilkan kesemua produk perabot kontrak kerajaan yang melibatkan 24 kementerian dan produk perabot pasang siap bawah projek pembangunan kerajaan.

FRIM PCS juga memperluaskan skop perkhidmatan pensijilan produk untuk pasaran terbuka, eksport serta import. Kemampuannya dalam menjamin kualiti produk perabot negara akan meningkatkan kepercayaan pengguna dari dalam dan luar negara.

Majlis Pelancaran dan Forum FRIM PCS bersama MARA, MOF, MTIB dan MATRADE pada 2015.

Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata: “FRIM PCS juga telah memulakan projek Skim Pensijilan Rintangan Api tahun ini dengan pemilihan dua syarikat perintis. FRIM akan meningkatkan perkhidmatan skim pensijilan produk FRIM PCS merangkumi pensahihan bahan mentah herba, pengeluaran bahan tanaman, komponen struktur bangunan dan kualiti kertas kelak.”

Majlis Penganugerahan Sijil Produk FRIM PCS kepada syarikat Perintis pada 2014.

FRIM PCS ditubuhkan sebagai badan yang bertanggungjawab memastikan kualiti produk terutamanya perabot memenuhi keperluan sesuatu standard dan spesifikasi yang ditetapkan secara konsisten. Ianya juga bertujuan menyelesaikan permasalahan kualiti perabot yang dibekalkan kepada kerajaan terutamanya yang melibatkan kerusi dan meja murid-murid melalui Kontrak Pusat Sistem Panel oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

product certification

Proses audit dilaksanakan di kilang oleh juruaudit PCS.

Pemegang-pemegang taruh seperti KPM, Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri Malaysia, MOF, agensi-agensi lain dan persatuan-persatuan perabot telah memberi maklum balas positif melalui program-program dialog yang telah diadakan pada 2013, 2014 dan 2015.

Penubuhan FRIM PCS diluluskan melalui kuasa khas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar sebagai tambahan Akta Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (Akta 319). FRIM berjaya diakreditasi sebagai badan pensijilan produk yang kelapan di Malaysia  pada 12 Disember 2014 berdasarkan keperluan ISO/IEC 17065:2012 (Conformity Assessment – Requirements for Bodies Certifying Products, Processes and Services) daripada Jabatan Standard Malaysia.

FRIM PCS mampu membantu industri tempatan bersaing secara sihat untuk menghasilkan produk berkualiti bagi menguasai pasaran tempatan serta melepasi halangan perdagangan antarabangsa. Pewartaan Akta FRIM 782 pula membolehkan FRIM mengkomersialkan penemuan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta memberikan penanda aras baharu produk-produk hasil hutan melalui proses pensijilan produk. Kini, FRIM boleh memainkan peranan yang lebih luas sebagai badan pensijilan produk berasaskan perhutanan dan keluaran hutan serta memperkasakan industri yang berkaitan.

Sehingga Disember 2017, sebanyak 18 pengusaha perabot tempatan telah berjaya memperoleh pensijilan produk FRIM PCS bagi 47 jenis produk KPM.

Kesemua syarikat yang terlibat dalam Skim Pensijilan Produk diaudit secara berkala dan sampel produk akan diuji semasa pengauditan tahun pertama. Proses pengauditan memastikan kualiti produk yang konsisten dan status syarikat sebagai pembuat dan pengeluar perabot yang tulen. Melalui pensijilan produk, peningkatan tahap keupayaan syarikat dalam mengeluarkan produk berkualiti juga dapat dipantau dan dibuat penambahbaikan dari semasa ke semasa.  Keutamaan pensijilan produk adalah keselamatan, kestabilan, ketahanan dan kekuatan seperti yang ditetapkan oleh standard dan keperluan pelanggan.

firefly conservation

FRIM sedia bantu pemuliharaan kelip-kelip

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

firefly conservation

Abd Latif: Perubahan yang memberi kesan terhadap habitat kelip-kelip akan menyebabkan penurunan populasinya.

14 Mac 2018 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bersedia untuk membantu mana-mana kerajaan negeri untuk memulihara habitat kelip-kelip yang merupakan ‘ikon cahaya Malaysia’.

Ketua Pengarah (KP), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata, “FRIM mempunyai kepakaran untuk membantu menyelamatkan populasi kelip-kelip melalui pemuliharaan ekosistem yang menyokong kitaran hidup kelip-kelip serta kelestarian sumber makanannya.”

Fireflies exhibiting

Kelip-kelip mengeluarkan cahaya bersinkroni.

Berdasarkan projek penyelidikan yang dijalankan oleh Cawangan Entomologi FRIM, kelip-kelip daripada genus Pteroptyx (contohnya Pteroptyx tener) berkumpul di pokok-pokok bakau dan mengeluarkan cahaya secara bersinkroni. Bagi melindungi habitat semula jadi kelip-kelip, zon penampan (buffer zone) sekurang-kurangnya 50 meter di kedua-dua tebing sungai perlu diwujudkan bagi mengelak kejadian pencerobohan dan pencemaran.

Firefly larva feeding

Larva kelip-kelip sedang memakan siput.

“Komposisi spesies dalam zon penampan perlu dikaji, dan komposisi tumbuhan di situ juga perlu diperkayakan dengan penanaman lebih banyak pokok seperti pokok sagu, berembang dan  nipah,” kata beliau.

Beliau juga mengalu-alukan kerjasama dengan pihak kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan untuk menubuhkan pusat penyelidikan kelip-kelip di kawasan berkenaan bagi pemuliharaan habitat serta ekosistem untuk memastikan kelestarian populasi kelip-kelip.

The natural habitats for firefly larvae

Habitat semula jadi larva kelip-kelip dan siput yang harus dipulihara.

“Hampir 60% daripada kitaran hidup peringkat awal kelip-kelip (peringkat telur, larva dan pupa)  dihabiskan di kawasan vegetasi pinggir sungai yang teduh dan sering dibanjiri air pasang surut. Siput yang merupakan sumber makanan larva kelip-kelip turut dijumpai di kawasan tersebut,” kata Veronica Khoo, Ahli Entomologi FRIM.

Beliau berkata mulai 2006, FRIM memantau populasi kelip-kelip setiap bulan dengan menggunakan kaedah fotografi malam yang mesra alam di tujuh lokasi merangkumi 1.6 kilometer sepanjang Sungai Selangor antara Tanjung Labak dan Kampung Sepakat. Data yang diperolehi Cawangan Entomologi FRIM menunjukkan penurunan populasi kelip-kelip di Kampung Kuantan sebanyak 42% dari tahun 2007 ke 2016. Faktor utama kepada penurunan ialah perubahan yang berlaku kepada ekosistem habitat semulajadinya.

Abd Latif memuji usaha Kerajaan Negeri Selangor yang telah mewartakan kawasan seluas lebih 1000 hektar di sepanjang Sungai Selangor sebagai zon perlindungan kelip-kelip pada 2009; serta membeli balik tanah di Tanjung Beluntas untuk tujuan rehabilitasi oleh FRIM.

briefing for frontline staff

FRIM anjur taklimat kepada staf ‘frontline’

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

Staf yang menghadiri sesi taklimat.

13 Mac 2018 (Selasa) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah mengadakan ‘Taklimat Barisan Hadapan’ yang pertama tahun ini pada 7 Mac lalu di Bilik Mesyuarat Licuala.

Tujuan taklimat ialah untuk berkongsi maklumat dan keputusan pihak pengurusan serta pembangunan kampus terkini kepada staf barisan hadapan supaya maklumat yang konsisten dapat disampaikan kepada pihak pelanggan.

Sesi yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Dr Khali Aziz Hamzah ini juga membincangkan isu-isu berkaitan penguatkuasaan serta maklum balas pelanggan.

briefing for frontline staff

Dari kiri: Toh, Khali Aziz, Norhayati, Sulaiman dan Liza semasa perbincangan.

Seramai 28 staf dari Unit Komunikasi Korporat (CCU), Bahagian Pentadbiran, Program Pengurusan Tapak Warisan FRIM (FRIM-WHS), pihak pengawal keselamatan dan wakil ‘Bike Rangers’ telah menyertai taklimat ini.

Turut hadir, Norhayati Nordin, Pengarah Perkhidmatan Teknikal; Liza Ismail, Pengarah Pentadbiran; Toh An Nee, Ketua CCU; dan Sulaiman Kamarudin, Pegawai Operasi Pentagon Protection Services.

FRIM-GPB

FRIM-GPB kerjasama dalam pembekalan bahan mentah

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

Abd Latif (kiri) dan Ahmad Razif menyampaikan ucapan.

13 Mac 2018 (Selasa) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Golden Pharos Berhad (GPB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk melaksanakan kerjasama pembangunan dan penyelidikan serta memastikan pembekalan bahan mentah khususnya bagi Program Perkhidmatan Pensijilan Produk FRIM (FRIM PCS).

Majlis yang diadakan di Wisma Darul Imam, Kuala Terengganu pada 7 Mac lalu disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Para hadirin pada majlis tersebut.

Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod mewakili FRIM dalam menandatangani MOU manakala GPB pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak. Mohd Zamshari Abdul Rahman, Pengarah Urusan FRIM PCS yang juga Pengarah Kewangan FRIM serta Zulkifli Omar, Pengurus Kanan Perkhidmatan Korporat GPB turut menandatangani MOU tersebut sebagai saksi.

Abd Latif berkata: “Kerjasama tersebut merupakan satu usaha penting selaras dengan matlamat kerajaan dalam memacu agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.”

FRIM-GPB

Gambar berkumpulan selepas majlis, (dari kiri) Mohd Zamshari, Mohd Amim, Rosli, Abd Latif, Mohd Zubir, Ahmad Razif, Muhammad Pehemi, Ahmad Nadzarudin, Ahmad Fadzil dan Zulkifli.

“Kerjasama strategik ini diadakan bagi menangani masalah kekurangan bekalan bahan mentah yang sering dihadapi oleh pengusaha perabot tempatan. Ia akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi dan berterusan, termasuk kayu bergergaji serta mana-mana bahan mentah yang bersesuaian bagi pengusaha perabot Bumiputera yang terlibat dengan Program FRIM PCS,” tambah Abd Latif.

FRIM PCS ditubuhkan pada 2013 untuk meningkatkan daya saing industri perabot tempatan bagi menghasilkan produk berkualiti secara konsisten serta mematuhi keperluan standard dan memenuhi kehendak pelanggan bagi menguasai pasaran tempatan dan menembusi perdagangan antarabangsa. FRIM PCS telah diakreditasikan pada 2014 sebagai Badan Pensijilan Produk oleh Jabatan Standard Malaysia berdasarkan MS ISO/IEC 17065: 2012 (Penilaian Pematuhan: Keperluan Untuk Badan-Badan Yang Mengesahkan Produk, Proses dan Perkhidmatan).

Turut hadir, Dato’ Mohd Zubir Embong, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu; Dato’ A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri; Dato’ Muhammad Pehimi Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Negeri merangkap Pengerusi Kumpulan GPB; Dato’ Sri Mohd Amim A. Wahab dan Datuk Wira Rosli Mat Hassan, Ahli Institut FRIM; Hashim W. Samsi, Ketua Pasukan Teknikal FRIM PCS; dan Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Financial management excellence award

FRIM terima anugerah kecemerlangan pengurusan kewangan

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

Financial management excellence award

Abd Latif (kiri) dan Mohd Zamshari Abd Rahman, Pengarah Kewangan FRIM menunjukkan sijil yang diterima.

5 Mac 2018 (Isnin) – FRIM telah menerima ‘Anugerah Kecemerlangan Penarafan Lima Bintang Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti’ bagi tahun 2016 daripada Jabatan Audit Negara.

Pengiktirafan lima bintang yang julung-julung kali diterima ini menunjukkan FRIM di bawah kepimpinan Ketua Pengarah (KP), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah berjaya menguruskan kewangannya dengan penuh bertanggungjawab dan berintegriti.

The certificate

Sijil yang disampaikan oleh Jabatan Audit Negara.

Pengauditan yang dilaksanakan pada 28 November hingga 22 Disember 2016 memberi tumpuan terhadap sembilan (9) aspek iaitu Kawalan Pengurusan; Kawalan Bajet; Kawalan Terimaan; Kawalan Perbelanjaan; Pengurusan Kumpulan Wang Amanah/Akaun Amanah dan Deposit; Pengurusan Aset dan Inventori; Pengurusan Pelaburan dan Pengurusan Pinjaman serta Penyata Kewangan.

The audit process

Proses audit yang dijalankan di FRIM.

Pengarah Kewangan FRIM, Mohd Zamshari Abd Rahman berkata pencapaian ini adalah hasil kerjasama, kesedaran dan komitmen semua warga FRIM, terutamanya kesungguhan KP FRIM yang sentiasa menitikberatkan ketelusan dan pematuhan kepada semua peraturan yang ditetapkan, amalan mengambil tindakan segera dan menepati masa dalam menjalankan tugas.

Abd Latif berharap pengiktirafan ini akan memberi semangat kepada warga FRIM untuk terus berusaha membudaya dan mengekalkan kecemerlangan ini dalam bidang tugas masing-masing.

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast