Chengal, spesies pokok paling berharga di Semenanjung Malaysia

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

Abd Latif with the oldest chengal tree

Abd Latif bersama pokok chengal tertua di FRIM.

26 Disember 2017 (Selasa) – Antara spesies pokok hutan tropika di Semenanjung Malaysia, chengal merupakan spesies paling berharga kerana ketahanan kayunya membolehkan struktur-struktur dibina menggunakan bahan ini kekal lama walaupun dalam keadaan iklim lembap negara kita.

Chengal’s leaves

Daun dan buah chengal.

Chengal atau nama saintifiknya, Neobalanocarpus heimii ialah spesies daripada kaum damar (Dipterocarpaceae) yang tumbuh secara semula jadi di Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand. Spesies ini telah pupus di Singapura.

Nama spesies, ‘heimii’ diberikan sebagai penghargaan kepada Frédéric Louis Heim, seorang ahli botani Perancis yang mengkaji kaum damar pada abad ke-19.

Chengal mudah dikenalpasti dalam hutan dengan akar banir besar serta kulit pokok yang berwarna gelap dan bersisik. Walaupun tergolong dalam kaum damar yang terkenal dengan buah bersayap, buah chengal tidak mempunyai sayap. Spesies tersebut tumbuh di hutan tanah pamah sehingga ketinggian 1000 m atas paras laut, terutamanya di kawasan dengan saliran air yang baik.

Kayu chengal biasanya digunakan untuk pembinaan berat seperti pembuatan kapal, rumah, tiang serta jambatan. Bangunan yang dibina dengan menggunakan kayu chengal tahan lasak dan jarang diserang oleh anai-anai atau kulat walaupun tidak diawet. Salah satu contoh ialah Rumah Terengganu di kampus Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang dipindah dari Pulau Rusa, Terengganu pada 1987. Struktur berusia lebih 100 tahun ini masih kekal kukuh sehingga kini.

Struktur Monumen Ikonik Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Putrajaya dan Monumen Ikonik Panda Zoo Negera, Kuala Lumpur juga dihasilkan daripada kayu chengal.

Chengal juga menghasilkan damar (dipanggil damar penak) dan merupakan antara damar semula jadi yang paling berkualiti tinggi.

Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata, “Oleh kerana ketahanan dan nilainya yang tinggi, chengal merupakan antara spesies paling sesuai dijadikan calon pokok kebangsaan”.

Dalam kampus FRIM, pokok chengal tertua ditanam di Arboretum Dipterokarpa. Pokok yang berusia 88 tahun ini berdiameter 83.2 cm dan mencapai ketinggian 37 m.

Di Semenanjung Malaysia, chengal digolong sebagai Hampir Terancam (Near Threatened) dalam kategori IUCN kerana populasi spesies ini masih terdapat di kawasan terlindung. Namun, penuaiannya perlulah dikawal dengan rapi untuk memelihara kelestarian spesies yang amat berharga ini.

rumah terengganu

Rumah Terengganu yang dibina menggunakan kayu chengal.

artifak

Sebahagian daripada artifak chengal yang dipamerkan di Galeri Penyelidikan FRIM.

5 (100%) 5 votes
Print Friendly, PDF & Email

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast