FRIM anjur bengkel perundingan pemegang taruh industri herba

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

3 November 2017 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah berjaya mengumpul seramai 185 peserta yang majoritinya terdiri daripada pemain industri dan pihak berkepentingan untuk menyertai Bengkel Perundingan Pemegang Taruh yang diadakan di FRIM, Kepong semalam.

Majlis perasmian bengkel yang bertema, ‘Memperkasakan platform jaringan industri herba’ ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod. Bengkel satu hari ini adalah anjuran FRIM bersama Pejabat Pembangunan Herba, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), SME Bank dan Center for Entrepreneur Development and Research (CEDAR).

Tujuannya adalah mempromosikan Sistem Rantaian Industri Herba (SRI Herba) yang dibangunkan oleh FRIM melalui projek kajian Rantaian Nilai Industri Herba terpilih di Semenanjung Malaysia (RNIH) yang tamat pada Disember 2016 serta berkongsi hasil dan penemuan lain projek kajian ini.

SRI Herba adalah salah satu daripada output penting projek tersebut dan pihak MOA pada 1 April 2017 telah meluluskan Projek Memperkasa SRI Herba iaitu kesinambungan projek RNIH ini. Bengkel ini juga bertujuan mewujudkan satu ‘platform’ bagi hebahan dan menambahbaik SRI Herba agar dapat memberikan manfaat kepada pihak berkepentingan serta meluaskan jaringan dan penggunaan sistem ini.

Abd Latif berkata kajian FRIM menunjukkan penjualan tahunan industri herba di Semenanjung Malaysia sahaja telah mencecah RM2.6 billion namun pihak industri masih bergantung kepada bekalan bahan mentah sumber hutan asli dan import.

SRI Herba berkemampuan menyediakan maklumat bagi menghubungkan permintaan dan penawaran bahan mentah dalam kalangan pemain industri kerana ia mengandungi direktori pemain serta statistik terkini berkaitan industri herba.

Sistem ini dibangunkan berdasarkan maklumat bancian yang dijalankan terhadap 6,545 pemain industri herba yang terdiri daripada 96 pembekal bahan tanaman, 462 penanam, 550 pengusaha, 445 pemborong dan 5,467 peruncit. Selain paparan muka utama yang berinformasi, khidmat bagi menghubungkan pengguna kepada pasaran produk secara dalam talian turut ditawarkan.

Abd Latif berkata penambahan ciri pilihan dwibahasa dan aplikasi mudah alih (mobile app) akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Beliau percaya sambutan yang menggalakkan terhadap bengkel ini iaitu 70% peserta terdiri daripada pihak industri herba menunjukkan kepercayaan industri tersebut kepada FRIM.

“FRIM sangat menghargai kerjasama dari semua pihak. Saya percaya kerjasama erat ini akan berterusan dan membentuk satu roadmap baru bagi pembangunan industri herba di Malaysia. Roadmap ini akan memperlihatkan kebangkitan Malaysia sebagai satu pusat herba antarabangsa di peta dunia,” tambah beliau.

Majlis perasmian bengkel ini turut menyaksikan pelancaran nama baharu bagi SRI Herba, iaitu ‘Herba Xpress’ dengan slogan ‘Herba di hujung jari’.

Turut hadir, Nor Hisham Ibrahim, Timbalan Setiausaha Bahagian, Pejabat Pembangunan Herba MOA; Dr Ismail Harun, Timbalan KP (Penyelidikan) FRIM; serta Dr Nur Supardi Md Noor, Pengarah Bahagian Perancangan Penyelidikan FRIM.

Mohammad Husain Mohd Dawoed, Ketua Pegawai Operasi CEDAR, menyampaikan ucaptama bertajuk, ‘Adakah Anda Ingin Menguasai Pasaran dan Pelanggan? Ketahui Strategi dan Caranya’.

Topik-topik pembentangan oleh penyelidik FRIM adalah:
– ‘Landskap Industri Herba di Semenanjung Malaysia’ (Rohana Abd Rahman, Ketua Program Ekonomi dan Analisa Strategik); dan
– ‘Eksplorasi Jaringan Industri Herba di Hujung Jari (Ariff Fahmi Abu Bakar, Zahari Othman, Intan Farah Wahida Khabir, Wan Zahiri Wan Yaacob dan Omarali Abdul Rahim).

Selain itu, Prof. Madya Dr Mohamed Ibrahim Noordin, Pengarah Eksekutif Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal (IPharm) pula menyampaikan topik, ‘Natural Product Library Initiative’.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Puan Rohana (Tel: +603-6279 7761 / 7760 Faks: +603-6273 6587 | emel: rohanasr@frim.gov.my).

Rate this post
Print Friendly, PDF & Email

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast