FRIM, lokasi pilihan bagi Sambutan Minggu Keharmonian

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

spinner

6 Februari 2016 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah dipilih sebagai lokasi bagi Majlis Sambutan Minggu Keharmonian antara Penganut Agama Sedunia atau ‘World Interfaith Harmony Week’ (WIHW) 2017 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri (PM), YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak pada Sabtu lalu.

Sambutan bertemakan ‘Cintai Tuhan, Cintai Jiran’ anjuran Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMKPA) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Jabatan Perdana Menteri) ini disertai hampir 3,000 hadirin termasuk ketua-ketua agama dan masyarakat berbilang agama dan bangsa.

PM dalam ucapannya mengambil contoh analogi ketika mengimbas kembali pengalaman menanam pokok di FRIM sewaktu memegang jawatan Timbalan PM dahulu. Beliau menjelaskan bahawa pokok yang ditanam 13 tahun lalu itu kini tumbuh besar kerana dijaga dengan baik.

“Pemimpin terdahulu telah menanam ‘benih’ pertama keamanan dan keharmonian 60 tahun lalu apabila mereka merangka Perlembagaan negara ini dan sekiranya kita menjaga seperti FRIM lakukan, insya-Allah, Malaysia akan terus harmoni pada masa akan datang,” kata beliau.

Semasa lawatan ke khemah pameran FRIM sebelum majlis perasmian, Najib disambut oleh Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod yang mengambil kesempatan untuk menyampaikan cenderahati kepada beliau.

Cenderahati tersebut adalah gambar kenangan yang diambil pada 2004 ketika Najib sedang menanam pokok di FRIM.  Tanda ingatan tersebut ternyata menimbulkan nostalgia pada PM yang menggunakan contoh usaha penjagaan pokok di FRIM untuk menekankan kepentingan  penjagaan ‘pokok perpaduan negara’ semasa menyampaikan ucapan perasmiannya.

Selain FRIM, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, JKMPKA dan Global Peace Foundation turut mengadakan pameran masing-masing.

Turut hadir, dua Menteri dari Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Dr Hamim bin Samuri; Pengerusi JKMPKA, Datuk Azman Amin Hassan; Timbalan KP (Operasi) FRIM, Datuk Dr Rahim Sudin; Timbalan KP (Penyelidikan), Dr Ismail Harun; Ketua Komunikasi Korporat, Norhayati Nordin; serta Pengarah Petadbiran, Abdul Jabbar Sabli.

Sempena sambutan WIHW, Dialog Harmoni Antara Agama juga diadakan di Auditorium FRIM bagi memupuk persefahaman antara agama. Wakil-wakil daripada lapan agama mengadakan perbincangan dan berkongsi pandangan di dialog yang dipengerusikan oleh KP IKIM. Prof. Datuk Dr Azizan Baharuddin.

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast