FRIM menang anugerah emas, perak di ITEX2017

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

spinner

16 Mei 2017 (Selasa) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah memenangi satu pingat emas dan satu perak di Pameran Rekaan, Inovasi dan Teknologi 2017 (ITEX 2017) yang diadakan pada 11-13 Mei di Kuala Lumpur.

Hasil rekacipta pasukan penyelidik FRIM yang diketuai Dr Mohamad Nasir Mat Arip iaitu ‘Permethrin Sense: A Novel DNA Biosensors for Determination of Permethrin Pesticide’ telah memenangi pingat emas, sementara ‘Portable Cutting and Acclimatization Chamber (P-CACha)’ yang dihasilkan oleh pasukan yang diterajui Dr Farah Fazwa Mohd Ariff pula berjaya mendapat pingat perak.

Tahun ini, FRIM hanya mengemukakan dua ciptaan tersebut untuk dipertandingkan di ITEX 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tujuan ITEX yang mula diadakan pada tahun 1987 adalah untuk mengumpul kumpulan sasaran dalam industri sains dan teknologi termasuk pereka cipta, penyelidik, pelabur, pemodal teroka, pengilang, usahawan, pengedar dan sektor korporat untuk meneroka  perniagaan baru; berbincang serta berdebat tentang hasil penyelidikan; dan mencari pelabur berpotensi untuk pengkomersialan ciptaan / produk baru.

Mohamad Nasir dan pasukannya telah berjaya mencipta alat pengesanan mudah alih untuk penentuan bahan awet kayu permetrin. Inovasi ini yang menggunakan DNA tunggal bagi penentuan permetrin ini merupakan yang pertama seumpamanya di dunia. Kaedah konvensional menggunakan peralatan ‘High Performance Liquid Chromatography’ (HPLC) dan ‘Gas Chromatography’ (GC) yang besar mengambil masa lama (tujuh hari bekerja) untuk mendapatkan analisa, manakala alat pengesan yang kecil, lebih mesra pengguna ini membolehkan analisis dilaksanakan di tapak ujian dalam masa dua minit sahaja.

Inovasi ini sangat penting untuk analisis penentuan kualiti kayu dan aplikasinya boleh dipanjangkan lagi dalam sektor pertanian terutama dalam pengawalan penggunaan racun perosak berasaskan permetrin dalam sayur-sayuran dan buah-buahan.

P-CACha pula merupakan satu inovasi yang dicipta khas untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi apabila pembiakan bahan tanaman kajian perlu dibuat di pelbagai lokasi. Inovasi ini mempunyai fungsi tiga dalam satu iaitu untuk percambahan biji benih; pembiakan secara keratan; dan pengikliman anak pokok kultur tisu.

Sistem binaannya yang mudah alih ini dapat digunakan di pelbagai lokasi di mana ianya dapat dibuka dan pasang semula pada bila-bila masa dan keadaan kawasan yang berbeza. Idea ini tercetus apabila penyelidik terpaksa membuat kajian di pelbagai lokasi tetapi tidak semua lokasi kajian mempunyai sistem batas keratan yang lengkap.

Alat P-CACha ini juga adalah lebih menjimatkan berbanding harga kos keseluruhan untuk membina batas keratan dan pengikliman secara kekal. P-CACha adalah jalan penyelesaian bagi sesuatu projek penyelidikan yang tidak mempunyai bajet yang tinggi untuk menampung kos pembinaan rumah keratan. Tambahan pula, alat ini juga boleh digunakan oleh penanam herba untuk meningkatkan sumber tanaman mereka melalui pembiakan secara keratan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Mohamad Nasir atau Farah Fazwa melalui emel kepada mnasir@frim.gov.my atau farah@frim.gov.my

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast