FRIM-NAHRIM teruskan kerjasama dalam penyelidikan air

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

12 September 2017 (Selasa) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah mengadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) di FRIM, Kepong semalam bagi meneruskan kerjasama penyelidikan antara kedua-dua pihak dalam bidang sumber air, perhutanan dan alam sekitar.

Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah menandatangani MOU tersebut bagi pihak FRIM dan NAHRIM diwakili KP, Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed manakala Timbalan KP (Penyelidikan) FRIM, Dr Ismail Harun dan Pengarah Pusat Kajian Kualiti Air dan Alam Sekitar NAHRIM Ir Dr Lee Hin Lee menjadi saksi di majlis tersebut.

FRIM dan NAHRIM telah mula mengadakan kerjasama penyelidikan pada tahun 2014 sehingga 2016 melalui projek ‘Pemuliharaan Kualiti Air Kolam FRIM’ yang dijalankan oleh NAHRIM dengan menggunakan teknologi penapisan air (biofilter) dan juga fitoremediasi.

FRIM dengan keluasan 544.3 ha yang terletak di kawasan hulu tadahan air, mempunyai beberapa buah jasad air terutama kolam dan tasik yang memerlukan pengurusan yang lebih sempurna. Tasik dan kolam mempunyai nilai estetika di FRIM dan perlu dipulihara memandangkan FRIM mempunyai hala tuju untuk mencapai pengiktirafan Tapak Warisan Dunia UNESCO menjelang tahun 2020. Kerjasama NAHRIM diharapkan dapat membantu FRIM seterusnya dalam pemuliharaan kolam dan tasik tersebut. Teknologi yang akan digunakan boleh dijadikan sebagai contoh kepada yang lain.

Tambahan pula, sebagai kawasan hulu tadahan air yang berasal dari Bukit Lagong, FRIM mempunyai bekalan sumber air bersih yang bukan sahaja merupakan sumber air mentah untuk kegunaan domestik bagi komuniti FRIM tetapi juga ekosistem di hiliran Sungai Kroh. Sumber air ini juga boleh menyumbang kepada kolam-kolam air yang terdapat di FRIM dalam usaha memelihara kualiti air kolam tersebut.

Selaras dengan Dasar Sumber Air Negara (DSAN) dan untuk pengurusan sumber air yang berkesan, pengunaan air alternatif digalakkan. FRIM telah mula menggunakan sistem penuaian air hujan (rain water harvesting) untuk kegunaan air bukan domestik. Dengan kepakaran NAHRIM, sistem ini dapat memajukan lagi aplikasi teknologi hijau di kampus selain menjimatkan kos pengurusan.

Selain itu, FRIM melalui MOU ini berpeluang meningkatkan kapasiti penjawat awam Program Ekohidrologi FRIM khususnya dalam bidang sumber air atau hidrologi yang lain yang dikaitkan dengan perhutanan. Kajian seperti kesan perubahan iklim terhadap sumber air dari kawasan tadahan berhutan juga penting dan telah banyak dikaji oleh NAHRIM.

NAHRIM juga memperolehi peluang untuk mempelajari dan bekerjsama dengan FRIM berkaitan bidang kajian perhutanan yang lain selain sumber air. Pelbagai program boleh dijalankan melalui MOU ini yang melibatkan penjawat awam seperti lawatan sambil belajar ke makmal-makmal FRIM yang bersesuaian dan juga nasihat teknikal dalam menerbitkan hasil penyelidikan seperti laporan, buku dan kertas kerja dalam jurnal berimpak faktor tinggi. Selain itu, kerjasama ini juga melibatkan pertukaran singkat penyelidik serta kakitangan dan maklumat antara FRIM dan NAHRIM.

Majlis tersebut dihadiri oleh seramai 30 kakitangan dari kedua-dua institut termasuk Pengarah Perancangan Penyelidikan FRIM, Dr Nur Supardi Md Noor; Pengarah Kewangan FRIM, Zamshari Abd Rahman; dan Ketua Program Ekohidrologi, Dr Siti Aisah Shamsuddin.

Rate this post
Print Friendly, PDF & Email

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast