FRIM nasihat orang ramai tentang iklan palsu

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

19 April 2017 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menasihatkan orang ramai supaya jangan mempercayai iklan palsu yang menghubungkan FRIM dengan produk yang dikenali sebagai Veyromax.

Menurut laman web produk tersebut (http://veyromax.com/), “Veyromax adalah cap dagangan berlesen bagi produk makanan tambahan herba yang meningkatkan kekuatan batin lelaki” dan produk tersebut dibuat daripada tongkat ali, ginseng, maca, Muira, puama dan Tribulus terretris.

Laman web tersebut mendakwa: “Veyromax dihasilkan di HTC (Pusat Teknologi Herba) – Bahagian Hasilan Semulajadi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia yang ditadbir oleh Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB) di bawah Kementerian Perusahaan Utama Malaysia.”

Ia juga mendakwa bahawa: “Berdasarkan Piawaian GMP, ia mempunyai semua kemudahan kilang untuk menyokong industri herba dengan kawalan ketat terhadap bahan-bahan berdasarkan standard kerajaan, Veyromax mempunyai Sijil Ujian dari Herbal Global Export, Kuala Lumpur.”

Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata FRIM memandang serius perkara ini kerana ia boleh menjejaskan nama baiknya dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak atas iklan palsu dan/atau mengelirukan yang dikaitkan dengan FRIM.

“Kami ingin menjelas serta menegaskan bahawa FRIM dan HTC tidak pernah menghasilkan apa-apa produk yang mengandungi kesemua bahan tersebut atau yang berjenama Veyromax,” katanya. Beliau juga percaya bahawa tidak ada badan pensijilan bergelar ‘Herba Global Export’ di Kuala Lumpur seperti yang dinyatakan dalam iklan tersebut.

Atas arahan Abd Latif, Unit Undang-undang FRIM telah menghantar surat amaran bertarikh 23 Februari 2017 kepada Kato Corporation di Hong Kong yang dikatakan sebagai agen produk tersebut untuk menuntut syarikat tersebut/atau Veyromax serta semua pihak yang berkaitan supaya menghentikan penggunaan iklan/maklumat palsu berkenaan.

Kato Corporation telah memberi maklum balas yang menafikan sebarang penglibatan dalam perkara atau produk tersebut.

Semakan terkini mendapati bahawa laman web (www://veyromax.com) telah dipadamkan. Walau bagaimanapun, maklumat berkenaan Veyromax yang diubahsuai masih terdapat di https://veyromaxforerectiledysfunction.wordpress.com/categories/erectile-dysfunction/. Dakwaan terkini menyatakan bahawa “Veyromax dicipta di pusat yang terkenal yang dinamakan Pusat Teknologi Herba yang berada di Tanah Melayu”.

Maklumat palsu tentang produk Veyromax yang dihubungkaitkan dengan HTC dan FRIM masih boleh didapati di saluran-saluran lain dalam talian.

Abd Latif menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dan mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tentang dakwaan yang dibuat oleh pengusaha produk herba sama ada dari dalam atau luar negara.

Bagi mendapatkan pengesahan terhadap penglibatan FRIM atau HTC dalam penghasilan produk herba atau pemprosesan bahan mentah, sila hubungi FRIM melalui emel kepada frim_enquiry@frim.gov.my.

5 (100%) 4 votes

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast