FRIM pasang papan tanda baharu, guna kayu terpakai

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

14 November 2017 (Selasa) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah siap memasang papan-papan tanda baharu dalam kampusnya di Kepong baru-baru ini. Sekali imbas, anda mungkin tidak dapat melihat keistimewaan yang ada pada papan-papan tanda berkenaan.

Jika diperhati dengan lebih dekat, anda mungkin akan dapat melihat keunikan kayu yang digunakan sebagai tiang papan tanda tersebut. Ianya merupakan kayu landasan keretapi yang diguna semula. Tidak ramai mengetahui sejarah di sebalik kaitan antara penyelidikan FRIM dan kayu landasan kereta api. Tetapi, sejarah inilah yang mencetuskan idea Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod untuk mengguna semula kayu landasan keretapi ini bagi tiang papan-papan tanda di kampus FRIM.

Perlombongan bijih timah yang bermula pada 1820an di Tanah Melayu telah menjadi tulang belakang bagi ekonomi negara sebelum Perang Dunia Kedua. Disebabkan kepentingannya, British telah memperkenalkan sistem pengangkutan untuk menghubungkan semua pekan-pekan lombong utama.

Bijih timah telah ditemui di bahagian barat Semenanjung Malaysia dari Kedah ke Lembah Kinta serta di kaki bukit di Perak, Selangor dan Johor. Sistem pengangkutan moden diperkenalkan pada tahun 1885 apabila landasan keretapi sepanjang 12.8 km dibina dari Taiping yang merupakan pusat pengedaran bijih timah dari Larut sehingga ke Port Weld. Ini adalah titik permulaan penggunaan kayu Malaysia untuk pembinaan landasan kereta api, yang sebelumnya hanya digunakan untuk memasak serta pembinaan rumah.

Di peringkat awal pembinaan sistem kereta api, hanya chengal yang merupakan kayu keras yang tahan lama dipilih. Penyelidikan mengenai sifat dan pemperosesan kayu adalah bertujuan memperkenalkan spesies kayu keras lain yang setanding bagi tujuan tersebut. Tapak ujian “Graveyard” untuk mengkaji ketahanan semula jadi kayu ditubuhkan di Bukit Weld, iaitu lokasi Menara Maybank sekarang.

Disebabkan kepentingan produk ini untuk menampung perkembangan sistem pengangkutan kereta api yang semakin meningkat, kemudahan ujian kayu ditempatkan di Bengkel Kereta Api Sentul di mana ujian pemprosesan dan sifat-sifat kayu dijalankan. Pada awal 1950an, kemudahan ujian ini dipindahkan secara berperingkat ke lokasinya sekarang di kampus FRIM, Kepong.

Melalui penyelidikan, kayu keras lain seperti merbau dan balau yang mempunyai ketahanan sama seperti chengal berjaya diperkenalkan bagi kegunaan ini. Dengan peningkatan permintaan kayu selaras dengan pembangunan sistem kereta api, penyelidikan awet kayu dengan menggunakan rawatan kreosot dan Copper Chrome Arsenic (CCA) terhadap kayu keras yang kurang ketahanan dimulakan di FRIM pada 1950an.

Usaha ini berjaya mengurangkan tekanan permintaan terhadap kayu ‘chengal’ dan meningkatkan nilai kayu-kayu keras lain seperti kempas dan keruing melalui rawatan CCA dan creosote. Walau bagaimanapun, harga kayu masih terus meningkat dan kini, penggunaan konkrit sebagai bahan landasan kereta api telah menggantikan kayu walaupun penggunaan kayu masih menjadi pilihan untuk bahagian landasan yang melintasi satu dengan yang lain (rail crossings).

5 (100%) 3 votes
Print Friendly, PDF & Email

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast