FRIM PCS luaskan skop pensijilan produk

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

Taklimat FRIM sebagai Badan Pensijilan Produk Perabot pada 2013 bersama pengusaha serta wakil MOF, KPM, KDN dan MINDEF.

22 Mac 2018 (Khamis) – Perkhidmatan Pensijilan Produk Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM PCS) yang ditubuhkan pada Jun 2013 kini bersedia untuk mempersijilkan kesemua produk perabot kontrak kerajaan yang melibatkan 24 kementerian dan produk perabot pasang siap bawah projek pembangunan kerajaan.

FRIM PCS juga memperluaskan skop perkhidmatan pensijilan produk untuk pasaran terbuka, eksport serta import. Kemampuannya dalam menjamin kualiti produk perabot negara akan meningkatkan kepercayaan pengguna dari dalam dan luar negara.

Majlis Pelancaran dan Forum FRIM PCS bersama MARA, MOF, MTIB dan MATRADE pada 2015.

Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata: “FRIM PCS juga telah memulakan projek Skim Pensijilan Rintangan Api tahun ini dengan pemilihan dua syarikat perintis. FRIM akan meningkatkan perkhidmatan skim pensijilan produk FRIM PCS merangkumi pensahihan bahan mentah herba, pengeluaran bahan tanaman, komponen struktur bangunan dan kualiti kertas kelak.”

Majlis Penganugerahan Sijil Produk FRIM PCS kepada syarikat Perintis pada 2014.

FRIM PCS ditubuhkan sebagai badan yang bertanggungjawab memastikan kualiti produk terutamanya perabot memenuhi keperluan sesuatu standard dan spesifikasi yang ditetapkan secara konsisten. Ianya juga bertujuan menyelesaikan permasalahan kualiti perabot yang dibekalkan kepada kerajaan terutamanya yang melibatkan kerusi dan meja murid-murid melalui Kontrak Pusat Sistem Panel oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

product certification

Proses audit dilaksanakan di kilang oleh juruaudit PCS.

Pemegang-pemegang taruh seperti KPM, Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri Malaysia, MOF, agensi-agensi lain dan persatuan-persatuan perabot telah memberi maklum balas positif melalui program-program dialog yang telah diadakan pada 2013, 2014 dan 2015.

Penubuhan FRIM PCS diluluskan melalui kuasa khas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar sebagai tambahan Akta Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (Akta 319). FRIM berjaya diakreditasi sebagai badan pensijilan produk yang kelapan di Malaysia  pada 12 Disember 2014 berdasarkan keperluan ISO/IEC 17065:2012 (Conformity Assessment – Requirements for Bodies Certifying Products, Processes and Services) daripada Jabatan Standard Malaysia.

FRIM PCS mampu membantu industri tempatan bersaing secara sihat untuk menghasilkan produk berkualiti bagi menguasai pasaran tempatan serta melepasi halangan perdagangan antarabangsa. Pewartaan Akta FRIM 782 pula membolehkan FRIM mengkomersialkan penemuan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta memberikan penanda aras baharu produk-produk hasil hutan melalui proses pensijilan produk. Kini, FRIM boleh memainkan peranan yang lebih luas sebagai badan pensijilan produk berasaskan perhutanan dan keluaran hutan serta memperkasakan industri yang berkaitan.

Sehingga Disember 2017, sebanyak 18 pengusaha perabot tempatan telah berjaya memperoleh pensijilan produk FRIM PCS bagi 47 jenis produk KPM.

Kesemua syarikat yang terlibat dalam Skim Pensijilan Produk diaudit secara berkala dan sampel produk akan diuji semasa pengauditan tahun pertama. Proses pengauditan memastikan kualiti produk yang konsisten dan status syarikat sebagai pembuat dan pengeluar perabot yang tulen. Melalui pensijilan produk, peningkatan tahap keupayaan syarikat dalam mengeluarkan produk berkualiti juga dapat dipantau dan dibuat penambahbaikan dari semasa ke semasa.  Keutamaan pensijilan produk adalah keselamatan, kestabilan, ketahanan dan kekuatan seperti yang ditetapkan oleh standard dan keperluan pelanggan.

5 (100%) 1 vote
Print Friendly, PDF & Email

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast