FRIM sambut Hari Hutan Antarabangsa dan tubuh Taman Sinonim

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

FRIM celebrates IDF

Marzalina (kiri) dan Abd Latif menyampaikan ucapan masing-masing.

4 April 2018 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan sambutan Hari Hutan Antarabangsa (IDF) Peringkat FRIM dan Penubuhan Taman Sinonim di Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Selandar, Melaka semalam.

Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah menyempurnakan majlis dengan penanaman pokok melaka (Phyllanthus emblica).

Program melibatkan staf FRIM dan wakil-wakil komuniti setempat.

Sejumlah 66 pokok daripada 33 spesies tumbuhan yang namanya sinonim dengan nama-nama tempat di Melaka ditanam oleh hampir 80 peserta dari FRIM dan wakil komuniti setempat termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, kampung-kampung serta badan-badan kerajaan terlibat dalam aktiviti menanam pokok.

Tiga puluh tiga spesies pokok yang dipilih sempena sambutan Ulang Tahun FRIM ke-33 tahun ini termasuk bidara (Ziziphus mauritiana) dan merlimau (Suregada multiflora). Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) FRIM bersama-sama komuniti setempat.

Wakil-wakil sekolah bergambar dengan Abd Latif (tengah) selepas menerima buku ‘Sinonim’.

Abd Latif berkata: “Program ini mengetengahkan kepentingan pemuliharaan hutan serta memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang kewujudan nama-nama tempat yang sinonim dengan nama tumbuhan.”

Dari kiri: Dasrul, Khali Aziz dan Abd Latif semasa majlis penanaman pokok.

Beliau yang merupakan pengarang utama buku FRIM bertajuk, ‘Sinonim Nama Tempat dengan Nama Tumbuhan’ turut menyampaikan hadiah senaskah buku tersebut kepada setiap wakil sekolah yang hadir. Buku tersebut telah memenangi Anugerah Buku Negara (Buku Teknikal Terbaik) pada 2016 daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara.

SPF Selandar seluas 30 hektar ditubuhkan pada 2009 sebagai pusat kecemerlangan berkonsepkan perhutanan sebagai tarikan pelancongan, penyelidikan uji tanam klon terpilih, hutan tani dan pelabur ladang hutan.

Gambar berkumpulan semua pihak yang terlibat.

Turut hadir, Dr Khali Aziz Hamzah, Timbalan KP (Operasi) FRIM; Dato’ Dr Marzalina Mansor, Pengarah Bioteknologi Perhutanan; Norhayati Nordin, Pengarah Perkhidmatan Teknikal; Liza Ismail, Pengarah Pentadbiran serta Penyelaras SPF Selandar, Dasrul Iskandar Darus.

 

5 (100%) 2 votes
Print Friendly, PDF & Email

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast