FRIM siap bancian pokok di Pasoh

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

12 Julai 2017 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah selesai melaksanakan bancian pokok di plot ekologi jangka panjang seluas 50 hektar di Stesen Penyelidikan FRIM di Pasoh (SPF Pasoh) baru-baru ini.

Plot ekologi tersebut telah ditubuhkan oleh FRIM dengan kerjasama ‘Smithsonian Tropical Research Institute’ (STRI) dan Center for Tropical Forest Science (CTFS-ForestGEO) pada 1985. Plot yang mengandungi hampir 436,000 pokok daripada 820 spesies dan 80 famili ini adalah plot hutan dinamik kedua di dunia dan yang pertama di kawasan tropika dunia lama (old world tropics).

Setakat ini, CTFS-ForestGEO telah menubuhkan satu rangkaian global pelbagai institusi merangkumi lebih 60 plot penyelidikan di benua Amerika, Afrika, Asia dan Eropah, yang kebanyakannya terletak di kawasan tropika.

Di plot Pasoh, pokok-pokok yang berdiameter lebih daripada 1 sm (diameter pada paras dada) dipeta, ditanda, dikenal pasti serta diukur. Ukuran diameter pokok diambil semula setiap lima tahun untuk pemantauan pertumbuhan pokok, sementara spesimen baucer pokok baharu pula dikutip untuk mengenal pasti spesies.

Pasukan yang terlibat dalam bancian ketujuh ini diketuai oleh Dr Christine Fletcher, Ketua Cawangan Ekologi Hutan FRIM. Mereka telah memulakan kerja-kerja bancian sejak Oktober 2015 dan menyelesaikan tugasan ini pada Mac tahun ini. Pasukan tersebut sedang mengenal pasti spesimen baucar dan mengemaskini data bancian.

Plot 50 hektar di Pasoh ini merupakan tapak penyelidikan bagi pelbagai projek mengenai kepelbagaian biologi, produktiviti hutan, mikrometeorologi, hubungan tumbuhan-tanah, hidrologi dan kitaran nutrien yang dilaksanakan dengan kerjasama universiti/ institut penyelidikan dari dalam dan luar negara.

Data jangka panjang yang dikumpul membolehkan saintis memantau tindak balas hutan terhadap perubahan iklim, keupayaan hutan dalam penyerapan karbon serta menyediakan data asas bagi pertumbuhan spesies untuk amalan silvikultur.

Untuk maklumat lanjut mengenai SPF Pasoh, sila layari: https://www.frim.gov.my/about-us/field-research-stations/pasoh-frim-research-station-negeri-sembilan/

5 (100%) 3 votes

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast