FRIM, UKM kaji kesan perubahan iklim terhadap hutan

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

4 Ogos 2017 (Jumaat) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menandatangani MOU serta melancarkan sistem ‘Free Air CO2 Enrichment’ (FACE) di Stesen Penyelidikan FRIM di Jengka (SPF Jengka), Pahang semalam.

Ketua Pengarah (KP) Dato’ Dr Abd Latif Mohmod mewakili FRIM manakala UKM pula diwakili Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman dalam menandatangani MOU untuk melanjutkan kerjasama R&D dalam bidang ekologi hutan tropika.

Dalam ucapannya, Abd Latif berkata: “Daripada sistem FACE ini nanti, diharap lebih banyak maklumat dan pemahaman yang lebih baik tentang hutan tropika dalam jangka masa panjang akan diperoleh; terutamanya dalam beberapa persoalan perubahan iklim yang berlaku pada ekosistem hutan khususnya pada hutan pengeluaran.

“Keberhasilan atau outcome kajian ini dijangka dapat membantu Kerajaan dan Jabatan Perhutanan membentuk langkah-langkah adaptasi untuk melindungi hutan dari kesan perubahan iklim.”

Kerjasama penyelidikan FRIM-UKM ini dijalankan selama lima tahun di bawah RMK11 melalui projek ‘Penilaian kesan perubahan iklim terhadap ekosistem hutan dan pembentukan strategi adaptasi yang bersesuaian’.

Antara bidang kerjasama dalam MOU tersebut adalah:
(a) Penyelidikan berkaitan ekologi hutan tropika;
(b) Penyelidikan dalam kesan perubahan iklim terhadap ekosistem hutan;
(c) Pembinaan kapasiti dan pembangunan modal insan; serta
(d) Menjalankan aktiviti kerjasama lain sepertimana diputuskan bersama oleh kedua-dua pihak.

Sistem FACE digunakan untuk mengkaji adaptasi habitat hutan di kawasan tertentu terhadap perubahan tahap karbon dioksida (CO2) bagi mengetahui kesan penambahan CO2 kepada ekosistem hutan.

Melalui sistem ini, penyelidik dapat memantau tumbesaran dan produktiviti hutan serta menjalankan kajian mengenai tindak balas binatang, fisiologi tumbuhan, fenologi, tanah, mikrob dan biji benih terhadap perubahan tahap CO2.

Pembinaan infrastruktur FACE di Kompartmen 84 di Hutan Simpan Tekam, Jerantut, Pahang ini bermula pada Oktober 2016 dan siap pada Februari lalu. Lokasi ini dipilih sebagai contoh hutan pengeluaran dan pengurusan hutan yang sebenar.

Projek ini merupakan hasil kerjasama FRIM-UKM melalui memorandum perjanjian yang ditandatangani pada 12 April 2016, dengan penglibatan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia serta Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

FACE yang dibina dalam bentuk heksagon, bersisi 6m dan tinggi 12m dengan tiang berasaskan keluli tahan karat ini berfungsi untuk menambah gas CO2 dalam persekitaran semulajadi. Infrastuktur FACE juga dilengkapi dengan penderia CO2, suhu, kelembapan dan kelajuan angin untuk menjana data dalam analisis adaptasi hutan nanti.

Turut hadir, Dr Ismail Harun Timbalan KP FRIM; Dr Samsudin Musa, Pengarah Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM; Prof. Dr Muhammad Fauzi Mohd Zain, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM); Prof. Dr Mohd Nizam Mohd Said, Timbalan Pengarah Institut Perubahan Iklim (IPI); dan Dato’ Mohd Paiz Kamaruzaman, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Rate this post

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast