Gutta percha, sejarah yang tidak diketahui ramai

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

Gutta percha

Pucuk pokok gutta percha.

12 April 2018 (Khamis) – Sejarah penubuhan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berhubung kait dengan spesies pokok yang aneh sebutannya, iaitu gutta percha/ pokok nyatoh taban merah yang pada suatu ketika dahulu amat berharga kepada Kerajaan British. Permintaan yang tinggi dan eksploitasi yang melampau terhadap pokok inilah yang mendesak Kerajaan British untuk memulakan pengurusan hutan serta penyelidikan perhutanan di Tanah Melayu British pada hujung abad ke-19 sehinggalah kepada penubuhan FRIM pada tahun 1985.

Permintaan tinggi spesies tersebut disebabkan oleh kegunaan getah pokok ini sebagai penyalut kabel dalam air semasa perkembangan pesat telekomunikasi antarabangsa pada pertengahan abad ke-19. Pengutipan getah gutta percha secara menebangkan seluruh pokok telah menyebabkan populasinya semakin berkurangan menimbulkan kebimbangan dan usaha untuk menjalankan penyelidikan perhutanan dimulakan bagi memastikan kelestarian spesies ini dan sumber hutan lain.

Abd Latif memerhatikan pertumbuhan pokok gutta percha di kampus FRIM.

Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata, “Penyelidikan perhutanan sangat penting dalam memastikan penggunaan sumber asli secara lestari untuk pemuliharaan khazanah hutan negara. Dalam aspek ini, FRIM sentiasa berusaha membantu pihak industri dalam membangunkan kaedah pengusahasilan secara lestari serta menggalakkan penghasilan produk menggunakan sumber bahan mentah alternatif.”

Produk yang dihasilkan daripada gutta percha: penyalut kabel (kiri) dan barang hiasan dalaman (sumber gambar: http://atlantic-cable.com/).

Pengurususan hutan merupakan tanggungjawab Pegawai Tanah pada 1895-1901 dalam pentadbiran Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States). Walau bagaimanapun, sejak 1901 Ketua Pegawai Hutan bertanggungjawab mentadbir hutan di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Jabatan Hutan yang pertama ditubuhkan di Johor pada 1920, diikuti dengan Kedah (1923), Kelantan dan Brunei (1933) serta Terengganu (1936) yang bertindak sebagai ‘Malayan Forest Service’. Dari situlah bermulanya sistem pengurusan hutan sehingga tertubuhnya Institut Penyelidikan Perhutanan (FRI) sebagai cawangan penyelidikan Jabatan Hutan dan penubuhan FRIM sebagai badan berkanun pada 1985.

‘Gutta’ bermaksud ‘getah’ dalam Bahasa Melayu manakala ‘percha’ itu nama pokok tersebut. Gutta percha atau nyatoh taban merah (Palaquium gutta) daripada famili Sapotaceae tergolong dalam kumpulan balak saiz sederhana yang dapat mencecah ketinggian 35 m. Spesies ini dijumpai di hutan tanah pamah di Semenanjung Malaysia, Singapura, Sumatera dan Borneo.

Gutta percha merupakan jenis kayu keras ringan adalah sesuai untuk pembuatan hiasan dalaman dan panel. Daunnya berwarna hijau kekuningan atau berkarat dengan urat-urat daun berwarna tembaga manakala bunganya berwarna putih bersaiz kecil.

Pokok ini mula mengeluarkan getah berwarna putih bila melebihi 15 tahun. Pada suhu bilik, getah gutta percha adalah keras namun apabila dipanaskan, bahan ini boleh dikepal-kepal menjadi pelbagai bentuk. Gutta percha mula-mula diperkenalkan di Eropah dan dipasarkan setelah diketahui memiliki sifat-sifat yang sesuai (senang lentur, tahan tekanan tinggi dan suhu dingin) untuk pembuatan penyalut dawai elektrik dalam air. Di samping itu, getahnya juga digunakan sebagai pelapis bola golf, dalam rawatan gigi serta menghasilkan genggaman pistol dan bahan perhiasan.

Pokok-pokok gutta percha tertua di kampus FRIM ditanam pada 1927. Ketinggian pokok-pokok tersebut ialah kira-kira 27–32 m dan mempunyai diameter berukuran 33-46 cm pada paras dada (dbh).

 

4 (80%) 5 votes
Print Friendly, PDF & Email

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast