Jom tanam pokok kenangan di FRIM pada 25 Mac!

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

10 Mac 2017 (Jumaat) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menjemput orang ramai untuk menyertai aktiviti ‘penanaman pokok kenangan’ di kampus FRIM sempena Hari Hutan Antarabangsa 2017 (IDF2017) Peringkat FRIM pada 25 Mac.

“Sebanyak 50 anak pokok akan disediakan untuk pihak awam yang berminat dengan aktiviti ini. Cuma emel kepada kami (frim_ccu@frim.gov.my) sebelum 20 Mac satu esei tidak melebihi 100 patah perkataan yang menceritakan perkara atau siapa yang anda ingin diperingati melalui aktiviti ini,” kata Norhayati Nordin, Ketua Komunikasi Korporat FRIM.

Tema IDF2017 peringkat antarabangsa adalah ‘Hutan dan Tenaga’. FRIM mengambil pendekatan berbeza dengan mendefinasikan tenaga bukan sebagai bahan api tetapi tenaga dalam setiap insan yang menzahirkan rasa cinta.

Norhayati berkata ‘Semarakkan dengan Cinta’ dipilih sebagai tema IDF2017 Peringkat FRIM bagi mencerminkan kepentingan tenaga yang dirasai ketika berada di hutan dan dikelilingi pokok-pokok sebagai “kuasa kehidupan” sepertimana yang sering diperkatakan oleh kebanyakan budaya lama dunia.

“Di India, ia dikenali sebagai ‘prana’; di China, ‘chi’, di Jepun, ‘ki’, dan bagi penduduk asli Amerika, ‘the Great Spirit’. Bagi semua budaya ini dan yang lain-lain, konsep kuasa kehidupan adalah penting dalam perubatan dan penyembuhan. Tenaga positif ini turut memberi semangat dan kebahagiaan. Dengan menjelajah ke dalam hutan dan dikelilingi pokok-pokok, kita dapat meningkatkan tenaga serta ketenangan jiwa.

“Oleh itu, FRIM meraikan IDF2017 dengan merangkul tenaga positif yang ada dalam hutan terutama melalui aktiviti menanam pokok yang akan dilaksanakan di samping memberi peluang kepada orang ramai untuk memperingati orang yang dikasihi atau peristiwa penting dalam hidup mereka,” kata Norhayati.

Tujuan sambutan IDF2017 ini adalah untuk menggalakkan penanaman pokok bagi  penyembuhan, memperingati peristiwa penting, menghijau dan menyejukkan bumi, menyediakan makanan untuk hidupan liar, serta sebagai perbuatan yang mulia atau luahan rasa sayang.

Ia juga memberi peluang kepada seisi keluarga untuk berkumpul dan bersama-sama menikmati keindahan alam semula jadi, selain daripada membolehkan masyarakat setempat melibatkan diri dalam usaha penjagaan FRIM sebagai Warisan Semula Jadi, Warisan Kebangsaan dan bakal Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Antara aktiviti-aktiviti lain untuk penyertaan orang ramai termasuk, ‘Love My Accessory’ iaitu permainan bagi 20 kanak-kanak (umur 7–12 tahun) untuk menggubah bunga, daun, ranting dan rumput bagi menghasilkan aksesori fesyen; ‘Love My Trees’ bagi 30 pelajar Tingkatan Tiga adalah aktiviti pengenalan pokok bertujuan meningkatkan kesedaran serta kemahiran dalam pengecaman pokok-pokok Diterokarpa yang merupakan komponen utama hutan hujan tropika;  dan ‘Love My Photos’ iaitu pameran gambar-gambar penyertaan Pertandingan Fotografi FRIM 2016 di muzium dari 9.00 pagi hingga 12.30 petang.

Bayaran kemasukan dikecualikan untuk semua pengunjung ke FRIM pada 25 Mac. Untuk maklumat lanjut atau pendaftaran aktiviti, sila hubungi Maria Arlene (03-62797529 / maria@frim.gov.my) atau Nur Afniza (03-62797590 / nurafniza@frim.gov.my).

5 (100%) 1 vote
Print Friendly, PDF & Email

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast