Keladan, antara dirian pokok hutan tertua ditanam di FRIM

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

Abd Latif bergambar dengan pokok keladan

Abd Latif bergambar dengan pokok keladan tersebut.

22 Januari 2018 (Isnin) – Dirian pokok tertua di Insitut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah berusia lebih daripada 100 tahun, lebih tua daripada usia institut ini. Mengikut laporan dan penerbitan lama mengenai sejarah FRIM, sebuah kawasan di Kepong (Field 12) telah dibersihkan untuk penanaman secara percubaan yang tidak sistematik sejak Disember 1910 sehingga 1912. Antara spesies yang ditanam ialah kapur (Dryobalanops aromatica) dan keladan (D. oblongifolia) daripada kaum damar (Dipterocarpaceae).

Baru-baru ini, Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod dan staf Cawangan Penderiaan Jauh dan Sistem Maklumat Geografi (RSGI) yang diketuai Dr Hamdan Omar telah membuat lawatan untuk meneliti keadaan pokok-pokok tersebut.

Hamdan; Abd Latif; serta staf RSGI

Dari kiri: Hamdan; Abd Latif; serta staf RSGI, Roslan Abdul Rahman, Mohd Bohari Ehwan dan Zainol Khalid.

Dalam dirian tersebut, terdapat sebatang pokok keladan yang paling besar, berukuran diameter pada aras dada (dbh) 115.8 cm dengan ketinggian 36.4 m. Angaran jumlah biojisim pokok tersebut adalah 20.3 tan dan ia menyimpan sebanyak 9.3 tan stok karbon.

“Pokok berusia 116 tahun ini serta pokok-pokok warisan yang lain merupakan aset hidup yang berharga dalam kampus FRIM yang harus dipelihara, terutamanya apabila FRIM sedang menuju ke arah pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO,” kata Abd Latif.

Keladan boleh dijumpai di hutan dipterokarpa di Borneo, Sumatera dan Semenanjung Malaysia, biasanya di kawasan tepi sungai, kawasan tanah rendah sehingga ketinggian 600 meter dari aras laut. Ia mempunyai batang yang lurus, berbanir besar mengembang dan boleh mencapai dbh 150 cm dengan ketinggian sekitar 55 meter. Keladan seperti juga dengan kapur terkenal kerana ketahanan terhadap serangan kulat. Balaknya merupakan bahan utama bagi pembinaan kapal dan rumah. Buah keladan berbentuk bola dengan lima sayap pendek, boleh dimakan sebagai ulam.

Walaupun sesetengah populasi keladan menghadapi ancaman kehilangan habitat, populasi spesies ini masih banyak didapati di kawasan yang terpelihara di Semenanjung Malaysia. Oleh sebab itu, keladan disenaraikan sebagai ‘Kurang Membimbangkan’ (Least Concern) dalam Senarai Merah IUCN.

Daun dan bunga

Daun dan bunga keladan.

Buah keladan

Buah keladan yang boleh dimakan.

5 (100%) 4 votes
Print Friendly, PDF & Email

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast