KP FRIM lancar JK Sahabat Komuniti

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

12 November 2017 (Ahad) – Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah melancarkan Jawatankuasa Sahabat Komuniti Tapak Warisan Kebangsaan FRIM (JSK-FRIM) pagi tadi untuk memperkasakan sokongan komuniti setempat dalam menyokong dan mendokong usaha pengiktirafan FRIM sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Majlis pelancaran dan aktiviti ramah mesra bersama komuniti yang diadakan di FRIM, Kepong ini dihadiri ahli-ahli jawatankuasa tersebut, wakil-wakil agensi, ahli-ahli majlis, dan semua komuniti.

Abd Latif berkata penyertaan komuniti setempat adalah penting dalam menyumbang kepada pengetahuan dan maklumat asas yang boleh dijadikan panduan oleh pihak berkuasa, khususnya pengurusan FRIM dalam merangka keputusan atau tindakan yang akan diambil.

Beliau percaya penglibatan komuniti dalam program-program serta aktiviti yang dijalankan oleh FRIM akan lebih efektif dengan pembentukan jawatankuasa khas ini.

Pada 4 November lalu, FRIM telah menubuhkan jawatankuasa tersebut yang dianggotai oleh perwakilan dari enam (6) penempatan komuniti dalaman FRIM dan perwakilan dari 26 penempatan komuniti kawasan kejiranan.

Abd Latif berharap jawatankuasa ini akan menjadi satu platform khusus bagi komuniti setempat berbincang mengenai perancangan, penyelesaian masalah, perkongsian kaedah-kaedah yang dapat membantu meningkatkan penyertaan komuniti dalam pemuliharaan FRIM.

Dalam majlis ini, lebih 250 orang yang hadir juga menyahut seruan KP FRIM dan berikrar memberikan yang terbaik dan bersama menjaga persekitaran serta memastikan harapan untuk FRIM menjadi Tapak Warisan Dunia tercapai dan kampusnya terus terpelihara.

Selain itu, KP FRIM melancarkan kumpulan ’Junior BioD Rangers’ (JBR) yang merupakan sebahagian daripada program Citizen Science yang dikendalikan oleh Program Pengurusan Tapak Warisan FRIM.

Fokus pembentukan kumpulan ini adalah untuk mewujudkan peranan sebagai pemelihara alam sekitar bagi golongan dalam kalangan kelompok kanak-kanak dan remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun yang tinggal di dalam kampus FRIM.

Sasarannya adalah untuk memupuk cinta dan semangat kesedaran alam sekitar dalam kalangan golongan muda ini menerusi pendekatan ’to learn by doing’.

Kumpulan ini terdiri daripada 20 wakil anak-anak kakitangan FRIM yang akan berperanan sebagai ’mata dan telinga’ FRIM. Pelbagai aktiviti alam sekitar akan diatur untuk melatih kumpulan ini.

Terdapat pelbagai aktiviti yang diadakan sempena majlis ini, termasuk tarian sewang oleh ahli-ahli komuniti Kampung Orang Asli Bukit Lagong dan Sungai Buloh; demonstrasi masakan makanan etnik; persembahan pencak silat; serta bazaar pameran kraf dan hasil pertukangan tangan.

Turut hadir, Mohd Azzirin Datuk Abu Dolah, Pengerusi JSK-FRIM; Datuk Rahim Sudin, Timbalan KP (Operasi) FRIM; Dr Nur Supardi Md Noor, Pengarah Bahagian Perancangan Penyelidikan FRIM serta Dr Samsudin Musa, Pengarah Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM.

5 (100%) 1 vote
Print Friendly, PDF & Email

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast