Alphonsea maingayi merupakan ahli kaum Annonaceae. Spesies ini merupakan spesies asal Semenanjung Malaysia dan boleh didapati di Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan ke selatan semenanjung. Biasa dikenali sebagai pisang-pisang batu, pepisang bukit, mengkudang atau terbak, pokok ini bersaiz sederhana dengan kulit kayunya berwarna hitam dan bercabang rendang. Ranting-ranting serta serpihan kayunya berbau seperti timun. Pokok-pokok ini yang boleh dilihat berhampiran pintu masuk FRIM mula berbunga dari Disember 2011 sehingga Januari 2012 dan mula berbuah pada bulan Februari. Rasa buahnya masam-masam manis dan enak dimakan. Dengan buahnya yang kuning menarik, pokok ini juga amat cantik untuk dijadikan tanaman hiasan.