13 Februari 2018 (Selasa) – Ramai yang mungkin tidak mengetahui bahawa Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah terlibat secara aktif dalam membantu pemuliharaan Rumah Penghulu Abu Seman yang kini menjadi salah satu tarikan pelancong yang popular di Kuala Lumpur.

Pegawai penyelidik FRIM, Dr Khairul Awang dan Dr Mohd Tamizi (kanan) di hadapan Rumah Penghulu Abu Seman pada 2017.

Diberi penarafan bintang 4.5 bintang oleh TripAdvisor, rumah ini dipercayai dibina 90 tahun sebelum dipindahkan ke lokasi sekarang di Badan Warisan Malaysia (BWM) berhampiran dengan Bukit Bintang dari Kampung Sungai Kechil, Mukim Bagan Semak, Bandar Baharu, Kedah, di bawah projek inisiatif BWM pada tahun 1996.

Proses pemindahan dan membaikpulih ini merangkumi dokumentasi, kajian, pembelian dan penempatan baru di Kuala Lumpur. Dirasmikan oleh Presiden BWM, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Majid pada Mei 1996, pembinaan semula bangunan yang bermula pada Ogos 1996 siap pada November 1997.

Rumah Penghulu Abu Seman (Sumber: Architecture Malaysia Nov/Dis 1998).

Proses lakaran dan dokumentasi dibuat secara kerjasama iaitu Tuan Syed Iskandar Syed Ariffin dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Hong Lai Thong dari FRIM dan Yahya Ahmad dari Universiti Malaya (UM).

Kakitangan FRIM, Karim Nasir dan Rosmaidi Ibrahim menjalankan kerja-kerja pemasangan semula rumah tersebut (Sumber: Architecture Malaysia Nov/Dec 1998).

Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata pakar dan tukang kayu FRIM telah memberi khidmat ketukangan kayu untuk membuka dan memasang kembali rumah tersebut, mengganti kayu atau komponen yang rosak serta mengenalpasti jenis kayu yang digunapakai pada struktur rumah; serta merekod dan menanda jenis penyambungan (joints) pada setiap sambungan.

Pada waktu itu, pegawai dari FRIM yang bertanggungjawab termasuk Shukari Midon, Dr Mohd Tamizi Mustafa dan juga dua pakar luar negara iaitu Wulf Killmann dan Tom Sickinger dari negara Jerman, terutama dalam dokumentasi pembinaan dan penyelidikan.

Menaikan tiang seri sebagai simbolik kerja pemasangan Rumah Penghulu Abu Seman bermula (Sumber: BWM).

Ianya mendapat sentuhan dari kakitangan FRIM seperti Karim Nasir, Suffian Hamsan, Rosli Mahidin, Mohd Asri Adam, Rosmaidi Ibrahim, Kunasegaran Muthu, Abdullah Manap, Abdul Ghani Muhamad, A. Roslee Radzali, Noramad Buyong, Aminudin Abdul Aziz, Rosley Jaafor, Mohd Nayan Ismail, Jaafar Sulaiman, Allahyarham Kamaruzaman Nawawi dan Mohd Zaini Adam yang menyumbang kepakaran dalam membuka dan memasang semula Rumah Penghulu Abu Seman hingga selesai.

Rumah Penghulu Abu Seman juga pernah diberi pengiktirafan antarabangsa antaranya Anugerah Kehormat bagi pemuliharaan Warisan Budaya Asia Pasifik UNESCO 2000 dan Anugerah Kecemerlangan ASEANTA pada 2003.