12 Disember 2016 (Isnin) – Malaysia telah memenangi Anugerah Emas baru-baru ini bagi pembangunan laman sesawang Malaysia Biological Diversity Clearing House Mechanism (MyCHM) di Persidangan ke-13 Negara-negara Anggota kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (COP13) yang diadakan di Cancun, Mexico, 4 hingga 17 Disember 2016.

Dr Lillian Chua (depan, kiri) Pengarah Biodiversiti Hutan FRIM memegang trofi serta sijil dan delegasi Malaysia bergambar bersama Rafael Pacchiano Alamán, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli Mexico (tengah, berbaju putih) dan juga Dato’ Azmi Nordin, Pengarah Silvikultur dan Pemuliharaan Biodiversiti Hutan JPSM (paling kiri) selepas sesi plenari.

Trofi dan sijil anugerah diberi atas pencapaian paling banyak kemajuannya dalam membangunkan sistem CHM negara telah disampaikan kepada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

FRIM telah membangunkan MyCHM yang dilancarkan pada 2008 dan boleh diakses melalui www.chm.frim.gov.my. MyCHM adalah hasil dari inisiatif FRIM sejak 2004 membangunkan laman sesawang yang memfokuskan kepada maklumat flora.

Pada 2010, MyCHM telah diperbaiki untuk memudahkan akses kepada data biodiversiti selaras dengan hasrat Kementerian Sumber Asli dan (NRE) dalam menjadikan MyCHM sebagai pusat sehenti repositori berkenaan biodiversiti di Malaysia.

Antara lain, ciri-ciri carian pintar digabungkan bagi memudahkan penyelenggaraan data dan pengemaskinian data untuk mencerminkan semakan taxanomic terkini. Sistem ini juga diperkayakan dengan data saintifik dan gambar-gambar berkaitan dengan biodiversiti Malaysia.

Dengan peningkatan data serta keperluan bagi analisis biodiversiti, laman sesawang MyCHM yang baharu telah mula dibangunkan pada 2014 dan dinamakan Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS). Fokus utama adalah untuk memenuhi keperluan analisis, statistik biodiversiti, carian lebih terperinci serta menjadikan laman sesawang ini lebih mesra pengguna.

CHM Award

Trofi dan sijil Anugerah Emas CHM yang diterima oleh Malaysia.

Hasilnya, pengguna dari dalam dan luar Malaysia boleh mencari maklumat mengenai biodiversiti Malaysia dengan mudah melalui MyBIS (http://www.mybis.gov.my) yang boleh diakses melalui komputer, tablet mahupun telefon mudah alih.

Penyumbang data terdiri daripada pelbagai agensi termasuk FRIM, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia, Institut Penyelidikan Perubatan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Taman Laut Malaysia serta badan-badan bukan kerjasaan seperti Birds, Nature and Us (BNU).

Pembangunan sistem ini adalah selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan Malaysia, iaitu untuk meningkatkan pengetahuan saintifik dan teknologi, serta nilai-nilai pendidikan dan estetik dalam kepelbagaian biologi kepada masyarakat. Ia juga merupakan sebahagian daripada komitmen negara di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memudahkan pelaporan dan perkongsian maklumat berkenaan dengan biodiversiti  dan pemuliharaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Kini, sistem ini telah berjaya merekodkan hampir 39,000 spesies flora dan fauna,  termasuk lebih 2,500 gambar, 1,062 status pemuliharaan tumbuhan, 480 pakar biodiversiti dan 1,069 penerbitan. Sehingga September 2016, jumlah pelawat laman sesawang ini telah mencecah 982,098 dan sebanyak 528 ibook download telah direkodkan.