Menyediakan dan membangunkan pengetahuan saintifik yang penting bagi melindungi biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem di Malaysia untuk pengurusan bijak dan mampan.
- Biodiversiti Flora
- Biodiversiti Fauna
- Kesihatan dan Pemuliharaan Hutan
Latarbelakang Sejarah
Herbarium Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (dikenali sebagai KEP pada peringkat antarabangsa) telah bermula semenjak awal 1900an dengan sejumlah kecil koleksi yang dijalankan oleh A.M. Burn-Murdoch. Sehingga Perang Dunia Kedua, koleksi ini semakin bertambah melalui aktiviti pengutipan oleh ahli-ahli botani dan pegawai-pegawai hutan yang berdedikasi seperti G.E.S. Cubitt, F.W. Foxworthy, J.G. Watson dan C.F. Symington.
Dalam tempoh kira-kira 40 tahun, koleksi di KEP telah berkembang kepada kira-kira 43,000 spesimen. Koleksi ini menjadi asas bagi beberapa penerbitan penting berkenaan pokok kayu balak di Malaya seperti “Trees and Timbers of the Malay Peninsula” oleh Burn-Murdoch, “The Commercial Woods of the Malay Peninsula” dan “Dipterocarpaceae of the Malay Peninsula” oleh Foxworthy, “Mangrove Forests of the Malay Peninsula” oleh Watson dan “Foresters’ Manual of Dipterocarps” oleh Symington.
Selepas Perang Dunia Kedua, J. Wyatt-Smith ditugaskan untuk mengurus herbarium ini dengan dibantu oleh K.M. Kochummen. Dalam tempoh tersebut, koleksi herbarium dan aktiviti penyelidikan tertumpu kepada famili pokok untuk dimuatkan dalam penghasilan siri “Manuals of Malayan Timber Trees”, seterusnya diikuti dengan penerbitan “Pocket Check List of Timber Trees” dan “Manual of Malayan Silviculture for Inland Forest”. Menjelang 1965, koleksi herbarium telah berjumlah sebanyak 74,694 spesimen.
T.C. Whitmore telah berkhidmat di bawah “Colombo Plan Aid” di antara 1965 dan 1972 untuk mengendalikan dan menghasilkan sebuah “Tree Flora of Malaya”. Dalam jangkamasa tersebut, aktiviti pengutipan telah dijalankan dengan begitu giat bagi menambah koleksi sedia ada untuk projek tersebut. Projek ini mengambil masa selama 24 tahun untuk dilengkapkan, menghasilkan penerbitan empat jilid “Tree Flora of Malaya”. Empat jilid tersebut, memuatkan laporan 2,830 spesies pokok dalam 99 famili, telah menjadi buku rujukan utama bagi pokok di Semenanjung Malaysia.
Fungsi Pusat Rujukan Serangga
Mandat umum herbarium ini adalah untuk mendokumentasi flora berkayu di Semenanjung Malaysia tetapi baru-baru ini, dengan pengiktirafan KEP sebagai Herbarium Kebangsaan Malaysia, mandat ini telah diperluaskan dengan menyertakan penyelidikan koleksi dan penyimpanan semua tumbuhan vaskular di Malaysia, termasuk buluh dan rotan serta palma, kaum halia dan famili-famili herba yang lain (contohnya Gesneriaceae), orkid, pemanjat, paku-pakis dan likofit.
Sebagai sebuah Herbarium Kebangsaan, Herbarium Kepong bertindak untuk menjalankan fungsi-fungsi berikut:
- Sebagai sebuah pusat rujukan dan penyelidikan berkenaan tumbuhan vaskular;
- Untuk menjalankan kajian botani asas dan untuk menyalurkan penemuan penyelidikan melalui penerbitan (contohnya flora, flora pokok, senarai semak dan sebagainya);
- Untuk menyediakan kemudahan bagi kajian dalam bidang-bidang sains yang berkaitan seperti ekologi, silvikultur dan penilaian persekitaran;
- Untuk membekalkan data dan maklumat bagi pengurusan, perancangan dan pemuliharaan hutan; dan
- Untuk pendidikan, terutamanya dalam Kursus Pengecaman Pokok Hutan serta Kursus Teknik dan Pengurusan Herbarium.
Koleksi dan Pengurusan Kini
Kini, Herbarium Kepong memiliki lebih daripada 300,000 spesimen yang disusun mengikut sistem moden “Linear Sequence of Angiosperm Phylogeny Grouping” (LAPG II), dan diurus melalui penggunaan perisian BRAHMS (“Botanical Research And Herbarium Management System”).
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Dr Richard Chung Cheng Kong
Tel: 03-6279 7231
E-mel: richard[at]frim.gov.my
Latarbelakang Sejarah
Koleksi Entomologi Rujukan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bermula seawal 1932 apabila FG Browne dilantik sebagai Pegawai entomologi pertama FRIM. Ketika itu, penekanan diberikan untuk membina koleksi serangga yang dianggap sebagai serangga perosak kayu atau perosak pokok hutan bernilai komersial. Kebanyakan koleksi adalah dari kumpulan kumbang Scolytidae dan Platypodidae yang kebanyakan merupakan kumbang ambrosia.
Koleksi Entomologi Rujukan FRIM ini terselamat dari Perang Dunia Kedua namun perkembangan pusat koleksi adalah terhad sepanjang tempoh tersebut. Malangnya selepas kemerdekaan, kebanyakan spesimen termasuklah spesimen tip* Browne telah dibawa ke Afrika dan sekarang ditempatkan di British Museum of Natural History, yang kini dikenali sebagai Natural History Museum, London.
KD Menon, pengganti FD Browne telah menyambung semula usaha penambahan spesimen koleksi serangga. Beliau telah menyambung usaha penyelidikan serangga perosak kayu dan kumpulan serangga lain. Beliau bertanggungjawab dalam pembangunan koleksi rujukan serangga bagi kumpulan serangga lain yang sehingga kini terdapat dalam koleksi Koleksi Entomologi Rujukan FRIM. Tho Yow Pong kemudiannya menyertai institut ini telah bertanggungjawab untuk meningkatkan koleksi anai-anai dan rama-rama serta serangga lain. Spesimen terus berkembang melalui pelbagai ekspedisi dan projek kolaborasi antarabangsa daripada Jepun, United Kingdom Amerika Syarikat. Sehingga kini, lebih kurang 20 projek kerjasama dengan agensi luar dan dalam negara telah dijalankan dan hasil kutipan serangga telah disimpan dan dikurasi dalam Koleksi Entomologi Rujukan FRIM. Hasil kutipan daripada pelbagai ekspedisi seperti ekspedisi Hutan Simpan Kota Damansara (2011), ekspedisi Hutan Simpan Panti (2008-2010), Ekspedisi Endau Rompin (1992) turut ditempatkan di Pusat ini.
Koleksi Entomologi Rujukan FRIM merupakan satu pusat rujukan kepada ahli taksonomi dan saintis lain yang sangat terkenal di Asia Tenggara kerana ia mengandungi 600,000 serangga di mana lebih kurang 10,000 telah dicamkan spesiesnya. Koleksi Entomologi Rujukan FRIM juga menempatkan kira-kira 229 holotip* dan hampir 1,000 paratip** untuk spesies baru yang dikutip di Malaysia dan negara-negara jiran. Bilangan penerbitan yang dihasilkan daripada hasil kutipan serangga yang disimpan dalam Koleksi Entomologi Rujukan telah melebihi 200 buah penerbitan samada dalam bentuk tesis, buku, jurnal, kertas sains dan teknikal, dan atas talian.
* ** Holotip dan paratip merupakan spesimen yang dikaji oleh pengulas asal yang memberikan nama saintifik kepada serangga tersebut. Spesimen seperti ini berperanan penting dalam kerja-kerja taksonom.
Fungsi Pusat Rujukan Serangga
Fungsi utama Koleksi Entomologi Rujukan FRIM adalah seperti berikut:
- Pusat rujukan dan penyelidikan serangga;
- Menjalankan penyelidikan serangga asas dan menyediakan hasil kajian melalui penerbitan (ie: senarai semak, inventori);
- Menyediakan kemudahan untuk kajian sains berkaitan seperti bidang ekologi, silvikultur dan penilaian persekitaran;
- Menyediakan data dan informasi untuk perngurusan hutan, perancangan dan pemuliharaan terutamanya dalam pengenalpastian serangga
- Pendidikan terutamanya dalam pengenalpastian serangga
Kurasi dan Pengurusan kini
Koleksi ini disimpan di dalam laci kayu berkaca berkualiti tinggi dan disimpan di dalam bilik berhawa dingin yang dikawal dengan kelembapan yang rendah untuk mengelakkan kerosakan yang disebabkan serangan serangga perosak dankulat. Penyelengaraan berkala koleksi dan bilik koleksi dibuat oleh kakitangan Entomologi. Rekod digital spesimen sedang dibangunkan.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Dr. Nada Badruddin
Tel: 03-6279 7111/ 7112
Emel: nada[at]frim.gov.my