Menyokong agenda bioekonomi negara melalui pemerkasaan industri berasaskan produk semula jadi dengan memastikan keselamatan bekalan bahan mentah bioaktif.
- Sumber Biologi
- Fitokimia
- Bioaktiviti
- Pembangunan Produk Herba
Makmal Kawalan Kualiti Hasilan Semula Jadi (NPQC) merupakan sebuah makmal di bawah Bahagian Hasilan Semula Jadi di FRIM. Makmal NPQC telah memperolehi pensijilan daripada Jabatan Standard Malaysia dibawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) untuk keperluan MS ISO/IEC 17025:2017. Makmal NPQC memenuhi keperluan dan kompeten dalam menjalankan ujian dalam bidang mikrobiologi, kimia dan fizikal. Pensijilan ini diperakui setara dengan ISO/IEC 17025:2005 yang dikeluarkan oleh International Organization for Standardization (ISO).
Perkhidmatan ujian kawalan kualiti yang ditawarkan kepada industri herba adalah; a) ujian pencemaran mikroorganisma, b) analisis logam berat, c) ujian keseragaman berat dan d) ujian pengecaian. Ujian pencemaran mikroorganisma yang dijalankan akan menentukan jumlah paras kandungan mikroorganisma dan juga menentukan kehadiran spesies mikroorganisma spesifik seperti Escherichia coli, Salmonella spp., Staphylococcus aureus, Pseudomonas aeruginosa, Bile tolerant gram negative bacteria dan Candida albicans. Manakala ujian analisis logam berat akan menentukan kandungan unsur logam seperti Kadmium (Cd), Plumbum (Pb), Merkuri (Hg) dan Arsenik (As). Bagi ujian keseragaman berat dan ujian pengecaian, ujian-ujian ini akan dijalankan ke atas produk herba dalam bentuk tablet dan kapsul. Kesemua ujian yang ditawarkan ini dikendalikan berpandukan Dokumen Garis Panduan Pendaftaran Dadah (DRGD) dan Akta Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Terkini, Makmal NPQC telah menerima pengiktirafan sebagai makmal pengujian untuk produk tradisional daripada NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara), Kementerian Kesihatan Malaysia. Makmal NPQC juga merupakan salah sebuah makmal di bawah program Pembangunan Produk Herba yang telah dianugerahkan status BioNexus Partners (BNP) oleh Bioeconomy Corporation.
Makmal Biologi (MBIO) di bawah Bahagian Hasilan Semula Jadi (BHS) menawarkan perkhidmatan teknikal (ujian bioaktiviti) kepada industri herba; antaranya ialah ujian-ujian antioksidan (Xanthine/Xanthine Oxidase Superoxide Scavenging, DPPH Radical Scavenging Assay, Tyrosinase Inhibitory Assay, Hydrophilic Oxygen Radical Absorbance Capacity (H-ORAC), Lipophilic Oxygen Radical Absorbance Capacity (L-ORAC), Elastase Inhibitory Assay & Total Phenolic Determination), antiradang (Hyaluronidase Inhibitory Assay, Lipoxygenase Inhibitory Assay, Xanthine Oxidase Inhibitory Assay & Protein Denaturation Inhibitory Assay), antidiabetes (a-Amylase & a-Glucosidase Inhibition Assays), dan toksisiti in vitro (sitotoksisiti) pada titisan sel Vero (ginjal), WRL-68 (hati) & BALB/3T3 clone A31 (fibroblas).
Program Fitokimia merupakan salah satu program di Bahagian Hasilan Semula Jadi dengan akreditasi ISO 9001: 2015 yang menjalankan aktiviti penyelidikan dan juga menawarkan perkhidmatan teknikal berkaitan analisis kimia. Analisis yang ditawarkan untuk perkhidmatan teknikal termasuk ujian kualiti, ujian penyaringan fitokimia, analisis kandungan flavonoid, gula, polisakarida dan saponin menggunakan spektroskopi UV-Vis, analisis spektroskopi FTIR, analisis spektroskopi NMR untuk 1D dan 2D, analisis HPLC dan LC-MS untuk pemprofilan secara kualitatif dan kuantitatif, penentuan kandungan eurycomanone dalam sampel dan produk daripada tongkat ali menggunakan UPLC, dan analisis HPTLC untuk pemprofilan dan kualitatif. Program Fitokimia juga telah menerima akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia bagi Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM), yang memenuhi keperluan MS ISO/IEC 17025:2017 bagi analisis “Pengenalpastian akar tongkat ali menggunakan analisis HPLC”. Kaedah analitikal ini dibangunkan melalui kajian penyelidikan yang komprehensif ke atas lebih daripada 100 sampel akar tongkat ali. Analisis ini ditawarkan kepada industri herba atau pihak yang berminat untuk memastikan bahawa sampel yang digunakan dalam produk mereka adalah sahih dan tulen.
Pusat Pensahihan Bahan Mentah Herba, FRIM (CAHRM) berperanan dalam menyediakan Sijil Analisis (COA), untuk pensahihan bahan mentah herba, bagi memperkasa industri herba Malaysia, secara meningkatkan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk siap. Sebilangan makmal yang terlibat dengan CAHRM telah memperoleh status BioNexus Partners (BNP) daripada Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia. Matlamat pusat ini antaranya ialah untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan penggunaan herba, menyediakan platform bagi pembangunan secara saintifik garis panduan untuk jaminan kualiti, menggalakkan sifat bertanggungjawab dan mampan dalam industri dan perdagangan herba, memastikan daya saing herba domestik di pasaran dunia, menjadi pusat rujukan dan latihan, serta pusat pemuliharaan spesies herba.
FRIM diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan dalam bioteknologi perhutanan dan pembangunan hasilan semula jadi dengan penganugerahan status BioNexus Partners (BNP) kepada dua makmal penyelidikan bioteknologi dan empat makmal hasilan semula jadi. Dua makmal iaitu Makmal Kultur Tisu yang menawarkan perkhidmatan pembiakan bahan tanaman secara besar-besaran dan Makmal Genetik yang menjalankan ujian pengenalpastian dan autentikasi tumbuhan melalui teknologi DNA telah diberikan status BNP pada tahun 2008. Makmal Fitokimia memperoleh status BNP pada 2009, disusuli dengan Makmal Pembangunan Produk Herba, Makmal Farmakognosi dan Pusat Teknologi Herba (HTC) pada 2011. Makmal BNP menawarkan jaringan kerjasama dari segi kemudahan, perkhidmatan dan kepakaran kepada universiti, institusi penyelidikan, taman teknologi, pusat inkubasi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memperkasa industri bioteknologi dan herba tempatan. Melalui program ini, FRIM telah menjalankan pengujian terhadap lebih daripada 4,700 sampel yang diterima daripada sekurang-kurangnya 400 syarikat atau pelanggan. Tiga daripada makmal ini telah berjaya mendapat akreditasi ISO/IEC 17025. Satu daripadanya iaitu Makmal Kawalan Kualiti Hasilan Semula Jadi (NPQC) telah dilantik sebagai makmal panel Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan sejak 2016. Laporan ujian kawalan kualiti yang dikeluarkan oleh makmal NPQC mengesahkan kualiti dan keselamatan produk serta mempercepatkan proses pendaftaran produk dengan NPRA. HTC juga memperoleh Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan pensijilan halal bagi peningkatan kualiti produk herba tradisional. Di samping itu, Anugerah BNP Terbaik untuk AgBiotek dan Anugerah Kerjasama BNP Terbaik telah dianugerahkan kepada dua makmal masing-masing pada 2013 dan 2015. Berdasarkan prestasi cemerlang, Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia telah melanjutkan status enam makmal BNP ini. FRIM yang mempunyai kemudahan penyelidikan terkini dan kepakaran, mengalu-alukan kerjasama dengan industri bioteknologi perhutanan dan herba bagi meningkatkan kualiti bahan tanaman dan produk herba, serta mempertingkatkan daya saing perniagaan dan keupayaan menembusi pasaran antarabangsa.