Denai ini bermula dari rumpun buluh gergasi berhampiran dengan kolam ikan. Perjalanan melalui denai ini mengambil masa lebih kurang 30 minit dan denai ini berakhir di belakang perpustakaan FRIM. Denai Keruing merupakan denai alam tertua di FRIM yang dibuka kepada orang awam dan denai ini dinamakan sempena spesies Dipterokarpa (Dipterocarpus sp.) atau keruing yang banyak terdapat di sepanjang denai. Denai Keruing merentasi ladang hutan antara yang tertua di FRIM dan terdapat beberapa jenis spesies kayu balak utama di Malaysia. Antara spesies balak yang ditanam di sini selain keruing ialah kapur (Dryobalanops aromatica), jelutung (Dyera costulata), merbau (Intsia palembanica), cengal (Neobalanocarpus heimii), serta meranti tembaga (Shorea leprosula).
Denai alam ini dinamakan bersempena dengan Ketua Pengarah pertama FRIM iaitu Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor yang telah bersara pada bulan Oktober 1995. Beliau memainkan peranan yang sangat penting dalam meningkatkan status FRIM kepada sebuah badan berkanun pada 1985. Pelbagai kejayaan telah dicapai oleh beliau berkaitan dengan pengurusan sumber dan alam sekitar yang mampan. Denai berukuran lebih kurang 710 m dan sedikit beralun. Di sepanjang denai ini, dapat dilihat tapak hutan ladang yang telah ditubuhkan pada awal tahun 1928. Perjalanan di denai ini mengambil masa lebih kurang satu jam. Pokok-pokok seperti kapur (Dryobalanops aromatica), keladan (Dryobalanops oblongifolia), gaharu (Aquilaria malaccensis), merbau (Intsia palembanica), engkabang (Shorea macrophyla) dan rotan batu (Calamus filipendulus) adalah antara spesies pokok yang dapat dilihat di sepanjang laluan denai ini.
Denai ini dinamakan bersempena dengan nama pokok engkabang (Shorea macrophylla) yang ditanam sekitar tahun 1935 dan 1937. Perjalanan melalui denai sepanjang 554 meter ini mengambil masa lebih kurang 45 minit dan dihubungkan dengan kawasan Arboretum Dipterokarpa. Beberapa spesies pokok hutan yang boleh ditemui di sini ialah pokok belian (Eusideroxylon oblongifolia), rotan semambu (Calamus sciponum) dan keladan (Dryobalanops oblongifolia). Denai ini merentasi bekas kawasan tanah lembap yang terjadi pada tahun 1930-an yang sebahagiannya ditutupi oleh padang rumput dan hutan belukar. Denai ini bertemakan biodegradasi yang berlaku di dalam hutan. Kehadiran kumpulan anai-anai dan kayu-kayu yang mereput menggambarkan proses yang bermanfaat di dalam persekitaran hutan semula jadi.
Denai ini dinamakan bersempena dengan pokok sebasah (Aporosa arborea) yang banyak ditemui di sini. Denai ini dibangunkan pada 2008 dan menerangkan pelbagai fenomena alam yang istimewa dan berkaitan dengan kemandirian flora dan fauna di dalam kawasan hutan yang lembap. Perjalanan kira-kira 40 minit di denai ini memberi pengalaman yang unik untuk adaptasi dalam keadaan basah dan menawarkan pengunjung pengalaman baru. Denai sepanjang 610 meter ini juga membawa pengunjung kepada pelbagai ekosistem dan paling terkenal kerana tempat persinggahan burung migrasi. Denai ini dibangunkan untuk tujuan pendidikan.
Denai razak terletak di Taman Botani Kepong dan dilancarkan pada 14 Januari 2008 dengan tema “Rich Diversity of Malaysian Under-Storey Plants”. Denai sepanjang 400 m ini dinamakan sempena nama bekas Ketua Pengarah FRIM yang kedua iaitu Datuk Dr Hj. Abdul Razak Mohd Ali yang telah bersara. Denai ini dibina untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan laluannya boleh digunakan oleh mereka yang berkerusi roda.
Untuk maklumat lanjut, sila klik di sini.
Sila patuhi arahan Panduan Pelawat FRIM ketika menjalankan aktiviti di atas.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi
Pusat Informasi Pelawat (VIC)
Tel: 03-6279 7592 / 03-6279 7649
E-mel: frim_enquiry[at]frim.gov.my