Stesen Penyelidikan FRIM Jengka telah ditubuhkan pada tahun 1982 dan sehingga kini, masih lagi dikekalkan sebagai salah satu stesen penyelidikan FRIM. Ianya berperanan menyediakan tempat bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang memfokuskan kepada penyelidikan hutan bukit dipterokarpa. Stesen ini terletak di antara ladang kelapa sawit / koko dan hutan simpan (iaitu hutan pengeluaran yang telah dibalak). Ianya telah digunakan secara meluas oleh para penyelidik tempatan dan luar negara dan antara projek yang telah berjaya dilaksanakan adalah merangkumi penyelidikan bagi menilai kesan pembalakan, pertumbuhan regenerasi pokok dan dirian tinggal, rawatan silvikultur, tanaman mengaya, hidrologi, sains tanah, zoologi dan juga ekologi hutan.

Berasaskan persekitaran hutan, stesen ini mempunyai 3 bangunan kayu dengan 12 bilik tidur. Pada satu-satu masa, tempat ini mampu menampung sejumlah 42 orang maksimum. Antara kemudahan asas yang terdapat di sini adalah bilik air yang terletak di dalam setiap bilik tidur, bekalan elektrik sepanjang masa, dapur dan peralatannya, surau, pejabat stesen dan bilik stor. Lain-lain kemudahan bagi aktiviti rekreasi (sama ada indoor mahupun outdoor) juga terdapat di sini seperti permainan ping-pong, karom, badminton, sepak takraw dan juga denai hutan.

Kajian hidrologi menilai impak aktiviti pengusahasilan (supervised and unsupervised mechanized) terhadap kuantiti dan kualiti air di 3 kawasan tadahan air di dalam hutan dipterokarpa bukit sekitar SPF Jengka. Perubahan parameter hidrologi dipantau selama beberapa tahun bagi tempoh sebelum dan selepas pengusahasilan. Hasil kajian telah pun dimasukkan ke dalam garis panduan penilaian impak alam sekitar untuk hutan darat. Aspek kesuburan tanah dan pengaruhnya kepada spesies dipterokap di dalam kawasan tadahan air juga telah dinilai di dalam kajian ini.

Bagi kajian silvikultur dan pengurusan hutan pula, kajian memfokuskan kepada:

  • Kesan sistem pengusahasilan (iaitu menggunakan traktor dan kabel high-lead) dan had batas tebangan yang berbeza terhadap tindakbalas tumbesaran dirian tinggal, dan
  • Tanaman mengaya di kawasan hutan miskin.

Sejumlah 18 plot kajian tumbesaran dan pengeluaran bersaiz 1-hektar telah ditubuhkan pada tahun 1979 di hutan pengeluaran bersebelahan SPF Jengka dan telah dipantau sehingga kini. Semua individu pokok bersaiz 10 cm dan ke atas perepang paras dada telah dipasang tag, dikenalpasti spesies dan dipetakan. Tumbesaran dan kematian pokok tersebut telah dipantau secara berkala. Maklumat berkaitan tumbesaran, kadar kematian dan kadar penokokan pokok di dirian tinggal yang diperolehi daripada plot kajian ini telah digunakan untuk mengesahkan andaian tumbesaran pokok yang telah dibuat di bawah sistem pengurusan hutan sedia ada untuk hutan dipterokap bukit.

Pembalakan menggunakan kabel high-lead telah diperkenalkan di kawasan ini kerana topografi kawasan yang berbatu dan curam. Walau bagaimanapun, adalah didapati, kaedah ini mengakibatkan kerosakan yang teruk kepada pokok tinggal dan mengganggu tanah menyebabkan ianya tidak digunakan di dalam amalan pengusahasilan. Had batas tebangan yang digunakan dalam kajian ini (iaitu tebang semua pokok bersaiz 45, 52 dan 60 cm ppd) tidak menunjukkan kesan yang signifikan kepada pertumbuhan pokok di dirian tinggal.

Kajian percubaan tanaman menggaya yang dijalankan bertujuan mengujicuba dua kaedah penanaman, iaitu tanaman barisan atau tanaman berkumpulan dan spesies yang sesuai. Adalah di dapati, keadaan kawasan dan kekerapan rawatan silviklutur mempengaruhi prestasi pertumbuhan pokok. Shorea macrophylla adalah di antara spesies yang menunjukkan keputusan yang memberangsangkan.

Terkini, kajian bagi menentukan kesan positif atau negatif perubahan iklim terhadap ekosistem hutan dan produktivitinya sedang dijalankan di hutan pengeluaran bersebelahan SPF Jengka. Sistem Free-Air Carbon Dioxide Enrichment atau lebih dikenali sebagai FACE telah dibangunkan bagi melihat tindakbalas komuniti hutan tropika seperti spesies dipterokap, semut dll terhadap kepekatan CO2 di persekitaran. Sistem FACE ini melibatkan pembinaan infrastruktur berbentuk hexagonal. Ianya akan melepas dan menambahkan kepekatan CO2 di udara, dari 410-450 ppm (biasa) hingga ke 600 ppm dan ke atas (tinggi). Kajian yang telah bermula pada tahun 2016 ini akan diteruskan sehingga tahun 2020 dengan sokongan daripada Kerajaan Malaysia di bawah Rancangan Malaysia ke Sebelas. Objektif utama kajian adalah untuk menentukan perubahan terhadap ekosistem dan produktiviti hutan pengeluaran selepas pelepasan CO2 melalui sistem FACE. Kesan terhadap ekosistem hutan (termasuk mikrob, fisiologi, tanah, fenologi, fauna dan biji benih) dan produktiviti (tumbesaran pokok) akan dinilai. Hasil dapatan daripada kajian jangka panjang ini kelak akan menentukan kesan yang signifikan kepada ekosistem dan produktiviti hutan (iaitu hasil kayu dan bukan kayu) dari masa ke masa. Kesan positif terhadap aktiviti hutan dengan perubahan iklim yang diramalkan adalah peningkatan tumbesaran kayu dan jumlah isipadu kayu yang tersedia untuk diusahasil akan lebih tinggi. Manakala kesan negatif akan dibuktikan sebaliknya. Strategi adaptasi akan dirancang berdasarkan spesies yang diperlukan untuk ditanam bagi memastikan pengurusan hutan lestari. Pemilihan spesies termasuklah yang mempunyai toleransi tinggi atau rendah, dan mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih cepat atau lebih rendah apabila persekitaran berubah.

 

En Mohamad Danial bin Md Sabri
Penyelaras,
Stesen Penyelidikan FRIM Jengka,
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia
52109, Kepong, Selangor
Tel : 03-6279 7194
Emel: danial[at]frim.gov.my