Stesen Penyelidikan FRIM (SPF) Setiu terletak di Kg. Bari Besar, Penarik, Setiu, Terengganu dari bandar Kuala Terengganu dan 460 km dari Kuala Lumpur. Jumlah keluasan keseluruhan kawasan tanah SPF ini ialah 53 ha dan kawasan ini ialah milik kerajaan negeri Terengganu yang telah dipajakkan kepada FRIM pada 26 Julai 1996. Tanaman asal yang terdapat dalam kawasan ini adalah seperti Acacia spp, Malaleuca cajuputi, Eugenia spp. dan spesies-spesies sekunder yang lain.

Kawasan ini mula dibangunkan pada September 1993 (persempadanan kawasan, pembersihan tanah dan pembinaan pagar). Stesen penyelidikan di bawah seliaan Program Hutan Ladang FRIM ini memberi keutamaan dalam penyelidikan tanah Beach Ridges Interspersed with Swales (BRIS).  Menurut Choo (1991), dianggarkan sebanyak 71 000 ha tanah BRIS telah direkodkan di negeri Terengganu dan mempunyai status tanah yang rendah kesuburannya. Hanya sedikit kemajuan yang telah dilakukan dalam kerja pemulihan tanah jenis ini, selain MARDI yang mempromosikan penanaman tembakau. Abdullah (1957) menganggarkan majoriti kawasan tanah BRIS ini terbiar, hanya 5–10% sahaja yang digunakan untuk tujuan pertanian di dalam negara ini.

Di SPF Setiu, infrastruktur seperti bangunan pejabat, kuarters staf, rumah pelawat dan sebuah tapak semaian telah dibangunkan untuk memudahkan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh para penyelidik. Rumah pelawat telah diubah suai dan kini mempunyai enam buah bilik yang mampu memuatkan 12 orang. Sebuah makmal kecil turut disediakan untuk kerja-kerja penyelidikan. Bangunan tapak semaian yang dilengkapi dengan sistem penyemburan diselenggara untuk percambahan anak benih/pokok.

Objektif utama SPF ini adalah seperti yang berikut:

  • Untuk menjalankan aktiviti kajian dan berkongsi maklumat tentang penanaman/pertumbuhan pokok di tanah BRIS,
  • Untuk mengenal pasti spesies pokok hutan ladang yang berpotensi ditanam di tanah jenis bermasalah ini,
  • Untuk menggalakkan penggunaan tanah BRIS dengan tanaman spesies pokok hutan yang bernilai komersial, dan
  • membangunkan teknik yang menjimatkan kos bagi penanaman pokok di tanah BRIS
  • Penghutanan semula spesies-spesies pokok terpilih yang cepat tumbuh di tanah BRIS,
  • Penanaman Tectona grandis di kawasan BRIS,
  • Pembangunan teknik penanaman spesies balak bernilai tinggi di atas tanah BRIS,
  • Penubuhan spesies perladangan terpilih (Azadirachta excelsa, Khaya ivorensis, Hevea brasiliensis dan Dyera costulata),
  • Pembenihan Acacia auriculiformis,
  • Prestasi hibrid Acacia di tanah BRIS,
  • Penggunaan sisa dahan kelapa sawit terhadap pertumbuhan pokok di tanah BRIS,
  • Pemulihan tanah BRIS dengan inokulasi mikoriza Acacia spp, dan
  • Kajian genetik Tectona grandis di tanah BRIS.

Mohd Fakhri Ishak
E-mel : mohamadfakhri[at]frim.gov.my
Tel: 03-6279 7137
Faks: 03-6280 4614