Project Description

Kacang brazil atau nama saintifiknya Bertholletia excelsa berasal daripada Amerika Selatan. Pokok ini tergolong dalam keluarga Lecythidaceae dan satu-satunya spesies dalam genus Bertholletia, oleh itu disebut sebagai “monotip”. Pokok ini berasal dari Guianas, Venezuela, Brazil, timur Colombia, timur Peru dan timur Bolivia dan tersebar hingga ke hutan besar dari Amazon, Rio Negro, Tapajos dan Orinoco. Kacang brazil merupakan pokok besar yang boleh mencapai ketinggian 30-45 m dan diameter batangnya boleh mencapai 1-2 m. Pokok ini antara pokok yang terbesar di hutan hujan Amazon. Kacang brazil boleh hidup selama 500 tahun atau lebih, dan pernah dicatatkan mencapai usia 1,000 tahun.

Batang pokok ini lurus dan biasanya tidak berdahan sehingga separuh daripada ketinggiannya serta mempunyai silara besar yang muncul di dahan utama melebihi ketinggian silara pokok-pokok lain yang berada di sekitarnya. Kulit pokok berwarna kelabu dan licin. Daun pokok ini berbentuk bujur serta mempunyai susunan daun bersilang. Saiz daun adalah sekitar 20-25 cm panjang dan 10-15 cm lebar. Bunga pokok kacang brazil bersaiz kecil, berwarna putih kehijauan di tengahnya dan mempunyai enam kelopak yang berwarna kuning cair atau krim. Ukuran bunga ialah 5-10 cm ukur lilit dan keluar secara berkelompok.

Pokok ini akan mengeluarkan buah pertamanya hanya selepas 30 tahun dan buahnya akan gugur sendiri apabila cukup masak iaitu kira-kira 14 bulan selepas pendebungaan. Walaupun jatuh dari ketinggian beratus kaki, lazimnya buah kacang brazil tidak pecah kerana kulit berkayunya yang tebal dan keras. Kulit buah dipecah menggunakan parang atau gergaji untuk mengeluarkan bijinya.

Buah kacang brazil sangat unik. Saiznya besar, berbentuk bulat dengan diameter antara 10-15 cm dan kulit berkayu yang tebal sehingga 2 cm. Berat sebiji buahnya boleh mencapai sehingga 2 kg. Di dalamnya mengandungi 18-24 biji dengan bentuk seakan-akan tiga segi bujur yang bersaiz 4-5 cm panjang dan berwarna putih krim. Bahagian biji ini mengandungi 18% protein, 13% karbohidrat serta 69% lemak mengikut berat, dan 91% kalorinya adalah daripada lemak.

Selain dimakan segar, bijinya juga digoreng supaya lebih rangup dan juga dijadikan pes. Antara produk akhir kacang brazil ialah bahan perasa untuk kek, ais krim, biskut dan juga produk berasaskan kesihatan dan kosmetik. Kayu pokok kacang brazil juga mempunyai kualiti yang sangat baik namun pembalakannya diharamkan kerana pokok ini adalah dilindungi. Status pemuliharaan pokok ini adalah “Vulnerable”.

Pokok kacang brazil yang sedang berbuah boleh dilihat di jalan utama berhampiran kawasan perumahan staf, Kampung Jawa, FRIM semenjak awal bulan Mac 2014.