Project Description

Lagerstroemia floribunda yang dikenali sebagai Thai crape myrtle atau bungor kedah berasal daripada kawasan tropika Asia Tenggara. Bungor tergolong dalam kumpulan Lythraceae, yang juga termasuk pokok inai dan delima. Genus ini dinamakan bersempena ahli botani Sweden, Magnus von Lagerstroem (1691-1759). Bunganya yang cantik mempunyai sifat hermaprodit iaitu mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina, bersaiz sehingga 7.5 cm lebar, berwarna putih, ungu terang atau ungu lembut berjambakan di hujung batang. Terdapat lima kelopak bunga yang berkedut-kedut seperti kertas krep (crepe), menyebabkan pokok ini dipanggil dengan nama “crape myrtle” atau “crepe myrtle”. Daun bungor agak tebal dan berbentuk bujur, sehingga 30 cm panjang dan 13 cm lebar. Buahnya berbentuk kapsul, kering bila matang dan akan terbelah untuk menyebarkan biji benihnya yang bersayap. Pokok bungor boleh tumbuh sehingga 15 m tinggi. Lagerstromia speciosa dan L.langkawiensis  yang merupakan saudara dekat spesies ini juga boleh di lihat di FRIM.

Daun Lagerstroemia speciosa digunakan di Filipina sebagai ubatan tradisional untuk mengubati penyakit kencing manis dan buah pinggang. Dalam ujikaji makmal ekstrak daunnya dilaporkan meransang pengambilan glukos dalam dos tertentu sama seperti tindak balas insulin. Teh daripada daun bungor boleh didapati di pasaran. Sifat kayu bungor yang tahan direndam amat berguna dalam pembinaan kapal, bot, perabot dan dalam industri pembinaan. Terdapat pelbagai kultivar Lagerstroemia speciosa, ditanam di tepi-tepi jalan, di kawasan pejabat, taman-taman awam dan laman. Di FRIM pokok ini boleh dilihat dengan daun-daun yang merah di hadapan auditorium (Bangunan E1). L. floribunda boleh dilihat di Taman Botani Kepong, sementara L. langkawiensis pula berhampiran Bangunan D4, FRIM.

Disediakan oleh Norhayati Y. dan Noor Azlin Y., 26 Februari 2013. Cuaca mingguan 26° ke 32°C dan mendung.