Project Description


Hopea odorata atau merawan siput jantan juga dikenali dengan pelbagai nama tempatan lain yang menarik seperti cengal pasir, cengal kampung, cengal pulau dan cengal mas. Melihat kepada nama tempatan yang diberikan, H. odorata sebenarnya termasuk dalam famili yang sama dengan pokok cengal (Neobalanocarpus heimii) iaitu kaum Dipterokarpa. Hopea odorata tersebar secara meluas dari Indo-China, Myanmar, Thailand, Borneo, Semenanjung Malaysia hingga ke Kepulauan Andaman. Spesies ini mudah dijumpai tumbuh di bahagian utara Semenanjung Malaysia seperti di negeri Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu. Pokok ini adalah dari jenis ‘riparian’ yang sering tumbuh di tepi-tepi sungai dan pinggir pantai. Pokok ini bersaiz besar, boleh mencapai ketinggian sehingga 45 m dan diklasifikasikan sebagai pokok berkayu keras. Spesies ini banyak digunakan dalam program penghutanan semula selain menjadi antara pokok teduhan yang popular.

Di pesisiran pantai Terengganu, H. odorata banyak ditanam oleh orang kampung suatu masa dahulu sebagai pokok pelbagai guna termasuk untuk penanda sempadan dan pokok teduhan selain kayunya diguna untuk membuat rumah. Dirian pokok-pokok yang tua dan matang masih dapat dijumpai di kawasan-kawasan kampung. Semasa fasa awal program penghijauan bandar pada awal tahun tujuh puluhan, pokok ini telah mula diperkenalkan sebagai pokok tanaman bandar. Sehingga kini spesies ini terus kekal popular dan ditanam dengan meluas sebagai pokok teduhan dan hiasan. Di kampus FRIM, H. odorata mula ditanam pada tahun 1929. Salah satu spesimen spesies ini dapat dilihat berdiri megah berhampiran bangunan kelab FRIM (F2) yang kini sedang berbuah. Buah H. odorata yang unik dan bersayap berterbangan di udara, yang kemudiannya bertaburan di atas tanah sangat menarik perhatian dan mengujakan sesiapa sahaja yang melihatnya.

Artikel oleh Ahmad Azaruddin MN, dimuat naik pada 20 February 2014. Cuaca mingguan berawan, 24°C to 34°C.