Project Description

Kasai atau Pometia pinnata dikenali juga sebagai matoa di Indonesia dan tava di Samoa. Pokok hutan ini tergolong dalam tumbuhan besar yang mana ketinggiannya boleh mencapai sehingga 18 m dan diameter batangnya sehingga 100 cm bergantung pada keadaan persekitaran lokasi pokok kasai tumbuh. Pokok ini tumbuh dengan baik di kawasan tanah yang kering dengan taburan semula jadi di kawasan Asia Tenggara dan kepulauan Pasifik. Bentuk pokok kasai cukup cantik dan menarik, daun yang beralun berserta urat daun yang jelas kelihatan dan dihiasi pula dengan pucuk yang berwarna merah cerah menyerlahkan landskap sesuatu kawasan. Kini kasai banyak ditanam sebagai tanaman teduhan dan hiasan bagi menghiasi landskap sekitar bandar raya, taman rekreasi, tepi-tepi jalan dan lebuh raya.

Buah kasai tergolong dalam kategori buah-buahan nadir. Saiz buahnya kecil, berbentuk bujur dan panjangnya antara 3 hingga 4 cm. Ketika muda, buahnya berwarna hijau muda dan bergugus seperti buah longan. Lama-kelamaan buah kasai akan bertukar kepada merah keperang-perangan sehingga merah kehitam-hitaman apabila cukup matang. Kulit buahnya agak rapuh dan mudah pecah jika digigit. Isinya sangat nipis dan berwarna putih jernih seakan-akan isi buah longan. Rasanya sangat manis tetapi tidak mudah lekang daripada biji buahnya. Buah kasai juga biasa dibuat bubur dan sedap dimakan dengan roti putih atau pulut seperti bubur isi buah durian.

Pada zaman dahulu, kulit pokok kasai digunakan untuk mengawet jala supaya lebih tahan lama. Jala ikan akan dicelupkan dan direndam ke dalam air rebusan kulit pokok yang dikeringkan untuk mengelakkan

jala daripada mudah reput. Dahulu, jala juga diperbuat daripada tali benang kapas yang biasanya tidak tahan lama di dalam air namun pada hari ini tali nilon lebih banyak digunakan. Pometia pinnata tergolong dalam famili Sapindaceae, sama seperti buah laici, longan dan rambutan. Di FRIM, kasai boleh dijumpai di Taman Warisan FRIM (sebelum simpang ke pintu masuk FRIM) dan di Taman Botani Kepong. Pokok kasai juga boleh dilihat dalam perjalanan menyusuri Rover Track.

Gambar-gambar disumbangkan oleh Zawiah Ngah.

The bright red kasai shoots adds adornment to any park.

Pucuk kasai yang merah cerah menyerikan taman.

A flowering kasai tree begins to bear fruits.

Pokok kasai yang berbunga dan mula berbuah.

Nearly ripe kasai fruits.

Buah kasai yang hampir masak.

The ripe fruits of kasai are sweet and can be made into delicious pengat (sweet sauce).

Buah kasai yang masak sangat manis enak dijadikan bubur atau pengat.