Project Description

Sterculia parviflora merupakan spesies pokok dalam famili Sterculiaceae. Ia juga dikenali sebagai kelumpang burung kerana buahnya amat digemari oleh kebanyakan burung. Sterculia berasal dari perkataan Sterculius (Raja Kompos) dalam mitologi Roman, yang merujuk kepada aroma bunga yang kurang menyenangkan bagi genus ini. Sterculia parviflora dikatakan sebagai salah satu daripada pokok Sterculia yang terbesar di rantau ini. Pokok ini boleh mencapai ketinggian sehingga 7-20cm dan batang berukuran 180cm dengan kulit kayu yang bewarna seakan-akan merah jambu. Ia mempunyai daun ringkas yang berbentuk bujur dan bujur eliptik bersaiz 10-27cm panjang dan 5-15cm lebar. Pod biji benihnya yang besar serta berwarna merah dengan tekstur baldu, sangat menyerlah untuk menarik perhatian hidupan liar terutama burung serta spesies pemakan buah. Tupai amat suka memakan buahnya sebelum pod biji benih tersebut terbuka bagi mendapatkan biji hitam di dalamnya. Monyet pula dikatakan gemar meminum jus dari pod biji benih yang belum terbuka. Di FRIM, pokok ini boleh ditemui berhampiran kolam di hadapan masjid FRIM. Pokok ini sering digunakan sebagai tumbuhan hiasan dan boleh dijumpai di India, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Ia direkodkan sebagai spesies ‘Risiko Rendah’ berdasarkan Buku Data Merah IUCN. Spesies ini biasa terdapat di hutan tanah rendah dan hutan bukit.

Gambar oleh Othaman H dan artikel oleh Nor Azlin, MF, dimuat naik pada on 24 Mac 2014. Cuaca mingguan adalah panas, 32°C hingga 36°C.