Project Description

Dikenali sebagai penaga lilin, Ceylon ironwood, Indian rose chestnut atau cobra’s saffron, Mesua ferrea tergolong dalam famili Calophyllaceae. Pokok ini didapati di Sri Lanka, India, selatan Nepal, Burma, Thailand, Indochina, Filipina, Malaysia dan Sumatera; tumbuh di dalam hutan malar hijau terutama di lembah-lembah sungai. Di Himalaya dan India pokok ini boleh tumbuh di kawasan setinggi 1500 m dari paras laut dan sehingga 1000 m di Sri Lanka. Seperti namanya, kayu daripada pokok ini sangat berat, keras dan kuat, berwarna merah gelap. Bunga, daun, biji benih serta akarnya mempunyai nilai ubatan dan sering digunakan sebagai herba ubatan di India, Malaysia dan tempat-tempat lain. Stamennya menghasilkan dadah yang dikenali sebagai nagakesara. Biji serta teras kayunya mempunyai ciri-ciri antiradang. Minyak volatil daripada bunganya menunjukkan aktiviti antibakteria dan digunakan untuk mengubati batuk dan ketakcernaan.

Minyak daripada bijinya pula mempunyai ciri-ciri antikulat dan digunakan untuk mengubati penyakit kulit. Mesua ferrea merupakan pokok kebangsaan Sri Lanka. Pokok ini ditanam dengan meluas di Asia sebagai pokok hiasan kerana bentuknya yang menawan dan daunnya yang berwarna hijau kekelabuan dan berlilin. Pokok ini sering mengeluarkan pucuk-pucuk merah muda yang tergantung melentuk manakala bunganya besar berwarna putih dan kuning. Dua batang pokok penaga lilin boleh dilihat sedang mengeluarkan pucuk-pucuk merahnya di sebelah kanan Jalan Foxworthy sebelum ke simpang Jalan Jelutong dan sebelah kiri jalan sebelum Bangunan Auditorium.

Semenjak awal April 2014, pokok penaga lilin yang berbunga boleh dilihat berhampiran Bangunan D6 dan D13.

Artikel oleh Noor Azlin Y. Disiarkan kali pertama pada 12 Februari 2013. Cuaca mingguan berawan dengan suhu sekitar 24°C hingga 33°C. Dikemas kini pada 4 April 2014. Cuaca mingguan adalah berawan dan hujan, suhu antara 30°C hingga 34°C.