Project Description

Kerdas atau Pithecellobium bubalinum merupakan pokok saka yang besar dan rendang yang tergolong dalam famili Fabaceae. Biasanya tumbuh liar di hutan, pokok ini boleh tumbuh sehingga 25 m tinggi. Di sesetengah kawasan di Malaysia, Pithecellobium bubalinum juga dikenali dengan nama genuak. Pokok kerdas hidup di kawasan tropika terutama di kawasan Asia Tenggara dan dipercayai berasal dari Malaysia dan Indonesia.

Batang pokok kerdas mempunyai kulit kayu yang keras berwarna coklat kelabu dan boleh digunakan sebagai kayu api serta turut diproses untuk kegunaan lain. Daun pokok kerdas berwarna hijau ketika tua, bertekstur lembut dan nipis manakala pucuk muda berwarna ungu. Bunganya keluar dalam jambak yang banyak bersaiz 1–2 cm panjang, berwarna kuning susu. Bunganya mengeluarkan bau yang agak wangi dan menarik serangga untuk pendebungaan. Bunganya yang ringan juga turut membolehkan angin sebagai agen penyebaran.

Buah kerdas muncul di dalam pod buah yang berwarna hijau semasa muda dan akan menjadi coklat gelap apabila cukup matang. Podnya agak keras dan liat dengan ukuran 6–10 cm panjang dan 2–3 cm ukur lilit dan berbentuk seperti pod kacang hijau yang panjang. Apabila dibuka ia mengandungi beberapa biji benih yang tersusun berukuran antara 10–15 mm dan disaluti lapisan kulit nipis yang berwarna kuning pucat ketika masih muda dan menjadi kehitam-hitaman apabila matang. Isi buahnya pula berwarna hijau muda. Buah kerdas boleh dimakan dan sering dijadikan sebagai ulam, tetapi kurang popular dalam kalangan golongan muda kerana baunya yang kuat seperti Pithecellobium jiringa (jering). Bagi masyarakat kampung, buah kerdas menjadi pembuka selera.

Pokok kerdas yang sedang berbunga boleh dilihat di Bukit Hari, FRIM sejak pertengahan bulan Februari 2014.

Artikel oleh Naimah CL, dimuat naik pada 27 Februari 2014. Cuaca mingguan berawan, 24°C hingga 35°C.