Project Description

Sejarah Melayu menceritakan bahawa Parameswara sedang berehat di bawah sepohon pokok Melaka bila melihat anjing-anjing pemburunya ditendang oleh seekor pelanduk. Melihat keberanian pelanduk tersebut beliau mengambil keputusan untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai petempatan sehingga menjadi sebuah negeri di Malaysia hari ini. Pokok Melaka juga dikenali sebagai Indian gooseberry atau Phyllanthus emblica dalam bahasa saintifik. Buah pokok Melaka mempunyai rasa manis-manis kelat dan telah terkenal penggunaannya dalam perubatan Ayurveda. Kajian mendapati buah Melaka atau Indian gooseberry ini mempunyai sifat-sifat antiviral dan antimikrob. Buah Melaka juga dapat mengurangkan tahap kolesterol dan gula di dalam darah.

Pada bulan Januari 2012 pokok Melaka di FRIM menggugurkan daunnya sehingga hampir botak, namun hari ini pelawat boleh melihat pokok Melaka yang hijau lebat sedang berbuah di Arboreta Buah-buahan di kanan pintu masuk FRIM dan di lereng sebelah kanan Rumah Melaka. Pokok-pokok ini telah berbuah semenjak pertengahan bulan Mei. Pokok Melaka juga telah ditanam semula di negeri bersempena namanya dan boleh dilihat dengan mudah di pinggir Sungai Melaka di Bandar Hilir, Melaka.

Gambar oleh Noor Azlin Yahya dan Azahari Mohd. Yussoff.



Buah Melaka kelihatan berjuntaian menghiasi pokok.

Pokok Melaka yang sedang berbuah boleh didapati berhampiran Rumah Melaka FRIM.

Buah Melaka dijeruk untuk mengurangkan rasa kelatnya.