Project Description

Samanea saman atau pokok hujan-hujan berasal daripada Amerika Selatan dan mula-mula ditanam di Tanah Melayu pada tahun 1876. Spesies ini telah diperkenalkan untuk penanaman di kawasan bandar seawal tahun 1900’an dan sehingga kini masih popular ditanam terutamanya  di pinggir-pingir jalan dan lebuhraya. Di FRI Kepong, pokok hujan-hujan mula ditanam dalam tahun 1927 sebagai percubaan. Pokok ini mempunyai sifat yang istimewa dimana ia akan menguncupkan daun majmuknya pada waktu senja atau waktu hujan. Kerana itu ia dipanggil pokok hujan-hujan. Samanea saman tumbuh dengan cepat walaupun dalam persekitaran yang mencabar. Jika ditanam di kedua-dua belah jalan, silara pokok-pokok matang Samanea saman yang kembang seperti payung akan bertaup dan dan memberikan kesan seperti gerbang teduhan.

Pokok hujan-hujan yang matang kelihatan megah mengkagumkan namun kadang-kadang menakutkan apabila mereka dipenuhi epifit atau tumbuh-tumbuhan tumpang seperti paku langsuyar, paku tanduk rusa atau anggerek merpati. Bunga-bunganya  kecil, berkelompok, putih hingga ke merah jambu dan agak harum. Samanea saman ‘kuning’ yang  merupakan satu variasi genetik menghasilkan daun-daun(nya) kuning keemasan. Pada musim kering, warna keemasan daun ini menjadi lebih ketara dan lebih menonjol dengan bunganya yang berona merah lalu menghasilkan penataan yang amat menarik.  Di FRIM, sepohon pokok hujan-hujan yang batangnya hampir mencecah garispusat 180 cm boleh dilihat berdiri megah berhampiran Bangunan Pentadbiran (D1) dan di hadapan Rumah Arboreta (berhampiran bangunan H4). Tiga pohon hujan-hujan juga boleh dilihat berhampiran pintu masuk FRIM. Pokok-pokok ini dipulihara dengan baik di tapaknya semasa kerja-kerja menaiktaraf pintu masuk FRIM baru-baru ini yang telah disempurnakan pada bulan April 2013.

Ditulis oleh Azaruddin MN, May 2013. Disiarkan pada 4 Jun 2013. Cuaca mingguan 24° ke 34°C dengan kelembapan purata 60%.