Project Description





Polyalthia stenopetala (Annonaceae) merupakan sejenis pokok renek atau sederhana besar yang boleh mencapai ketinggian sehingga 10 m. Spesies ini merupakan spesies hutan tanah pamah yang biasa dijumpai di seluruh Semenanjung Malaysia kecuali Perlis dan Pulau Pinang. Kulit kayu dalaman pokok ini biasanya berwarna coklat dengan jalur-jalur pucat berbentuk baji serta berbau seperti halia. Bunganya keluar daripada batang utama pokok, terma yang disebut sebagai “cauliflory”, berwarna merah jambu kejinggaan dengan kelopak-kelopak halus terjuntai. Buahnya berwarna merah pekat dan berkilat yang mempunyai satu biji, berbentuk empat segi leper dan bertukar ke warna hitam apabila matang. Pokok ini dikenali sebagai jambul cicit dan boleh ditanam di kawasan terbuka. Daun-daun matangnya berwarna hijau berkilat manakala pucuk muda berwarna merah. Ciri-ciri ini menjadikannya amat sesuai untuk penanaman di kawasan bandar. Pokok yang menarik ini boleh dilihat di Taman Botani Kepong, FRIM.

Teks oleh Norsham S. Y., disiarkan pada 26 April 2013. Suhu mingguan antara 31° – 34°C.