Project Description

Xanthostemon chrysanthus atau golden penda tergolong dalam famili Myrtaceae. Dikenali juga sebagai jambu kuning dalam kalangan masyarakat tempatan, spesies ini berasal dari bahagian utara Australia, New Guinea, Indonesia dan Filipina. Xanthostemon chrysanthus merupakan sejenis pokok bersaiz sederhana yang boleh mencapai 30 m tinggi di kawasan semula jadinya, tetapi biasanya lebih rendah di kawasan taman. Bunga majmuknya terbentuk secara berkelompok di hujung ranting, berwarna kuning terang dan sangat menyerlah. Bunganya juga menarik burung dan serangga penghisap madu yang menambahkan lagi kepelbagaian di kawasan landskap.

Xanthostemon chrysanthus boleh dibiakkan melalui biji benih, keratan batang atau anak liar. Spesies ini boleh digunakan sebagai tanaman penghadang, penampan angin atau pokok spesimen hortikultur. Ia merupakan spesies yang tahan lasak kerana boleh tumbuh dengan baik di kawasan terbuka, tanah berasid dan rentang terhadap pencemaran dan kepanasan. Pokok ini sering dipilih untuk menghiasi taman, pinggiran jalan, kelab golf dan halaman rumah kerana bunganya yang menarik. Di FRIM, sepohon pokok jambu kuning yang sedang berbunga boleh dilihat berhampiran kolam di sebelah masjid FRIM.

Ditulis oleh Ahmad Nazaruddin MR. Disiarkan pada 15 Oct  2013. Cuaca mingguan 24° ke 34° C dengan kelembapan purata 60%.