NRE, FRIM anjur Bengkel Semakan Semula Dasar Tanah Lembap Negara

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

27 Januari 2017 (Jumaat) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah dilantik oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) untuk mengadakan semakan semula terhadap Dasar Tanah Lembap Negara 2005 bagi memastikan dasar ini selaras dengan perkembangan semasa dari peringkat kebangsaan mahupun dari segi obligasi antarabangsa yang berkaitan.

Usaha ini dimulai dengan penganjuran Bengkel Konsultasi Semakan Semula Dasar Tanah Lembab Negara Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada 25-26 Januari, dan akan disusuli dengan konsultasi di peringkat serantau bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Tanah lembap seperti hutan paya laut, tanah gambut, sungai, tasik, taman laut dan lain-lain mempunyai peranan penting dalam aspek ekologi dan ekonomi negara, namun tekanan dari pembangunan sosio-ekonomi, penukaran penggunaan tanah dan tanggapan sebagai tempat pembiakan vektor penyakit, memerlukan kawasan ini dipulihara dan digunakan secara lestari.

Bengkel baru-baru ini telah menghimpunkan 42 orang pakar termasuk ahli akademik, para penyelidik termasuk pencinta alam sekitar yang merupakan ahli jawatankuasa teknikal dan pemandu tanah lembap dari agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan organisasi bukan kerajaan (NGO) termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Program tersebut disempurnakan oleh Norsham Abdul Latip, Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan (BPP) NRE yang mewakili Setiausaha (SUB) BPP, Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian pada 25 Januari.

Dr Ismail Parlan yang merupakan Ketua Program Hutan Asli FRIM telah membentangkan ‘Status Tanah Lembap di Malaysia’ berkenaan jenis, peranan dan sumbangan sosio-ekonomi tanah lembap; diikuti dengan pembentangan oleh Intan Nurul Azlina Ahmad Kamil, Penolong Setiausaha Kanan BPP NRE yang bertajuk, ‘Urus Tadbir Tanah Lembap di Malaysia’ mengenai struktur pengurusan tanah lembap negara melalui beberapa jawatankuasa peringkat persekutuan dan negeri termasuk obligasi negara kepada Konvensyen Ramsar.

Seterusnya sesi perbincangan kumpulan dikendalikan oleh Gan Boon Keong, seorang pakar dalam bidang perhutanan yang dilantik oleh penganjur sebagai ‘resource person’ bagi aktiviti semakan dasar ini. Program bengkel diakhiri dengan sesi pembentangan kumpulan pada 26 Januari dan majlis penutup disempurnakan oleh Megat Sany.

Turut hadir, Dr Samsudin Musa, Pengarah Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM; Dr Abd Rahman Kassim, Ketua Program Geoinformasi FRIM; Dato’ Shaharuddin Mohamad Ismail, Felo Kanan dan Ketua Kumpulan Teras Air, Hutan dan Sumber Asli, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); dan Balu Perumal, Ketua Bahagian Pemuliharaan, Persatuan Pencinta Alam (MNS).

Rate this post
Print Friendly, PDF & Email

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast