Perhatian diraja untuk kelip-kelip Kuala Selangor

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

30 Mac 2017 (Khamis) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menyertai program penanaman pokok anjuran Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa (IDF) di Taman Alam Kuala Selangor pada 25 Mac lalu.

Acara yang mendapat sambutan lebih 1,500 peserta ini telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut hadir, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar (MB) Selangor; Elizabeth Wong, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor; serta Dato’ Sri Dr Irmohizam Ibrahim, Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Pegawai FRIM telah memberi taklimat kepada Sultan dan MB yang melawat ruang pameran FRIM mengenai usaha FRIM dalam pemeliharaan kelip-kelip di Kuala Selangor.

Kelip-kelip Pteroptyx tener sebenarnya merupakan sejenis kumbang daripada keluarga Lampyridae. Spesies kelip-kelip ini bergantung kepada pokok bakau di sepanjang muara Sungai Selangor dalam kitar hidup mereka. Namun, sejak sedekad yang lalu, populasi kelip-kelip telah menurun disebabkan kemusnahan habitat dan perubahan musim hujan di daerah tersebut.

Sultan melahirkan rasa bimbang terhadap penurunan populasi dan berharap agar FRIM dan kerajaan negeri mengambil tindakan segera untuk mengatasi isu tersebut.

Sultan dan MB juga diperkenalkan kepada satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran megenai kelip-kelip dalam kalangan kanak-kanak melalui buku bertajuk, “Pyro Elephant Whisperer” yang dihasilkan oleh Dr Shawn Cheng dan Jinn Wu. Buku ini akan diterbitkan oleh FRIM dengan tajaan daripada Hartalega di Bestari Jaya, Selangor. Syarikat tersebut merupakan pengeluar sarung tangan nitril terbesar di dunia.

Sultan, MB dan Wong juga menyatakan sokongan mereka untuk memelihara kelip-kelip dengan menandatangani poster promosi FRIM mengenai kelip-kelip di Kuala Selangor.

5 (100%) 1 vote

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast