Posts Tagged ‘Awards / Anugerah’

Invention and Innovation Awards at the 13th Malaysia Technology Expo (MTE) 2014

Saintis FRIM terima anugerah ASM

Written by FRIM Webmaster on . Posted in Hadiah & Penghargaan, Berita & Acara

18 Disember 2013 (Rabu) – Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, telah menerima Anugerah Saintis PenyelidikanTerbaik Malaysia (TRSM) daripada Akademi Sains Malaysia (ASM)  baru-baru ini, sementara Dr Saw Leng Guan, Pengarah Biodiversiti Hutan FRIM, pula telah dilantik sebagai felo ASM.

Mereka telah menerima pengiktirafan masing-masing di Majlis Penganugerahan Felo 2013 kepada ahli-ahli sains yang terpilih dan Pengumuman Anugerah Saintis Penyelidikan Terbaik Malaysia 2013 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak pada 17 Disember 2013 di Kuala Lumpur.

Abd Latif yang diiringi oleh isterinya Datin Halidah Kasmin ke majlis tersebut, telah menerima plak dan sijil pengiktirafan TRSM yang disampaikan oleh Presiden ASM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Di majlis yang sama, Perdana Menteri telah menyampaikan sijil pengiktirafan felo kepada Dr Saw dan 18 ahli sains lain. Saw dilantik bagi kategori “Taksonomi Tumbuhan dan Ekologi” di bawah bidang Pertanian Biologi dan Sains Alam Sekitar.

Beliau telah banyak menyumbang kepada usaha dokumentasi dan pemuliharaan tumbuh-tumbuhan Malaysia. Saw terlibat secara aktif dalam tiga projek flora moden yang dilaksanakan di FRIM, iaitu Tree Flora of Malaya; Tree Flora of Sabah and Sarawak; dan Flora of Peninsular Malaysia.

Beliau merupakan pakar dalam penyelidikan palma dan telah menjalankan kajian ekologi dan taksonomi pelbagai spesies palma di Malaysia. Saw telah menamakan 57 taksa baru (iaitu spesies dan jenis tumbuhan) dan sebagai pengiktirafan sumbangannya, tiga spesies telah dinamakan sempena nama beliau.

Sebelum ini, beliau pernah menerima dua anugerah kebangsaan/antarabangsa iaitu Skim Biasiswa Chevening Suruhanjaya Tinggi British dan Anugerah Buku Negara 2012 bagi penerbitan “Wild Orchids of Peninsular Malaysia”. Beliau juga menerima pengiktirafan Anugerah Penyelidik Terbaik FRIM pada 2009.

Saw adalah saintis FRIM ke-empat yang menerima pengiktirafan sebagai felo daripada akademi yang berprestij ini, mengikuti jejak langkah bekas KP FRIM pertama, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor; bekas KP FRIM kedua, Datuk Dr Abd Razak Mohd Ali; dan bekas Timbalan KP FRIM, Dr Francis Ng.

Abd Latif pula adalah saintis  FRIM pertama yang menerima Anugerah TRSM sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan usaha beliau yang konsisten dalam menggerakkan penyelidikan perhutanan.

Projek TRSM yang dilancarkan pada 2012 merupakan sebahagian daripada usaha ASM untuk memupuk budaya kecemerlangan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI). Ia bertujuan memberi pengiktirafan dan mempamerkan pencapaian saintis penyelidikan Malaysia yang telah memberi sumbangan ketara kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui penjanaan dan penyebaran ilmu; penciptaan kekayaan dan usaha produktif ke arah pencapaian  kecemerlangan sains untuk kebaikan manusia; dan menjadi “role model” dalam menjana kecemerlangan, mentor kepada generasi akan datang serta pemimpin untuk mara ke hadapan dengan agenda STI negara.

Abd Latif yang mengambil alih pucuk pimpinan FRIM sejak Mei 2008 merupakan saintis perhutanan pertama dan yang satu-satunya diberi pengiktirafan Anugerah Saintis Muda Negara (1993), Outstanding Young Malaysian Award (1999) dan Eisenhower Fellowship dari Amerika Syarikat (1999). Beliau juga merupakan penerima termuda IUFRO Scientific Achievement Award ketika berumur 34 tahun pada 1995. Selain itu, beliau juga menerima Anugerah National Inventor Award (1997); Rotary Research Gold Medal Award (2012); dan  Anugerah Pencapaian Sains dan Teknologi (S&T) dari Malaysia Scientific Association (MSA) pada 2012 sebagai menghargai sumbangan cemerlang beliau dalam pembangunan bidang S&T di Malaysia.

Di bawah panduan dan bimbingan beliau, FRIM terus berkembang sebagai pusat rujukan berwibawa terutama dalam bidang penyelidikan hutan tropika dan keluaran hutan. Pada tahun 2012 sahaja, FRIM telah memenangi tujuh anugerah antarabangsa, sembilan anugerah kebangsaan berprestij dan 12 Malaysia Book of Records.  Pada tahun ini, FRIM berjaya meraih Anugerah Inovasi Kebangsaan bagi sistem rawatan kayu menggunakan pengeringan suhu tinggi (HTD) dan juga menerima Anugerah Buku Negara bagi tahun ketiga berturut-turut.

National Book Award for the 3rd time!

FRIM menang Anugerah Buku untuk kali ke-3

Written by CCU on . Posted in Hadiah & Penghargaan, Berita & Acara





13 Disember 2013 (Jumaat) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah memenangi Anugerah Buku Negara 2013 untuk tahun yang ketiga berturut-turut dan kali ini, FRIM membawa pulang dua anugerah iaitu Anugerah Industri Buku bagi Kategori Buku Umum Terbaik (Sains) dan Anugerah Perdana bagi Kategori Penyelidikan.

FRIM berjaya meraih Anugerah Industri Buku (Kategori Sains) bagi buku bergambarnya yang bertajuk, “99 Spesies Buah di FRIM” yang ditulis oleh Zawiah Ngah, Pembantu Penyelidik FRIM, dan suaminya, Othaman Hasin, yang berkhidmat sebagai pemandu di FRIM.

Pasangan ini yang berminat mengambil gambar serta menimba ilmu tentang pelbagai jenis buah-buahan telah diberi galakan oleh Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod untuk menghasilkan sebuah buku mengenai buah-buahan di FRIM.

Buku yang berjaya ditulis oleh mereka dalam masa lebih daripada satu tahun ini telah disunting oleh Abd Latif sendiri dengan bantuan daripada beberapa pegawai penyelidik FRIM termasuk dua orang ahli botani.

Hasil usahasama ini adalah sebuah penerbitan cantik 256-muka surat yang mengandungi penerangan serta maklumat saintifik tentang spesies buah-buahan terpilih yang dijumpai di dalam kampus FRIM di Kepong serta di beberapa stesen penyelidikan FRIM.

Pasangan yang diiringi oleh Abd Latif dan pegawai lain yang terlibat dalam penghasilan dan promosi buku tersebut telah menerima trofi dan sijil anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah di majlis penyampaian anugerah pada 11 Disember.

Anugerah Perdana bagi buku “FRIM Warisan Kebangsaan” pula telah diterima oleh KP FRIM di Majlis Anugerah Buku Negara 2013 pada 12 Disember yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis Anugerah Buku Negara ini telah diadakan sempena Ekspo Buku 1Malaysia 2013 dan Persidangan Buku Antarabangsa 2013 yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, dari 11 hingga 15 Disember.

Buku “FRIM Warisan Kebangsaan” yang telah dilancarkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel pada 11 November ini memaparkan  secara komprehensif tentang latar belakang dan sumber maklumat FRIM sehingga melayakkannya sebagai Warisan Semula Jadi dan Warisan Kebangsaan.

Buku yang dihasilkan dengan penglibatan 59 orang pegawai FRIM ini mengandungi 16 bab yang masing-masing membincangkan tentang kampus FRIM, penyelidikan, pendidikan, pencapaian, sumbangan kepada komuniti dan aspirasi masa hadapan.

Abd Latif mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua warga FRIM yang terlibat dalam penghasilan buku-buku ini. Beliau berkata pencapaian ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sumbangan, semangat kerja gigih dan berpasukan, ketabahan dan komitmen mereka.

“Ini adalah kali ketiga FRIM memenangi Anugerah Buku Negara. Saya amat berbangga dengan pencapaian ini. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi yang perlu dilakukan kerana FRIM mempunyai banyak pengetahuan dan maklumat untuk dikongsi dengan masyarakat. Oleh itu, FRIM berhasrat untuk terus menghasilkan penerbitan baru untuk tujuan rekod dan rujukan masa hadapan,” kata beliau.

FRIM telah memenangi Anugerah Buku Negara 2011-2012 bagi Kategori Buku Teknikal Terbaik untuk penerbitannya bertajuk, “Wild Orchids of Peninsular Malaysia”, yang dihasilkan oleh Ong Poh Teck, Peter O’ Byrne, Wendy Yong dan Dr Saw Leng Guan.

FRIM juga membawa pulang Anugerah Buku Negara bagi Kategori yang sama untuk pertama kali pada 2010 bagi penerbitannya yang bertajuk, “FRIM Tapak Warisan Semulajadi Negara“.



Penyelidik FRIM menang Anugerah Antarabangsa Jepun

Written by CCU on . Posted in Hadiah & Penghargaan, Berita & Acara

 

 

25 November 2013 (Isnin) – Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Tnah Lee Hong, telah menang anugerah Japanese International Award for Young Agricultural Researchers 2013 sebagai pengiktirafan kecemerlangan dalam penyelidikannya di  majlis penghargaan yang akan diadakan di Tokyo pada 20 November nanti.

Pengumuman rasmi mengenai penerima anugerah tahun ini telah dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan (MAFF) Jepun pada awal bulan November. Pemilihan tiga orang penerima anugerah setiap tahun sejak ianya dimulakan pada 2007 dibuat oleh Majlis Penyelidikan Pertanian, Perhutanan dan Perikanan (Agriculture, Forestry and Fisheries Research Council atau AFFRC).

Anugerah ini diberi oleh kementerian tersebut kepada penyelidik muda yang menunjukkan pencapaian penyelidikan cemerlang yang menyumbang  kepada inovasi teknologi masa depan. Ia bertujuan meningkatkan motivasi di kalangan penyelidik muda untuk menyumbang kepada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pertanian, perhutanan, perikanan dan industri berkaitan di negara-negara membangun.

Tnah yang bekerja di Makmal Genetik Bahagian Bioteknologi FRIM telah dipilih berdasarkan penyelidikannya berkenaan pembangunan sistem pengesanan kayu untuk spesies kayu penting, iaitu Chengal atau Neobalanocarpus heimii (Dipterocarpaceae) dengan menggunakan pendekatan DNA.

Beliau juga pernah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang dalam Sains Perhutanan dari International Union of Forest Research Organisations atau IUFRO di Kongres Sedunia IUFRO ke-23 pada tahun 2010.

Tnah, 32, telah menyertai FRIM sebagai Pegawai Penyelidik pada 2004 selepas menamatkan pengajian Ijazah Pertamanya  dalam Industri Biologi di Universiti Teknologi Malaysia. Beliau juga telah memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang sumber genetik dari Universiti Putra Malaysia pada 2007 dan Ijazah Kedoktoran dalam filogeografi dan evolusi dari Universiti Malaya pada 2011.

Skop penyelidikan beliau merangkumi teknologi penanda molekular, forensik perhutanan, filogeografi dan genetik populasi tumbuhan. Melalui penyelidikannya, Tnah telah berjaya menghasilkan pangkalan data pemprofilan DNA yang komprehensif ke atas Chengal (Neobalanocarpus heimii) untuk kegunaan penyiasatan forensik perhutanan.

Penjanaan pangkalan data DNA ini merupakan kajian yang pertama dilaporkan dalam spesis pokok tropika, dan kaedah ini dapat dijadikan sebagai model untuk penjanaan pangkalan data bagi spesies kayu balak lain yang penting di Malaysia.

Dua lagi penerima anugerah tahun ini ialah Dr Nouhoun Belko dari Institut Penyelidikan Pertanian Senegal (ISRA ), Burkina Faso, dan Dr Panuwan Chantawannakul dari Universiti Chiang Mai, Thailand.

Tnah adalah penyelidik FRIM kedua yang telah dipilih untuk menerima pengiktirafan ini.  Sebelum ini adalah rakan sekerja beliau iaitu Dr Kevin Ng Kit Siong yang  menerima anugerah tersebut pada November 2009 atas prestasi kerja serta pencapaian penyelidikan inovatif di dalam struktur ruang dan kesan pembalakan ke atas kepelbagaian spesies pokok tropika.

FRIM terima anugerah pelancongan Selangor 2013

Written by CCU on . Posted in Hadiah & Penghargaan, Berita & Acara





19 November 2013 (Selasa) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menerima anugerah penghargaan dari Kerajaan Negeri Selangor dan Tourism Malaysia Selangor atas sumbangannya kepada industri pelancongan di negeri tersebut.

Majlis Apresiasi Pelancongan Selangor 2013 yang berlangsung di Subang Jaya pada 15 November ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid telah menyampaikan sijil penghargaan dan trofi anugerah kepada Ketua Pengurusan Korporat, Norhayati Nordin, yang mewakili FRIM.

FRIM adalah salah satu daripada lima destinasi eko-pelancongan di Selangor yang terpilih untuk menerima anugerah tersebut. Destinasi lain adalah Pulau Ketam di Klang, Taman Botani Negara di Shah Alam, Kalumpang Resort Training Center di Hulu Selangor, dan Hutan Lipur (Gunung Nuang) di Hulu Langat di bawah Jabatan Perhutanan Selangor.

Turut hadir untuk memeriahkan majlis ialah YB Elizabeth Wong Keat Ping yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar.

Matlamat acara tahunan ini adalah untuk membangun, menggalak dan menyerlahkan kebaikan dan keistimewaan produk pelancongan Selangor; serta memberi pengiktirafan kepada pihak usahawan,  pengusaha serta pemain industri pelancongan.



Sistem HTD FRIM menang Anugerah Inovasi Negara 2013

Written by CCU on . Posted in Hadiah & Penghargaan, Berita & Acara





16 November 2013 (Sabtu): Sistem rawatan kayu dengan menggunakan pengeringan suhu tinggi (HTD) yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah memenangi Anugerah Inovasi Negara 2013 bagi Kategori Produk pada 14 November.

Pasukan penyelidik FRIM terdiri daripada Dr Sik Huei Shing, Choo Kheng Ten dan Ramzul Ikhlas Ablah, membawa pulang trofi dan RM50,000 yang diterima di Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi Negara (AIN) 2013 yang diadakan bersempena dengan Persidangan Kebangsaan dan Pameran Inovasi (NICE) 2013 dan Forum Inovasi Dunia Kuala Lumpur (WIF KL) 2013 dari 12 hingga 14 November.

Sebaik sahaja menerima berita baik ini, Ketua Pegarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah pergi ke lokasi majlis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) untuk bersama-sama  meraikan kemenangan FRIM.

Abd Latif juga telah memimpin pasukan ini dalam menyampaikan taklimat mengenai sistem HTD kepada panel hakim yang terdiri daripada enam orang ahli semasa sesi penghakiman terakhir diadakan di KLCC pada 13 November lalu.

WIF KL 2013 yang berhasrat mewujudkan budaya inovasi baru telah dianjurkan bersama oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Yayasan Inovasi Malaysia.

Objektive AIN adalah untuk memberi pengiktirafan kepada usaha inovatif dan kreatif dalam menjana idea, inovasi dan produk baru dengan memanfaatkan sains dan teknologi ke arah pembangunan ekonomi negara.

FRIM telah memperolehi paten untuk sistem HTD ini dari Pejabat Paten dan Cap Dagang Amerika Syarikat (USPTO) pada Mac 2013 serta dari Pendaftar Paten Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada Oktober 2013. FRIM juga telah memfailkan paten di enam buah negara lain iaitu Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan India.

Teknologi HTD ini merupakan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh industri kayu-kayan negara terutamanya pengeluar perabot berasaskan kayu getah berkaitan halangan serta syarat-syarat ketat perdagangan semakin ketat yang ditetapkan oleh pelbagai negara-negara maju dalam memastikan penggunaan produk-produk lebih mesra alam.



FRIM terima International Diamond Prize untuk kualiti

Written by CCU on . Posted in Hadiah & Penghargaan, Berita & Acara

Nur Supardi (left) passing the award to Abd Latif (right) at the RAC Meeting, while FRIM Deputy DG, Dr Mohamed Noor Md Yusoff (middle) looks on.

Nur Supardi (kiri) menyerah trofi dan sijil anugerah kepad Abd Latif semasa Mesyuarat RAC, dengan diperhatikan oleh Dr Mohamed Noor Md Yusoff, Timbala KP FRIM (tengah).

14 December 2012 (Jumaat) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menerima satu lagi anugerah bagi tahun 2012, iaitu International Diamond Prize yang disampaikan oleh Persatuan Eropah untuk Penyelidikan Kualiti (ESQR) pada 2 Disember 2012 sebagai pengiktirafan usaha, pencapaian dan kecemerlangan dalam pengurusan kualiti.

Majlis penyampaian anugerah yang diadakan bersempena dengan Konvensyen ESQR di Brussels, Belgium, telah dihadiri oleh Dr Nur Supardi Md Noor, Ketua Program Dasar dan Perancangan Penyelidikan FRIM.

Nur Supardi telah menyerahkan anugerah dan sijil tersebut kepada Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod pada 7 Disember 2012 semasa Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Penyelidikan FRIM (RAC) yang diadakan di kampus FRIM, Kepong.

The International Diamond Prize trophy.

Trofi International Diamond Prize yang diterima oleh FRIM.

“Kami amat bangga kerana usaha dan pencapaian FRIM dalam aspek kualiti telah mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa. Walau bagaimanapun, kita harus ingat bahawa adalah lebih mudah bagi kita untuk mencapai sesuatu berbanding dengan mengekalkan pencapaian tersebut. Oleh sebab itu, kita haruslah bersedia untuk bekerja lebih keras untuk mengekalkan kedudukan FRIM,” kata Abd Latif.

FRIM merupakan salah sebuah daripada 31 organisasi dan syarikat terkemuka dari seluruh dunia yang dipilih oleh ESQR untuk menerima anugerah tersebut.

Konvensyen ESQR yang berlangsung selama dua hari bermula 1 Dis 2012 telah dihadiri oleh para pemimpin  perniagaan, pakar akademik, ahli profesional dan juga diplomat yang terkenal dari pelbagai negara.

Kesemua penerima anugerah tersebut telah diberi peluang untuk membuat pembentangan mengenai aktiviti-aktiviti organisasi masing-masing sebelum majlis penyampaian anugerah.

ESQR merupakan sebuah organisasi yang khusus dalam teknik peningkatan kualiti dan penyelidikan. Ia mengendalikan persoalan strategik dalam pengurusan kualiti dan mempromosikan budaya kualiti serta usaha peningkatan kualiti secara berterusan melalui konvensyen tahunannya yang berfungsi sebagai forum global untuk peningkatan teknik pengurusan kualiti serta pengujudan rangkaian kerjasama di kalangan para pesertanya.

Pada bulan November lalu, FRIM telah menerima Anugerah Penghargaan Pengguna Malaysian Standard dari Jabatan Standard Malaysia, sebagai pengiktirafan sumbangan dalam aktiviti standardisasi di Malaysia.

Penggunaan Malaysian Standards di FRIM telah bermula pada tahun 1998, dengan beberapa makmal ujiannya memperolehi akreditasi SAMM MS ISO / IEC G25 (yang telah dinaik taraf kepada MS ISO / IEC 17025 pada tahun 2000). Anugerah tersebut juga telah diberikan sebagai penghormatan terhadap sumbangan dan penglibatan FRIM dalam pembangunan, aplikasi dan pelaksanaan Standard Malaysia sejak tahun 1975.

Najib delivering his speech

Tahniah Pak Soepadmo atas pengiktirafan Anugerah Merdeka

Written by CCU on . Posted in Hadiah & Penghargaan

Najib delivering his speech at the Merdeka Award 2012 Presentation Ceremony.

Najib berucap di Majlis Anugerah Merdeka 2012.

04 Disember 2012 (Selasa) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ahli botani Prof Dr Engkik Soepadmo, felo penyelidik yang telah berkhidmat 17 tahun di Bahagian Biodiversiti FRIM, atas penerimaan Anugerah Merdeka yang berprestij untuk sumbangan cemerlang beliau kepada rakyat Malaysia.

Soepadmo, lebih dikenali sebagai “Bapak” di FRIM, telah menerima anugerah yang berbentuk sijil, trofi dan hadiah wang tunai berjumlah RM 500,000, daripada Perdana Menteri, YAB Dato ‘Sri Najib Tun Razak, di Majlis Anugerah Merdeka 2012 yang diadakan semalam di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur.

Abd Latif (right) congratulating Soepadmo (left) at the ceremony.

Abd Latif (kanan) mengucapkan tahniah kepada Soepadmo (kiri).

Turut hadir ialah Raja Muda Perak, DYMM Raja Dr Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, yang merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka. FRIM telah diwakili oleh Ketua Pengarah (KP) Dato’ Dr Abd Latif Mohmod dan beberapa orang pegawai pengurusan atasan.

Soepadmo merupakan salah seorang daripada penerima anugerah yang turut disampaikan kepada kepada Prof. Emeritus Tan Sri Datuk Dr Augustine Ong Soon Hock atas sumbangan cemerlang beliau terhadap penyelidikan dan pembangunan kimia dan teknologi minyak sawit serta dalam menyokong dan mempromosikan industri minyak sawit Malaysia dan kepada Tan Sri Prof. Dr Syed Muhammad Naguib Al-Attas bagi pencapaian cermerlang dalam bidang akademik serta sumbangan dalam bidang Islamisasi Ilmu Kontemporari dan Pendidikan Islam.

Soepadmo (left) receiving the award presented by Najib (middle) while Raja Dr Nazrin (right) looks on.

Soepadmo (kiri) menerima trofi yang disampaikan oleh Najib (tengah) dengan diperhatikan oleh Raja Dr Nazrin.

Dilahirkan di Kg. Tegalan, Kartosuro kira-kira 40 km dari Kota Solo, Jawa Tengah, Indonesia, pada 13 Mac 1937, Soepadmo memperolehi ijazah PhDnya dari University of Cambridge pada tahun 1966 di bawah penyeliaan  EJH Corner.

Beliau dilantik sebagai pensyarah Botani Tropika dari 1968 hingga 1978 dan kemudiannya, sebagai Profesor Ekologi dari 1978 hingga 1993 di Universiti Malaya. Sejak tahun 1993, beliau telah menjadi Penyelaras dan Ketua Editor bagi Projek Tree Flora of Sabah and Sarawakdi FRIM.

Proud recipients of the Merdeka Award, (from left) Syed Muhammad Naguib, Soepadmo and Ong.

Senyuman bangga penerima Anugerah Merdeka: (dari kiri) Syed Muhammad Naguib, Soepadmo dan Ong.

Soepadmo telah menemui 56 spesies tumbuhan dan pokok hutan tropika. Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau ke arah peningkatan pengetahuan berkenaan flora dan kepelbagaian biologi di  rantau Asia Tenggara, rakan sepejuangannya telah menamakan enam spesies tumbuhan sempena dengan nama beliau, iaitu Actinodaphne soepadmoi Julia (Lauraceae), Aglaia soepadmoi CM Pannell (Meliaceae), Cinnamomum soepadmoi Kostermans (Lauraceae), Ficus soepadmoi Kochummen (Moraceae), Syzygium soepadmoi PS Ashton (Myrtaceae), dan Vatica soepadmoi P.S. Ashton (Dipterocarpaceae).

Melalui pengalaman penyelidikan, perancangan dan pengurusannya, Soepadmo telah banyak menyumbang ke arah penetapan kawasan hutan perlindungan berikut:

  • 1970-1985: 50 hektar plot ekologi untuk penyelidikan jangka panjang di Hutan Simpan Pasoh (Semenanjung Malaysia) dan Taman Negara Gunung Lambir (Sarawak);
  • 1985-1986 & 1989-1990: Taman Negera Endau-Rompin di Johor dan Pahang;
  • 1993-1994: The Royal Belum State Park di Perak (Semenanjung Malaysia);
  • 1994-1995: Hutan Simpan Tawai (Sabah);
  • 1997-2000: Kawasan Pemuliharaan Antara Sempadan Lanjak-Entimau/Betung Kerihun (Malaysia-Indonesia);
  • 2007-sekarang: Taman Negara Pulong Tau (Sarawak).
Ramachandran (kiri) mengucapkan tahniah kepada Abd Latif selepas Fadillah menyampaikan sijil anugerah.

KP FRIM terima Anugerah Pencapaian S&T

Written by CCU on . Posted in Hadiah & Penghargaan, Berita & Acara

Fadillah berucap

Fadillah berucap di Majlis Malam Anugerah Sains dan Teknologi MSA.

30 November 2012 (Jumaat) – Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah dipilih untuk menerima anugerah berprestij Persatuan Saintifik Malaysia (MSA) atas sumbangan cemerlang beliau dalam Sains, Teknologi dan Inovasi di Malaysia.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Fadillah Yusof, kepada Abd Latif di Malam Anugerah Sains dan Teknologi (MSA) 2012 yang berlangsung pada 29 November 2012 di Royal Selangor Club, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

menyampaikan sijil anugerah

Ramachandran (kiri) mengucapkan tahniah kepada Abd Latif selepas Fadillah menyampaikan sijil anugerah.

Penerima lain bagi Anugerah Pencapaian S&T yang sama termasuk Mantan Presiden MSA, Prof. Dato’ Dr Khairul Anuar Abdullah, dan KP Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Choo Yuen Ming.

malam anugerah

Dari kiri: Pengarah Keluaran Hutan FRIM, Dr Rahim Sudin, Salleh, Abd Latif dan Mohinder di malam anugerah.

“Mendapat pengiktirafan anugerah yang berprestij dari sebuah organisasi seperti MSA yang dianggotai oleh golongan saintis yang terkemuka adalah merupakan satu penghormatan yang amat saya hargai. Saya juga gembira kerana kepentingan S&T perhutanan semakin mendapat perhatian,” kata Abd Latif di majlis penyampaian anugerah tersebut.

Anugerah ini juga mencerminkan dedikasi Abd Latif terhadap FRIM. Semenjak pelantikannya sebagai KP pada Mei 2008, beliau telah memperkukuhkan kedudukan FRIM sebagai sebuah institusi penyelidikan perhutanan tropika terkemuka melalui pencapaian pelbagai anugerah kebangsaan dan antarabangsa termasuk Anugerah Sains Mahathir dan Nikkei Asia Prize (2009); APECP Excellent Child Contributor Award(2010); Anugerah BrandLaureate bagi Jenama Terbaik dalam Pemuliharaan Alam Sekitar (2011 & 2012); dan Anugerah S&T Bank Pembangunan Islam (IDB) 2012.

KP FRIM bergambar bersama pegawai-pegawai

KP FRIM bergambar bersama pegawai-pegawai kanan FRIM yang hadir pada majlis.

Di bawah kepimpinan beliau juga, kampus utama FRIM di Kepong telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Semula Jadi pada tahun 2009 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan pada Mei 2012.

Pada awal tahun ini, Abd Latif juga telah mendapat Anugerah Pingat Emas 2012 dari Kelab Rotary DiRaja Kuala Lumpur sebagai penghargaan sumbangan cemerlang dalam bidang perhutanan. Beliau juga telah menerima pelbagai anugerah berprestij lain termasuk Anugerah Saintis Muda Negara 1993, Anugerah Pencapaian Saintifik IUFRO 1995; Anugerah Pencipta Kebangsaan 1997 dan Anugerah Cemerlang Belia Malaysia 1999. Beliau juga adalah saintis perhutanan pertama di Asia dan Malaysia untuk menerima Anugerah Eisenhower Fellowship 1999, dan diiktiraf sebagai Pengurus Terbaik Tahun 2011 oleh Jawatankuasa Penganugerahan Dewan Perniagaan Eropah bagi Penyelidikan Gunaan dan Pencapaian Saintifik, serta anugerah “The Name of Science” oleh Kelab Rektor Eropah pada Julai 2012.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden MSA, Prof. Emeritus Dr C.P. Ramachandran, Mantan Presiden MSA, Datuk Dr Mohinder Singh, bekas KP FRIM, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, Timbalan KP FRIM, Dr Mohamed Nor Mohd Yusoff, dan pegawai-pegawai kanan FRIM yang lain.



FRIM DG conferred “The Name in Science” Award

KP FRIM terima Anugerah ‘The Name in Science’

Written by FRIM Webmaster on . Posted in Hadiah & Penghargaan, Berita & Acara

13 Julai 2012 (Jumaat) – Jawatankuasa Pencalonan Socrates untuk Europe Business Assembly (EBA), Club of Rectors of Europe (CRE) dan International Club of Leaders (ICL) telah memilih Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai penerima anugerah ‘The Name in Science’ bagi mengiktiraf sumbangan beliau kepada dunia sains.

Latif (middle) posing for a picture with Goodheer (left) and Netting (right) at the ceremony. Latif (tengah) bersama-sama dengan Goodheer (kiri) dan Netting (kanan) di majlis penyampaian anugerah.

Latif (middle) posing for a picture with Goodheer (left) and Netting (right) at the ceremony.

Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah menerima anugerah yang disampaikan oleh Prof. Wil Goodheer, President CRE, dan Prof. John WA Netting, Ketua Pengarah EBA, di majlis penyampaian anugerah yang diadakan pada 12 Julai 2012 di Dublin, Ireland, bersempena dengan Forum Terbuka EuroScience (ESOF) 2012.

Pengiktirafan ‘The Name in Science’ dianugerahkan kepada kumpulan atau komuniti sains, pihak berkuasa, organisasi awam, struktur perniagaan, saintis, ahli politik, dan tokoh masyarakat; sebagai penghargaan atas sumbangan peribadi atau pencapaian cemerlang penerima dalam memartabatkan penyelidikan sains.

Terdapat 17 penerima bagi anugerah ini di majlis tersebut yang juga menyaksikan penyampaian anugerah-anugerah lain seperti ‘European Quality Award’, ‘United Europe Award‘ dan ‘Queen Victoria Commemorative Medal‘. Setiap penerima anugerah ini mendapat sijil dan pingat khas.

EBA, CRE dan ICL adalah merupakan organisasi-organisasi bebas yang bertujuan menggalakkan pembangunan dan pengurusan ekonomi, sosial serta kerjasama kemanusiaan.

Latif (kanan) dan Dato’ Ramli Naam, Duta Malaysia ke Ireland pada 15 Julai 2012.

Latif (kanan) dan Dato’ Ramli Naam, Duta Malaysia ke Ireland pada 15 Julai 2012.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada EBA, CRE dan ICL kerana mengiktiraf usaha sepanjang 26 tahun saya berkecimpung dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) hutan tropika. Saya sentiasa percaya bidang sains perhutanan berpotensi tinggi untuk memberikan impak kepada alam sekitar sejagat. Diharap kejayaan yang diperoleh hari ini akan menggalakkan lebih ramai penyelidik yang berbakat untuk terus menyumbang kepada sektor perhutanan, khususnya dalam melestarikan industri kayu di masa hadapan,” ujar Abd Latif.

Abd Latif memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyelidik FRIM pada 1985. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FRIM pada 2005 sebelum mengambilalih tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah pada April 2008. Visi dan minat dalam penyelidikan hutan tropika telah membolehkan beliau menerima pelbagai anugerah berprestij; antaranya ‘Anugerah Saintis Muda Negara 1993’, ‘Anugerah Pencapaian Saintifik IUFRO 1995’, ‘Anugerah Perekacipta Negara 1997’, dan ‘Anugerah Cemerlang Belia Malaysia 1999’.

Beliau juga merupakan saintis perhutanan pertama dari Asia dan Malaysia yang menerima Anugerah Eisenhower Fellow 1999 dan diiktiraf dengan anugerah ‘Best Manager of The Year 2011’ oleh Jawatankuasa Pencalonan Europe Business Assembly bagi kategori ’Penyelidikan Gunaan dan Pencapaian Saintifik’. Baru-baru ini, Abd Latif juga telah menerima Anugerah Pingat Emas Penyelidikan Rotary atas sumbangan cemerlang beliau dalam bidang ‘Sains Perhutanan’.

Ketekunan usaha Abd Latif dalam memastikan penghasilan R&D yang berfaedah dan berimpak telah berjaya melonjakkan prestasi dan kedudukkan FRIM secara global.

Kini, FRIM adalah antara institusi penyelidikan perhutanan yang terkemuka di dunia. FRIM telah menerima pelbagai anugerah saintifik, antaranya adalah; Anugerah Nikkei Asia Prize dan Anugerah Sains Mahathir (2009), Anugerah ‘Best Enterprise’ dari EBA bagi kategori ‘Penyelidikan Gunaan dan Pencapaian Saintifik’ (2011) dan Anugerah Bank Pembangunan Islam bagi Sains dan Teknologi (2012).

FRIM gets recognition for contribution to ecotourism

FRIM terima pengiktirafan sumbangan ekopelancongan

Written by CCU on . Posted in Hadiah & Penghargaan, Berita & Acara

Sijil yang diterima

Norhayati menunjukkan sijil yang diterima oleh beliau bagi pihak FRIM.

09 Julai 2012 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) adalah salah satu organisasi yang terpilih untuk diberi pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri Selangor atas sumbangan terhadap pembangunan industri ekopelancongan negeri tersebut.

FRIM yang diwakili oleh Ketua Unit Pengurusan Korporatnya, Puan Norhayati Nordin, telah menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim, pada Majlis Appresiasi Pelancongan Selangor 2012 yang berlangsung di Shah Alam semalam.

Majlis yang julung-julung kalinya diadakan hasil kerjasama antara Jawatankuasa Pelancongan Negeri Selangor dengan Tourism Selangor Sdn Bhd ini bertujuan memberi penghargaan kepada pengusaha atau pihak-pihak berkenaan yang banyak menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan Selangor.

Penghargaan diberikan kepada kepada 17 kategori penerima antaranya pihak hotel, restoran, agensi pelancongan, eko-pelancongan, pelancongan warisan dan sebagainya.

Kesemua penerima penghargaan ini telah dinilai dan dipilih oleh satu jawatankuasa panel khas yang terdiri daripada Kerajaan Negeri, Persatuan Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

Dalam ucapan perasmiannya, Khalid menyarankan agar tumpuan industri pelancongan negeri disasarkan kepada usaha pembangunan pelancongan domestik. Beliau berkata langkah ini penting memandangkan industri pelancongan dunia sedang mengalami perubahan trend akibat kejatuhan ekonomi global.

Tambah beliau, usaha ke arah ini harus dilipatgandakan untuk meningkatkan pasaran pelancongan domestik dengan mempergiatkan lagi penganjuran aktiviti yang boleh menarik penyertaan lebih ramai pelancong tempatan ke negeri Selangor.

FRIM yang memang sudah dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan dan taman rekreasi utama di Selangor dan Malaysia telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan Negara pada 10 Mei 2012. Institut ini menerima antara 20,000 dan 30,000 orang pelawat sebulan.



.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast