Titian Kanopi FRIM ditutup mulai 30 Jun 2017

Written by CCU on . Posted in Berita & Acara

28 Mac 2017 (Selasa) – Titian Kanopi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang merupakan salah satu tarikan paling popular dalam kalangan pengunjung tempatan mahupun pelancong dari luar negara akan ditutup mulai 30 Jun 2017.

Walau bagaimanapun, FRIM merancang untuk membina titian kanopi yang baru dalam masa tiga hingga lima tahun.

Pengumuman ini dibuat oleh Ketua Pengarah (KP), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod di Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa (IDF) 2017 Peringkat FRIM di kampus utama FRIM, Kepong, pada 25 Mac lalu.

“Titian Kanopi ini merupakan salah satu tarikan ekopelancongan utama FRIM semenjak 25 tahun yang lalu. Berikutan kejadian hujan ribut pada penghujung 2015, akses ke titian kanopi ini telah dibuka dan ditutup beberapa kali bagi tujuan penyelenggaraan dan penilaian keselamatan,” kata beliau.

Abd Latif berkata pokok-pokok sokongan titian kanopi ini tidak sihat dan berisiko untuk menampung beban struktur titian; ditambah dengan beban pengunjung.

“Kita berhasrat untuk membangunkan titian kanopi yang baru dalam masa beberapa tahun ini. Sebarang perkembangan akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambah beliau, FRIM berusaha mendapatkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta untuk membina satu sistem titian yang diperbuat daripada kerangka aluminum. Sistem ini dijamin lebih selamat dan kurang memberi impak negatif terhadap pokok dan alam sekitar.

Sambutan IDF2017 peringkat antarabangsa tahun ini bertemakan ‘Forests and Energy’ (Hutan dan Tenaga) kerana kayu merupakan sumber tenaga boleh diperbaharui yang paling utama; serta menyumbang kira-kira 45 peratus bekalan tenaga di peringkat global. Tema ini menekankan kepentingan tenaga ini dalam memperbaiki kehidupan rakyat, menjana pembangunan mampan (global green economy) dan mengurangkan kesan perubahan iklim.

FRIM mengambil pendekatan berbeza dengan memilih “Semarakkan dengan Cinta” sebagai tema dengan mendefinasikan tenaga bukan sebagai bahan api tetapi tenaga dalam setiap insan yang menzahirkan rasa cinta. Tema ini juga mencerminkan kepentingan tenaga yang dirasai ketika berada di dalam hutan dan dikelilingi pokok-pokok sebagai “kuasa kehidupan” sepertimana yang sering diperkatakan oleh kebanyakan budaya lama dunia.

Tujuan Sambutan IDF2017 Peringkat FRIM adalah untuk menggalakkan penanaman pokok bagi penyembuhan, memperingati peristiwa penting, bagi penghijauan dan penyejukan bumi, menyediakan makanan untuk hidupan liar, serta sebagai perbuatan yang mulia atau luahan rasa sayang.

Sambutan ini juga memberi peluang kepada seisi keluarga untuk berkumpul dan bersama-sama menikmati keindahan alam semula jadi, selain daripada membolehkan masyarakat setempat melibatkan diri dalam usaha penjagaan FRIM sebagai Warisan Semula Jadi, Warisan Kebangsaan dan bakal Tapak Warisan Dunia UNESCO.

FRIM telah mengadakan aktiviti menanam pokok kenangan (commemorative tree planting) untuk penyertaan umum. Antara lain, FRIM juga melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti ‘Love My Accessory’ iaitu pertandingan untuk kanak-kanak menggubah bunga, daun, ranting dan rumput bagi menghasilkan aksesori fesyen; ‘Love My Trees’, aktiviti pengenalan pokok bagi meningkatkan kesedaran serta kemahiran peserta dalam pengecaman pokok-pokok dipterokarpa; dan ‘Love My Photos’ iaitu pameran gambar-gambar penyertaan Pertandingan Fotografi FRIM 2016.

Semua pemenang Pertandingan Fotografi dijemput untuk menerima hadiah di majlis perasmian serta menyertai aktiviti penamanan pokok. Klik sini untuk melihat senarai pemenang.

1.5 (30%) 2 votes

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast