Mukadimah

 

Selamat datang ke laman QuEST.frim.gov.my di mana anda boleh memperolehi maklumat lanjut mengenai program usahasama FRIM - MECD ini. Kami telah mengemaskini halaman web kami dan ruang galeri kini sudah berfungsi dengan sepenuhnya.

Alhamdulillah, buku "Khazanah Alam untuk Kesihatan & Kecantikan" telah siap diterbitkan sejak awal bulan November dan sedang diedarkan dalam pasaran. Jika sebelum ini anda dapat membaca seluruh isi kandungan buku tersebut dalam laman kami, mulai hari ini anda perlu memperolehi naskah anda di kedai buku FRIM atau kedai serta perpustakaan berdekatan dengan anda. Walaubagaimanapun, klik lah di sini untuk melihat sedikit sebanyak prebiu kepada kandungan buku terbitan kami.

Bagi pengusaha atau pengilang barangan berasaskan herba, dapatkan juga bahan-bahan bacaan penting berkaitan pendaftaran produk perubatan tradisional serta kosmetik di sini. Dokumen-dokumen tersebut telah diperolehi daripada laman web BPFK.

Update (28/5/09): Makluman terkini, fungsi dan pelaksanaan Program Peningkatan Kualiti Produk Herba FRIM - MECD telah dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI).

Akhir kata... selamat melayari laman kami!

15 usahawan berjaya menamatkan program QuEST Bioherba

Setelah hampir genap 1 tahun sejak perasmiannya (10/07/09), Majlis Penutup QuEST Bioherba 2008-2009 telah diadakan di Auditorium FRIM, Kepong. Majlis gilang-gemilang ini dihadiri oleh 15 syarikat yang telah menyertai program keusahawanan yang berjalan selama 18 bulan ini. Turut dijemput hadir 5 syarikat daripada program FMBiosis FRIM-MTDC. Ucapan penutup telah disampaikan oleh Y.Bhg. Dato’ Mohd. Hashim Abdullah, yang kini bertugas di Kementerian Pertanian (MoA) sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Usahawan). Beliau merupakan pencetus kepada program yang bermula semenjak tahun 2006. Majlis tersebut dijalankan diserikan juga dengan kehadiran Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Abd. Latif Mohmod, Pengarah Bahagian Promosi & Pemasaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, En. Mohamad Khir Mat Lazim serta Pengarah Bahagian Tumbuhan Ubatan FRIM, Dr. Rasadah Mat Ali.


Sebelum majlis bermula, sesi pagi telah diisi dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat seperti dialog-dialog bersama wakil Kementerian Kesihatan tentang kawalan mutu makanan dan bersama Perbadanan Perbangunan Industri Halal (HDC) untuk pensijilan halal. 15 usahawan yang terlibat juga diberi salinan laporan analisa yang diperolehi daripada ujiankaji saintifik ke atas produk-produk herba dan/atau bahan-bahan mentah untuk menilai tahap kualiti, keselamatan, efikasi dan potensi, bagi proses peningkatan dan pembangunan berterusan serta untuk jaminan bahawa peraturan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) diikuti.


Perbentangan kertas kerja oleh pegawai-pegawai FRIM tentang regim pra- & pasca- tuai misai kucing; aplikasi varian-varian mas cotek; dan penggunaan logo “FRIM Techonology” telah diadakan sebelum majlis penutup bermula. Setelah ketibaan tetamu-tetamu kehormat, para hadirin telah disajikan oleh persembahan multimedia yang merangkumi intipati program dan perjalanan para usahawan sepanjang tempoh pelaksaan QuEST Bioherba. Majis tamat dengan penyampaiain sijil penyertaan dan cenderamata kepada para usahawan yang terlibat.

Panggilan untuk Usahawan

Sukacita dimaklumkan, sebagai mengakhiri Program Peningkatan Kualiti Produk Herba FRIM-MECD 2008/09 yang telah berlangsung dari Julai 2008 sehingga Julai 2009, satu Majlis Penutup akan diadakan pada 9 Julai 2009 (Khamis) bertempat di Bangunan Auditorium, FRIM.

Peserta program dipohon hadir untuk menghadiri bengkel tertutup yang akan disampaikan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan oleh Halal Industry Development Corporation (HDC) di sebelah pagi dan seterusnya Majlis Penutup tersebut yang akan berlangsung di sebelah petang.

Pihak FRIM turut akan mengadakan mini pameran semasa Majlis Penutup berlangsung. Turut diadakan adalah sesi 'merasa' produk yang telah dihasilkan oleh usahawan / peserta. Oleh hal yang demikian, sekiranya usahawan / peserta berminat untuk menyumbang produk-produk yang boleh diguna, Tuan / Puan boleh berbuat demikian dengan membawa produk tersebut semasa pendaftaran. Perlu diingatkan hanya produk yang terlibat dalam program ini sahaja yang dibenarkan dan pihak FRIM boleh menyediakan air panas dan cawan bagi sesi tersebut, jika perlu.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Pn. Siti Norhana Jasmani pada talian 03 - 6279 7601.

Kerjasama dan tindakan awal dari pihak Tuan / Puan, kami dahului dengan ucapan terima kasih.

Fungsi MeCD Diserap

PUTRAJAYA 15 April – Agenda membela bumiputera yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang dimansuhkan, tetap diteruskan apabila kerajaan bersetuju menyerapkan fungsi dan agensi-agensinya ke lapan buah kementerian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini berkata, persetujuan mengenainya akan terus memastikan peranan-peranan utama MECD terutama bagi melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera.

Pada masa sama, kata beliau, ia akan memperluas dan mempercepatkan penglibatan bumiputera dalam arus ekonomi negara, membangunkan kawasan pertumbuhan baru dan memperkasakan koperasi yang terus diberi penekanan kerajaan.

Berikut fungsi-fungsi dan agensi-agensi MECD yang diserapkan:

- Pembangunan dan Penggalakan Sistem Francais dan Pembangunan Skim Vendor dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

- Pembangunan Masyarakat Perindustrian Perdagangan Bumiputera, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Bank SME ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

- Pembangunan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Kerjasama Malaysia ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

- Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ke Jabatan Perdana Menteri.

- Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) ke Kementerian Kerja Raya.

- Perbadanan-Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Bank Rakyat ke Kementerian Kewangan.

- Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

- Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Malaysia Japan University (MAJU) ke Kementerian Pengajian Tinggi.

- Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sementara itu, pada sidang akhbar sebelum pertemuan dengan editor media tempatan di kediamannya di ibu negara petang ini, Najib menegaskan, tiada sebab mengapa pemansuhan kementerian tersebut perlu dijadikan polemik.

Kata Perdana Menteri, ini kerana agensi yang selama ini berada di bawah MeCD tidak pun dibubarkan dan akan tetap meneruskan fungsi serta peranan mereka dengan ditempatkan di beberapa kementerian lain.

“Seperti Mara, kita kembalikan agensi itu kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Pada masa dulu, agensi itu di kementerian tersebut juga seperti ketika zaman Tun Ghafar (Baba).

“Dan Menteri Luar Bandar sekarang adalah seorang Naib Presiden UMNO. Takkan beliau tak boleh kita harapkan untuk laksanakan program Mara umpamanya.

“Jadi saya tak nampak polemik tentang pemansuhan kementerian ini sebagai sesuatu yang patut dijadikan isu. Ini sebenarnya usaha kita untuk mewujudkan kerajaan yang lebih kecil dan efisien,” katanya.

Mengenai LPKP, Perdana Menteri menjelaskan, ia diletakkan di bawah JPM kerana kerajaan mahu mewujudkan sebuah badan baru yang dikenali sebagai Lembaga Pengangkutan Kebangsaan.

Katanya, atas sebab itu juga LPKP tidak berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan kerana peranan dan fungsi badan baru tersebut akan merentasi pelbagai kementerian.

“Undang-undang lembaga ini sedang digubal. Sebenarnya ia diputuskan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi. Saya fikir tahun ini (boleh dimuktamadkan),” jelasnya.

Edit (16/4/09): Status program ini masih tergantung kerana ianya tidak terkandung dalam mana-mana agensi MECD yang tersebut di atas.

MECD Dibubar

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah dibubarkan berikutan pengumuman kabinet baru pada 9 April 2009.

Buat masa ini kami hanya boleh melaporkan bahawa semua aktiviti-aktiviti yang telah dirancang akan diteruskan seperti biasa. Status MECD dan pelaksanaan program ini pada masa hadapan akan diumumkan kelak.

Bengkel Penjenamaan & Pelesenan Produk Berasaskan Herba

BENGKEL PENJENAMAAN DAN PERLESENAN PRODUK BERASASKAN HERBA telah diadakan pada 4hb Mac 2009 bertempat di Bilik Licuala, Bangunan Auditorium FRIM.

Pengisian program pada hari tersebut termasuk bengkel penjenamaan dan pembungkusan produk selama separuh hari, diterajui oleh En. Sulaiman Arshad, seorang konsultan dan pereka berpengalaman daripada SIRIM Berhad. Sebelah petang pula dialog bersama pegawai-pegawai dari Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaaan, Kementerian Kesihatan diadakan untuk berbicara mengenai pendaftaran produk-produk makanan dan minuman serta produk-produk kosmetik. Wakil-wakil BPFK yang telah sudi hadir ialah Cik Zuraida Abdullah dan En Kok Chuan Fung. Mereka telah berjanji untuk membantu menjawab permasalahan usahawan selepas bengkel tersebut jika perlu.

Bengkel ini walaupun pada dasarnya telah dirancang untuk sesi penyerahan sampel usahawan-usahawan dari Program Peningkatan Kualiti Produk Herba yakni komponen 3, usahawan-usahawan peserta dari komponen 1 (misai kucing) serta komponen 2 (mas cotek) juga dijemput untuk hadiri bengkel ini. Turut dialukan hadir dalam bengkel ini ialah 6 peserta daripada Projek FRIM-MTDC iaitu usahawan-usahawan muda daripada FMBIOSIS. Semua usahawan yang datang telah digalakkan untuk berinteraksi antara satu sama lain dan seterusnya membentuk suatu rangkaian perusahaan yang utuh agar dapat mewujudkan peluang-peluang perniagaan yang baru.

GUN '09 : Pertukaran MoU & Pelancaran Buku

FRIM berjaya mendirikan sebuah pavilion untuk mempamerkan pelbagai disiplin sains dan kepakaran kepada pengunjung sempena Gerak Usahawan Nasional 2009. FRIM telah menjemput beberapa pakar untuk mengendalikan bengkel di premis FRIM untuk menjawab soalan-soalan berkaitan pengkomersilan, landskap, keluaran hutan, fitokimia, pengecaman dan pemprosesan herba, kontaminasi produk, dan sebagainya.

Adalah harapan FRIM bahawa hasrat baik untuk aktiviti-aktiviti perkongsian maklumat seperti ini akan berlangsung jua dalam pameran-pameran yang akan datang.

Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara FRIM dengan MECD berjaya disempurnakan semasa majlis perasmian GUN '09 dan dalam pada itu disaksikan oleh YAB Dato' Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia. MoU ini telah termeterai kerana kedua-dua pihak mengambil maklum kepentingan elemen penyelidikan untuk memperkasa industri herba tempatan. Pertukaran MoU tersebut berlangsung antara Dato’ Musa Muhamad, Ketua Setiausaha MECD dan Dato' Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah FRIM.

Buku Khazanah Alam untuk Kesihatan & Kecantikan terbitan FRIM dan MECD telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri dalam kesempatan beliau melawat tapak pameran. Dengan itu, QuEST berharap buku kompilasi maklumat-maklumat herba tempatan tersebut seterusnya akan memberi impak yang signifikan kepada masyarakat seperti mana yang dijangkakan.

Gerak Usahawan Nasional 2009 (GUN 09)

Selamat menyambut tahun baru 2009 dan terima kasih kerana sudi melawati laman ini lagi. Kami menjanjikan lebih banyak pengemaskinian dari segi berita berkenaan aktiviti-aktiviti yang telah dan akan berlangsung dari masa ke semasa. Di kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika ada serba-serbi kekurangan dalam penyampaian atau persembahan informasi dalam laman ini, dan janganlah teragak untuk menyuarakan kritikan anda kepada kami melalui e-mel dsb. Insyallah kami akan cuba memperbaiki kelemahan kami.

Berikut adalah perincian GUN 09 yang akan dianjurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Pastinya ia akan melihat penglibatan FRIM amnya dan program QuEST khasnya secara langsung.

MASA / VENUE / TARIKH:
10.00 PAGI – 8.00 MALAM
DEWAN TUN RAZAK 1 , 2 & 3 PWTC, KUALA LUMPUR
6 – 8 FEBRUARI 2009
PELANCARAN OLEH YAB PERDANA MENTERI - 9.30 PAGI
500 BOOTH
20 PAVILION
20 BOOTH MALAYSIA KITCHEN

Acara ini bertujuan memberi peluang kepada usahawan meluaskan jaringan perniagaan mereka melalui pewujudan agen, traders, pengedar dan usahawan multilevel di bawah perniagaan sedia ada. Gerak Usahawan juga berharap untuk membudayakan orang ramai dalam aspek keusahawanan melalui bengkel-bengkel dan juga seminar usahawan cemerlang yang disampaikan oleh usahawan yang berjaya di dalam bidang perniagaan.

Jika berminat, dapatkan maklumat lebih lanjut di sini.

 

Update (2/2/09) :

Senarai panel penceramah Seminar Keusahawanan

Jumaat 3.00 - 5.00 ptg

Y. Bhg. Datuk Maznah Hamid, Pengerusi Eksekutif Securiforce Sdn Bhd

"Idea Perniagaan dan Kecermelangan Keusahawanan 2009"

Sabtu 10.00 pg - 12.30tgh

Mofaz Dagang Sdn Bhd dan Kart Food Industries Sdn Bhd

"Cabaran Pasaran Glokal Usahawan Tempatan"

Sabtu 2.30 - 4.00 ptg

Y. Bhg. Dato' Stapa Hj Omar, Pengasas/ Pengerusi Eksekutif De Classic Life (M) Sdn Bhd

"Berdaya Tahan dan Berterusan Maju dalam Perniagaan"

Sabtu 4.00 - 5.30 ptg

Dr Ali Sher Mohamad, Pengerusi MEC (Malay Entrepreneur Club), UK

"Your Gateway to Europe Business"

Ahad 10.00 pg - 1.00 tgh

Pengendali-pengendali Trading House di Luar Negara

"Pasaran Global Melalui Trading House"

Ahad 2.30 - 4.00 ptg

Y. Brs. Tn. Hj. Mohamed Fauzy Abdul Hamid, Presiden MOFAZ

"Bicara Tokoh: Penjenamaan Semula dan Globalisasi Perniagaan"

Ahad 4.00 - 5.30 ptg

Usahawan-usahawan Malaysia yang Bertapak di Luar Negara

"Menembusi Peluang-Peluang Perniagaan di Luar Negara"

 

 

Pameran Satu Daerah Satu Industri

Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 merupakan pameran tahunan terbesar yang menghimpunkan produk dan perkhidmatan SDSI dari seluruh Malaysia dalam usaha untuk memasar dan mempromosikan keluaran SDSI di peringkat global.

Showcase SDSI 2008 telah diadakan dari 7 – 9 November 2008 (Jumaat – Ahad). Ia terbuka kepada orang ramai dari 10.00 pagi - 10.00 malam bertempat di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Perasmian telah selamat disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka.

Menurut pihak penganjur, jumlah pengunjung ke pameran yang telah berlangsung sepanjang 3 hari tersebut telah mencecah 60,000 orang – sekaligus memperlihatkan peningkatan berbanding dengan pameran sama pada tahun lepas. Mereka mencadangkan acara ini diadakan lagi di Melaka memandangkan kejayaan yang dicapai. Kira-kira 500 peserta dan pemamer mengambil bahagian dalam Showcase 2008 yang bertemakan: 'Menjana Kecemerlangan SDSI Dalam Era Globalisasi'.

Dalam pengisian tapak, pihak Program Tumbuhan Ubatan selaku tonggak kepada pameran telah mengambil kesempatan untuk mempamerkan kepakaran mereka serta perkhidmatan dan produk yang ditawarkan kepada masyarakat. Pameran kali ini bertemakan ‘Green Technology’. Turut diundang untuk memenuhi ruang tapak ialah alumni Program Peningkatan Kualiti Produk Herba, unit penerbitan serta unit lanskap FRIM.

Tiga usahawan telah menggunakan ruang disediakan untuk mempromosikan produk jualan mereka. Begitu juga unit penerbitan. Ruang selebihnya digunakan untuk mempamerkan poster-poster, brosur-brosur dan produk-produk Program Tumbuhan Ubatan. Bagaimanapun tarikan utama pameran FRIM sempena SDSI ini ialah seksyen paparan projek FRIM – MECD akan datang, iaitu konsep Spa Kembali ke Alami. Pengunjung juga tertarik dengan tumbuh-tumbuhan yang menyerikan ruang pameran pavillion FRIM. Pengunjung-pengunjung memuji elemen-elemen semula jadi / kehijauan yang diperkenalkan dalam reka bentuk tapak pameran ini.

Bengkel Kualiti, Keselamatan & Efikasi Formulasi

Sepuluh usahawan peserta QuEST telah dijemput kembali untuk menghadiri Bengkel Kualiti, Keselamatan & Efikasi Formulasi pada 5 November 2008. Bertempat di Bilik Licuala Bangunan Auditorium FRIM, para usahawan diserahkan laporan-laporan analisa yang telah dijalankan ke atas serahan sampel produk mereka. Taklimat ringkas telah diberi untuk memberi panduan dalam pentafsiran hasil keputusan ujikaji tersebut. Para usahawan kemudian diberi peluang untuk mendengar perbentangan kertas kerja daripada tiga pegawai penyelidik FRIM dalam isu keselamatan produk, umpamanya logam berat, ketoksikan sito dan beban mikrob.

Berikutan itu, perbincangan tertutup antara penyelidik dengan usahawan telah diadakan supaya para usahawan dapat memahami keputusan analisa dan syor penambahbaikan yang terkandung dalam laporan mereka. Sesi interaksi ini amat memanfaatkan kerana pegawai-pegawai penyelidik, pakar-pakar dalam ilmuan sains biologi dan kimia telah dijemput untuk meluangkan masa mereka untuk menjawab ketidakpastian usahawan dan hala tuju mereka pada masa akan datang.

Dalam sesi kedua bengkel ini, Puan Noor’ain Shamsudin, Penolong Pengarah Produk Semulajadi daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan telah berbesar hati untuk memberi ceramah tentang pendaftaran produk tradisional di Malaysia. Ceramah ini dengan cepatnya berubah menjadi interaktif serupa dialog apabila para usahawan mula mengajukan banyak soalan berunsur kemusykilan dan kekeliruan dalam mendapatkan kelulusan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Setiap persoalan telah dijawab dengan terang oleh pihak Biro.

Dengan berakhirnya bengkel pada kali ini, setiap usahawan peserta ditugaskan untuk memperbaiki kualiti produk mereka berasaskan kepada syor pegawai penyelidik agar dapat menghasilkan produk yang bernilai tambah seawal bulan Mac 2009, di mana bengkel seterusnya akan diadakan.

Seminar Tumbuhan Ubatan & Beraroma 2008

Seminar Tumbuhan Ubatan & Beraroma 2008 atau dikenali sebagai MAPS 2008 telah diadakan di Hotel Legend Kuala Lumpur pada 21 – 22 Oktober 2008. Pihak penganjur QuEST telah menaja seramai 18 orang peserta program ini untuk mengikuti seminar 2-hari tersebut.

Tema pada tahun ini ialah “Globalisasi Herba: Paradigma Baru untuk Industri Herba Malaysia”. Seminar ini bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran dan potensi para penyelidik, akademik, pihak swasta, industri dan pembuat polisi untuk bekerjasama dengan lebih erat bagi memastikan kemajuan dalam bidang penyelidikan dan industri herba. Perbincangan akan merangkumi isu-isu berkaitan pengetahuan tradisi, pemuliharaan dan  penanaman, perdagangan dan pengkomersialan, kualiti, keberkesanan dan keselamatan; huluan dan hiliran. Pelbagai kertas kerja dan poster telah dibentangkan oleh penceramah dan penyelidik yang berpengalaman dalam bidang tumbuhan ubatan dan beraroma bagi memperkasakan industri herba negara.

Sempena era globalisasi yang dihadapi ketika ini, industri herba menempuhi persaingan yang semakin hebat di peringkat dunia. Kerajaan telah merangka strategi yang menumpukan kepada pembangunan nilai tambah industri yang berasaskan pengetahuan. Polisi dan strategi ini bertujuan untuk memastikan kelangsungan industri herba negara dan berupaya untuk memastikan kelangsungan industri herba negara dan berupaya untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Kerajaan sentiasa menyokong dan menggalakkan aktiviti penyelidikan dan komersilan untuk membangunkan industri herba. Walaubagaimanapun, peranan sebelah pihak sahaja tidak dapat menjamin pembangunan dan pertumbuhan industri herba negara. Pengusaha dan syarikat-syarikat tempatan perlu bersedia untuk menerima perubahan dari segi amalan dan proses yang terlibat dalam memenuhi standard global dan permintaan pasaran baru dalam industri herba.

Majlis Taklimat & Perasmian QuEST

Sejumlah 10 buah syarikat perusahaan herba telah bersetuju untuk menyertai Program Peningkatan Kualiti Produk Herba edisi ini. Sepuluh yang bertuah ini justeru telah dijemput untuk menghadiri sebuah upacara yang serba sederhana di Bilik Morinda dan Garcenia, Bangunan Auditorium FRIM pada 10 Julai 2008 bagi perasmian QuEST sesi 2008/09 serta penyerahan sampel produk herba.

Majlis yang bermula sejak pagi diseri oleh ucapan Pengarah Program Tumbuhan Ubatan, Dr Rasadah Mat Ali dan diikuti oleh taklimat daripada penyelaras projek sendiri iaitu Puan Mastura Mohtar. Majlis yang turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa direktorat FRIM serta wakil daripada pihak kementerian MECD, termasuk Yang berusaha Encik Abd Rahim Hassan, selanjutnya dirasmikan oleh Ketua Pengarah FRIM, Yang Berbahagia Dato' Abdul Latif Mohmod. Upacara perasmian kemudian diakhiri dengan sesi fotografi beramai-ramai.

Agenda program di sebelah petang pula diteruskan dengan lawatan ke Pusat Teknologi Herba (HTC); dan sebelum para usahawan peserta dapat beransur pulang, mereka masing-masing telah diminta untuk mendepositkan sampel-sampel produk herba kepada petugas-petugas QuEST yang sentiasa ceria dan sedia membantu. Sampel-sampel yang diterima akan diuji untuk menilai taraf efikasi, keselamatan dan kualitinya dalam perjalanan berliku ke arah penambahbaikan produk herba keluaran mereka.

Para usahawan akhirnya bersurai pada 5.00 petang pada hari tersebut; dengan harapan kami bahawa mereka telah pulang dengan berbekalkan sedikit sebanyak pemahaman tentang aspirasi program kami, dan senjata dalam bentuk ilmu pengetahuan untuk mengatasi cabaran dan dugaan dalam penguasaan pasaran herba tempatan dan luar negara pada masa akan datang.