Project Description

Pokok sentul atau kecapi merupakan pokok hutan yang tergolong dalam kategori pokok buah-buahan nadir di Malaysia. Pokok ini semakin jarang ditemui dan ramai dalam kalangan generasi muda tidak lagi mengenalinya. Sentul atau nama saintifiknya Sandoricum koetjape tergolong dalam famili Meliaceae seperti pokok rambai, langsat dan sentang. Pokok yang sederhana besar ini boleh mencapai ketinggian sehingga 30 m dengan diameter batangnya sehingga 90 cm. Taburan semula jadinya adalah di sekitar Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia, Filipina dan Indonesia. Pokok sentul tumbuh dengan subur di kawasan yang mempunyai taburan hujan yang sekata. Memandangkan pokok ini tahan cuaca, ia boleh tumbuh di kawasan bermusim panas yang panjang. Buah sentul enak dimakan. Buahnya berbentuk bebola, berdiameter 5–7 cm, berwarna kuning keemas-emasan dan berbulu lembut. Kulit buahnya tebal dan agak liat. Isi buah sentul berulas-ulas, lembut dan berwarna putih seakan-akan isi buah manggis. Rasanya masam-masam manis dan tidak mudah lekang daripada bijinya. Selain dimakan segar, buah sentul juga dibuat acar dan jeruk. Kulit buahnya juga boleh dimakan mentah atau dimasak sebagai sayur lemak dan dijadikan lauk. Pokok sentul mempunyai banyak khasiat perubatan tradisional. Buahnya mengandungi vitamin B, C, kalium dan fosforus. Air rebusan akarnya diminum untuk merawat cirit-birit, bengkak usus, kekejangan dan melegakan kembung dan sakit perut. Akar dan kulit kayunya juga digunakan dalam merawat ibu-ibu selepas bersalin. Daun pokok sentul pula diletakkan pada kulit untuk merangsang peluh dan merawat gatal-gatal kulit. Air rebusan daunnya juga digunakan dalam mandian bagi meredakan demam panas. Kulit batang sentul pula biasa dibuat serbuk untuk merawat penyakit kurap. Selain itu, kayu pokok sentul turut digunakan dalam pertukangan, pembinaan ringan dan pembuatan perkakas rumah. Pokok yang semakin dilupai ini boleh dijumpai di Arboretum Buah-buahan FRIM.

Gambar oleh Naimah Che Long

Ready to be eaten fresh or made into chutneys or pickles

Buah yang masak boleh dimakan mentah atau dibuat acar dan jeruk.

The almost forgotten sentul fruits

Buah sentul yang semakin dilupai

Ripe sentul fruits on branches

Buah sentul yang masak di dahan

Sentul tree is fruiting at FRIM’s Fruit Tree Arboretum

Pokok sentul yang sedang berbuah di Arboretum Buah-buahan FRIM