PUSAT RUJUKAN

Herbarium Kepong

Latar Belakang Sejarah

Herbarium Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (dikenali sebagai KEP pada peringkat antarabangsa) telah bermula semenjak awal 1900an dengan sejumlah kecil koleksi yang dijalankan oleh A.M. Burn-Murdoch. Sehingga Perang Dunia Kedua, koleksi ini semakin bertambah melalui aktiviti pengutipan oleh ahli-ahli botani dan pegawai-pegawai hutan yang berdedikasi seperti G.E.S. Cubitt, F.W. Foxworthy, J.G. Watson dan C.F. Symington.

Dalam tempoh kira-kira 40 tahun, koleksi di KEP telah berkembang kepada kira-kira 43,000 spesimen. Koleksi ini menjadi asas bagi beberapa penerbitan penting berkenaan pokok kayu balak di Malaya seperti “Trees and Timbers of the Malay Peninsula” oleh Burn-Murdoch, “The Commercial Woods of the Malay Peninsula” dan “Dipterocarpaceae of the Malay Peninsula” oleh Foxworthy, “Mangrove Forests of the Malay Peninsula” oleh Watson dan “Foresters’ Manual of Dipterocarps” oleh Symington.

Selepas Perang Dunia Kedua, J. Wyatt-Smith ditugaskan untuk mengurus herbarium ini dengan dibantu oleh K.M. Kochummen. Dalam tempoh tersebut, koleksi herbarium dan aktiviti penyelidikan tertumpu kepada famili pokok untuk dimuatkan dalam penghasilan siri “Manuals of Malayan Timber Trees”, seterusnya diikuti dengan penerbitan “Pocket Check List of Timber Trees” dan “Manual of Malayan Silviculture for Inland Forest”. Menjelang 1965, koleksi herbarium telah berjumlah sebanyak 74,694 spesimen.

T.C. Whitmore telah berkhidmat di bawah “Colombo Plan Aid” di antara 1965 dan 1972 untuk mengendalikan dan menghasilkan sebuah “Tree Flora of Malaya”. Dalam jangkamasa tersebut, aktiviti pengutipan telah dijalankan dengan begitu giat bagi menambah koleksi sedia ada untuk projek tersebut. Projek ini mengambil masa selama 24 tahun untuk dilengkapkan, menghasilkan penerbitan empat jilid “Tree Flora of Malaya”. Empat jilid tersebut, memuatkan laporan 2,830 spesies pokok dalam 99 famili, telah menjadi buku rujukan utama bagi pokok di Semenanjung Malaysia.

Fungsi Pusat Rujukan Serangga

Mandat umum herbarium ini adalah untuk mendokumentasi flora berkayu di Semenanjung Malaysia tetapi baru-baru ini, dengan pengiktirafan KEP sebagai Herbarium Kebangsaan Malaysia, mandat ini telah diperluaskan dengan menyertakan penyelidikan koleksi dan penyimpanan semua tumbuhan vaskular di Malaysia, termasuk buluh dan rotan serta palma, kaum halia dan famili-famili herba yang lain (contohnya Gesneriaceae), orkid, pemanjat, paku-pakis dan likofit.

Sebagai sebuah Herbarium Kebangsaan, Herbarium Kepong bertindak untuk menjalankan fungsi-fungsi berikut:

  • Sebagai sebuah pusat rujukan dan penyelidikan berkenaan tumbuhan vaskular;
  • Untuk menjalankan kajian botani asas dan untuk menyalurkan penemuan penyelidikan melalui penerbitan (contohnya flora, flora pokok, senarai semak dan sebagainya);
  • Untuk menyediakan kemudahan bagi kajian dalam bidang-bidang sains yang berkaitan seperti ekologi, silvikultur dan penilaian persekitaran;
  • Untuk membekalkan data dan maklumat bagi pengurusan, perancangan dan pemuliharaan hutan; dan
  • Untuk pendidikan, terutamanya dalam Kursus Pengecaman Pokok Hutan serta Kursus Teknik dan Pengurusan Herbarium.

Koleksi dan Pengurusan Kini

Kini, Herbarium Kepong memiliki lebih daripada 300,000 spesimen yang disusun mengikut sistem moden “Linear Sequence of Angiosperm Phylogeny Grouping” (LAPG II), dan diurus melalui penggunaan perisian BRAHMS (“Botanical Research And Herbarium Management System”).

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Dr Richard Chung Cheng Kong
Tel: 03-6279 7231
E-mel: richard[at]frim.gov.my

Koleksi Entomologi Rujukan FRIM

Latar Belakang Sejarah

Koleksi Entomologi Rujukan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bermula seawal 1932 apabila FG Browne dilantik sebagai Pegawai entomologi pertama FRIM. Ketika itu, penekanan diberikan untuk membina koleksi serangga yang dianggap sebagai serangga perosak kayu atau perosak pokok hutan bernilai komersial. Kebanyakan koleksi adalah dari kumpulan kumbang Scolytidae dan Platypodidae yang kebanyakan merupakan kumbang ambrosia.

Koleksi Entomologi Rujukan FRIM ini terselamat dari Perang Dunia Kedua namun perkembangan pusat koleksi adalah terhad sepanjang tempoh tersebut. Malangnya selepas kemerdekaan, kebanyakan spesimen termasuklah spesimen tip* Browne telah dibawa ke Afrika dan sekarang ditempatkan di British Museum of Natural History, yang kini dikenali sebagai Natural History Museum, London.

KD Menon, pengganti FD Browne telah menyambung semula usaha penambahan spesimen koleksi serangga. Beliau telah menyambung usaha penyelidikan serangga perosak kayu dan kumpulan serangga lain. Beliau bertanggungjawab dalam pembangunan koleksi rujukan serangga bagi kumpulan serangga lain yang sehingga kini terdapat dalam koleksi Koleksi Entomologi Rujukan FRIM. Tho Yow Pong kemudiannya menyertai institut ini telah bertanggungjawab untuk meningkatkan koleksi anai-anai dan rama-rama serta serangga lain. Spesimen terus berkembang melalui pelbagai ekspedisi dan projek kolaborasi antarabangsa daripada Jepun, United Kingdom Amerika Syarikat. Sehingga kini, lebih kurang 20 projek kerjasama dengan agensi luar dan dalam negara telah dijalankan dan hasil kutipan serangga telah disimpan dan dikurasi dalam Koleksi Entomologi Rujukan FRIM. Hasil kutipan daripada pelbagai ekspedisi seperti  ekspedisi Hutan Simpan Kota Damansara (2011), ekspedisi Hutan Simpan Panti (2008-2010), Ekspedisi Endau Rompin (1992) turut ditempatkan di Pusat ini.

Koleksi Entomologi Rujukan FRIM merupakan satu pusat rujukan kepada ahli taksonomi dan saintis lain yang sangat terkenal di Asia Tenggara kerana ia mengandungi 600,000 serangga di mana lebih kurang 10,000 telah dicamkan spesiesnya. Koleksi Entomologi Rujukan FRIM juga menempatkan kira-kira 229 holotip* dan hampir 1,000 paratip** untuk spesies baru yang dikutip di Malaysia dan negara-negara jiran. Bilangan penerbitan yang dihasilkan daripada hasil kutipan serangga yang disimpan dalam Koleksi Entomologi Rujukan telah melebihi 200 buah penerbitan samada dalam bentuk tesis, buku, jurnal, kertas sains dan teknikal, dan atas talian.

* ** Holotip dan paratip merupakan spesimen yang dikaji oleh pengulas asal yang memberikan nama saintifik kepada serangga tersebut. Spesimen seperti ini berperanan penting dalam kerja-kerja taksonom.

Fungsi Pusat Rujukan Serangga

Fungsi utama Koleksi Entomologi Rujukan FRIM adalah seperti berikut:

  • Pusat rujukan dan penyelidikan serangga;
  • Menjalankan penyelidikan serangga asas dan menyediakan hasil kajian melalui penerbitan (ie: senarai semak, inventori);
  • Menyediakan kemudahan untuk kajian sains berkaitan seperti bidang ekologi, silvikultur dan penilaian persekitaran;
  • Menyediakan data dan informasi untuk perngurusan hutan, perancangan dan pemuliharaan terutamanya dalam pengenalpastian serangga
  • Pendidikan terutamanya dalam pengenalpastian serangga

Kurasi dan Pengurusan kini

Koleksi ini disimpan di dalam laci kayu berkaca berkualiti tinggi dan disimpan di dalam bilik berhawa dingin yang dikawal dengan kelembapan yang rendah untuk mengelakkan kerosakan yang disebabkan serangan serangga perosak dankulat.  Penyelengaraan berkala koleksi dan bilik koleksi dibuat oleh kakitangan Entomologi. Rekod digital spesimen sedang dibangunkan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Dr. Nada Badruddin
Tel: 03-6279 7111/ 7112
Emel: nada[at]frim.gov.my

Maklumat lanjut (PDF)

Galeri Buluh dan Palma

Latar Belakang Sejarah

Galeri Buluh dan Palma telah ditubuhkan pada 2013 bagi menandakan penglibatan 30 tahun FRIM dalam penyelidikan dan pembangunan buluh, rotan dan spesies palma yang lain. Galeri ini dibina pada 1993 dan ditempatkan di bangunan D14, termasuklah bengkel dan pejabat bagi saintis-saintis di bawah Unit Buluh dan Rotan. Dirasmikan pada 9 April 2014 oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar iaitu Dato’ Seri G. Palanivel, galeri ini telah mendapat pengiktirafan sebagai “Galeri Buluh dan Palma  yang Pertama” daripada Malaysia Book of Records pada 20 Januari 2015.

Fungsi Galeri

  • Untuk mempamerkan koleksi spesimen buluh, rotan dan spesies-spesies palma yang lain (bukan untuk dipinjam), dan
  • Sebagai pusat rujukan berkaitan bidang buluh, rotan dan spesies-spesies palma yang lain.

Koleksi Terkini Spesimen Buluh, Rotan dan Lain-lain Spesies Palma

  • Batang/bahagian berkayu
  • Daun
  • Upih daun
  • Rizom (akar/rebung)
  • Buah
  • Produk tradisional
  • Produk baharu dan inovatif

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Nama: Dr Mohd Tamizi Mustafa
E-mel: tamizi[at]frim.gov.my
Tel: 03-6279 7432

Nama: Dr Wan Tarmeze Wan Ariffin
E-mel: tarmeze[at]frim.gov.my
Tel: 03-6279 7419

Xylarium

Latar Belakang Sejarah

Koleksi kayu Xylarium Kepong (KEPw) di FRIM telah direkodkan bermula pada tahun 1918. Tahun 1918 menandakan kepentingan sejarah mengenai pengecaman kayu dan klasifikasi kayu komersil. Pada tahun 1925 rekod mengenai pengambilan kayu didokumentasikan secara sistematik dan diklasifikasikan secara berasingan mengikut negeri-negeri asal di negara ini dan kayu-kayu asing diperolehi secara pertukaran.

Fungsi Xylarium

  • Sebagai pusat rujukan untuk perkhidmatan pengecaman kayu
  • Sebagai pusat rujukan untuk kajian anatomi kayu
  • Sebagai pusat rujukan untuk pendidikan

Pengurusan dan Koleksi Semasa

Spesimen kayu dalam koleksi kayu Xylarium Kepong (KEPw) setakat ini ialah 10 201 daripada 108 famili, 427 genus dan 1595 spesies daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Klik sini untuk berita lanjut mengenai Xylarium 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Nordahlia Abdullah Siam
Makmal Anatomi Kayu
Timber Technology Centre
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia
52109, Kepong Selangor
nordahlia[at]frim.gov.my
03-6279 7403/ 7405

Pusat Pensahihan Bahan Mentah Herba, FRIM (CAHRM)

Latar Belakang Sejarah

Pusat Pensahihan Bahan Mentah Herba, FRIM (CAHRM) berperanan dalam menyediakan Sijil Analisis (COA), untuk pensahihan bahan mentah herba, bagi memperkasa industri herba Malaysia, secara meningkatkan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk siap. Sebilangan makmal yang terlibat dengan CAHRM telah memperoleh status BioNexus Partners (BNP) daripada Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia. Matlamat pusat ini antaranya ialah untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan penggunaan herba, menyediakan platform bagi pembangunan secara saintifik garis panduan untuk jaminan kualiti, menggalakkan sifat bertanggungjawab dan mampan dalam industri dan perdagangan herba, memastikan daya saing herba domestik di pasaran dunia, menjadi pusat rujukan dan latihan, serta pusat pemuliharaan spesies herba.

Makmal Berstatus BioNexus Partners (BNP)

Latar Belakang Sejarah

FRIM diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan dalam bioteknologi perhutanan danpembangunan hasilan semula jadi dengan penganugerahan status BioNexus Partners (BNP) kepada dua makmal penyelidikan bioteknologi dan empat makmal hasilan semula jadi. Dua makmal iaitu Makmal Kultur Tisu yang menawarkan perkhidmatan pembiakan bahan tanaman secara besar-besaran dan Makmal Genetik yang menjalankan ujian pengenalpastian dan autentikasi tumbuhan melalui teknologi DNA telah diberikan status BNP pada tahun 2008. Makmal Fitokimia memperoleh status BNP pada 2009, disusuli dengan Makmal Pembangunan Produk Herba, Makmal Farmakognosi dan Pusat Teknologi Herba (HTC) pada 2011. Makmal BNP menawarkan jaringan kerjasama dari segi kemudahan, perkhidmatan dan kepakaran kepada universiti, institusi penyelidikan, taman teknologi, pusat inkubasi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memperkasa industri bioteknologi dan herba tempatan. Melalui program ini, FRIM telah menjalankan pengujian terhadap lebih daripada 4,700 sampel yang diterima daripada sekurang-kurangnya 400 syarikat atau pelanggan. Tiga daripada makmal ini telah berjaya mendapat akreditasi ISO/IEC 17025. Satu daripadanya iaitu Makmal Kawalan Kualiti Hasilan Semula Jadi (NPQC) telah dilantik sebagai makmal panel Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan sejak 2016. Laporan ujian kawalan kualiti yang dikeluarkan oleh makmal NPQC mengesahkan kualiti dan keselamatan produk serta mempercepatkan proses pendaftaran produk dengan NPRA. HTC juga memperoleh Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan pensijilan halal bagi peningkatan kualiti produk herba tradisional. Di samping itu, Anugerah BNP Terbaik untuk AgBiotek dan Anugerah Kerjasama BNP Terbaik telah dianugerahkan kepada dua makmal masing-masing pada 2013 dan 2015. Berdasarkan prestasi cemerlang, Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia telah melanjutkan status enam makmal BNP ini. FRIM yang mempunyai kemudahan penyelidikan terkini dan kepakaran, mengalu-alukan kerjasama dengan industri bioteknologi perhutanan dan herba bagi meningkatkan kualiti bahan tanaman dan produk herba, serta mempertingkatkan daya saing perniagaan dan keupayaan menembusi pasaran antarabangsa.

Bank DNA FRIM

Latar Belakang Sejarah

Bank DNA telah dibangunkan di FRIM sejak 2009. Bank ini mengandungi lebih kurang 24,000 DNA genomik tumbuhan yang disimpan dalam peti sejuk bersuhu –80°C.  Setiap DNA yang disimpan dilengkapi maklumat seperti nama saintifik, nama tempatan, nama keluarga, tempat jumpa, pengumpul dan tarikh kumpul.  Selain itu, lebih kurang 30% sampel DNA yang disimpan mempunyai baucar herbarium.  Bank DNA terdiri daripada 1658 spesies tumbuhan, merangkumi 578 genus dan 144 famili (Jadual 1).  Bank DNA ini menggambarkan aktiviti di Makmal Genetik FRIM yang antaranya melibatkan pengumpulan sebahagian besar spesies-spesies kayu komersial, tumbuhan herba dan ubatan, pokok buah-buahan yang boleh dimakan dan spesies tumbuhan terancam. Selain itu, terdapat beberapa spesies yang banyak bilangannya yang dikumpul dari pelbagai lokasi di seluruh Malaysia. Spesies-spesies yang dikumpul untuk kajian genetik populasi dan profil DNA antaranya ialah Neobalanocarpus heimii (cengal), Shorea platyclados (meranti bukit), S. leprosula (meranti tembaga), S. curtisii (meranti seraya), Dryobalanops aromatica (kapur), D. oblongifolia (keladan), Gonystylus bancanus (ramin melawis), Aquilaria malaccensis (karas), Koompassia malaccensis (kempas), Intsia palembanica (merbau), Rhizophora apiculata (bakau minyak) dan R. mucronata (bakau kurap).

Penubuhan bank DNA menyediakan sebuah koleksi DNA sebagai sumber bahan penyelidikan.  Bidang kajian yang mengguna pakai kemudahan bank DNA ini termasuk filogenetik, filogeografi dan populasi serta pembangunan penanda DNA. Selain itu, bank DNA boleh dijadikan rekod bagi kepelbagaian spesies tumbuhan dan asas pemuliharaan genetik serta kajian bioteknologi.  Bank DNA juga penting bagi aktiviti bioprospecting untuk mengenal pasti gen yang terlibat dalam ciri-ciri penting seperti biosintesis ubatan, kualiti makanan dan ketahanan tumbuhan terhadap patogen dan tekanan persekitaran.

Koleksi Bank DNA merupakan satu kaedah yang cekap untuk mengelakkan kehilangan sumber genetik, dan mengukuhkan strategi bagi mengekalkan kekayaan dan kepelbagaian yang dikodkan oleh genom tumbuhan. Malaysia merupakan satu daripada negara megadiversiti yang merekodkan lebih daripada 15,000 spesies tumbuhan vaskular. Selari dengan itu, matlamat utama FRIM menubuhkan bank DNA ini adalah untuk memulihara keseluruhan maklumat genetik flora di Malaysia.

DNA dalam tiub Eppendoft & voucher herbarium

Jadual 1: Bilangan famili, genus dan spesies di dalam Bank DNA FRIM

DNA di peti sejuk -80°C Penyimpanan voucher herbarium

Perpustakaan

Latar Belakang Sejarah

Perpustakaan FRIM yang diwujudkan bagi menyokong aktiviti-aktiviti penyelidikan di FRIM sejak institusi ini ditubuhkan, boleh dikatakan salah sebuah perpustakaan tertua di Malaysia.

Perpustakaan ini yang pada mulanya mempunyai koleksi sains umum telah berkembang apabila mengambilalih koleksi “Applied & Technical Botany” dari Muzium Federated Malay States. Pada tahun 1933 penyusunan Katalog perpustakaan yang pertama telah dilakukan oleh F.S. Walker dan melaluinya diketahui perpustakaan pada masa itu telah mempunyai 3000 naskah buku dan 40 judul jurnal yang dilanggan. Sistem pengkelasan ODC (Oxford System of Decimal Classification) telah digunakan bagi tujuan mengelaskan buku-buku mengenai perhutanan sekitar tahun 1949. Perpustakaan kini terus berkembang sejajar dengan kemajuan bidang penyelidikan di FRIM di mana koleksinya kini mengandungi lebih 12000 judul buku dan lebih 2000 judul bahan terbitan bersiri.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Norain Mohd Arif
Tel: 03-62797231
Email: norain[at]frim[dot]gov[dot]my