Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) adalah antara institusi yang terkemuka dalam penyelidikan perhutanan tropika di dunia. Ditubuhkan pada 1929, FRIM yang dahulunya dikenali sebagai Institut Penyelidikan Perhutanan menjadi sebuah badan berkanun sepenuhnya dengan ditadbir oleh Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB) di bawah Kementerian Perusahaan Utama pada 1985. Sejak 2003, MFRDB dan FRIM dipindahkan ke bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE). Mulai 1 Oktober 2016, Akta FRIM telah dikuatkuasakan dan MFRDB digantikan oleh anggota Institut dengan tambahan empat orang wakil dari sektor korporat untuk membantu usaha komersialisasi. Pada 2 Julai 2018, NRE telah disusun semula menjadi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS).

Institut ini terletak di kawasan seluas 545 hektar bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Lagong di Kepong, kira-kira 16 km di barat laut dari Kuala Lumpur. FRIM yang diterajui oleh Dato’ Dr Abd Latif Mohmod sebagai Ketua Pengarah semenjak 2008 telah dianugerahkan pensijilan MS ISO 9001:2008 mulai 2010. Pada 2017, pensijilan MS ISO 9001:2008 FRIM telah berjaya dinaik taraf kepada MS ISO 9001:2015. FRIM telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Semula Jadi Negara pada 10 Februari 2009 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, dan diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah akta yang sama pada 10 Mei 2012. Kini, FRIM sedang menuju ke arah pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Pencalonan FRIM telah diterima semasa persidangan Jawatankuasa Warisan Dunia (World Heritage Committee) ke-41 di Krakow, Poland pada 7 Julai 2017. 

 

Aktiviti-aktiviti penyelidikan FRIM dikendalikan mengikut bahagian yang berikut:

  • Perhutanan dan Alam Sekitar: Membangunkan teknologi dan menyediakan penyelesaian untuk menyokong dan memastikan pengurusan mampan sumber dan perkhidmatan ekosistem hutan asli, bandar dan rekreasi.
  • Bioteknologi Perhutanan: Membangunkan teknologi dan produk berasaskan sumber kepelbagaian biologi (biodiversiti) hutan dan ladang herba untuk industri berkaitan melalui pendekatan bioteknologi.
  • Keluaran Hutan: Memberi tumpuan kepada pembangunan penyelidikan, pembangunan dan komersialisasi (R,D&C) ke arah peningkatan ketahanan, hayat perkhidmatan dan penggunaan sumber kayu dan bahan-bahan lignoselulosa sedia ada untuk menghasilkan pelbagai produk yang berkualiti dan bernilai tambah tinggi.
  • Biodiversiti Hutan: Menyediakan dan membangunkan pengetahuan saintifik yang penting bagi melindungi biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem di Malaysia untuk pengurusan bijak dan mampan.
  • Hasilan Semula Jadi: Menyokong agenda bioekonomi negara melalui pemerkasaan industri berasaskan produk semula jadi dengan memastikan keselamatan bekalan bahan mentah bioaktif.
  • Ekonomi dan Analisa Strategik: Menjalankan penyelidikan sosioekonomi dan analisis strategik mengenai isu-isu perhutanan dan alam sekitar untuk pembangunan negara.

Hasil penyelidikan FRIM diterbitkan dalam jurnal-jurnal sains yang diwasit/diulas oleh rakan-rakan saintis lain dan juga dikongsi dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan yang terlibat dalam pengawalan dan pengurusan hutan, serta industri perhutanan. 

Penyelidik FRIM telah memperoleh rekod yang mantap dengan memenangi pelbagai anugerah untuk hasil penyelidikan mereka. Anugerah yang dimenangi termasuklah bagi penyelidikan mengenai penggunaan kayu getah di Pameran Perabot Antarabangsa Cologne (1995); dan bagi pemerah serat kelapa sawit di Pameran Antarabangsa Geneva Invention ke-25 (1997); Anugerah Pencapaian Saintifik Kesatuan Antarabangsa Pertubuhan Penyelidikan Perhutanan (IUFRO), (1995, 2000 & 2010); Anugerah Sains Antarabangsa Toray (1999); Anugerah Pencipta Petronas (1992 & 1994); Anugerah Perekacipta Negara (1995 & 1997); Anugerah MINDEX/INNOTEX (1993 & 1995); Anugerah Langkawi (1991); Anugerah Jabatan Perkhidmatan Awam (1996); Anugerah Saintis Muda Negara (1993); Anugerah Merdeka (2012); Pingat Linnean (Botani), (2015); dan Japanese International Award for Young Agricultural Researchers (2009, 2013 & 2018).

Pada 2009, FRIM menerima Anugerah Nikkei Asia untuk sumbangan terhadap perlindungan alam sekitar di rantau ini dan Anugerah Sains Mahathir sebagai pengiktirafan sumbangannya kepada penyelidikan dan pembangunan industri getah Malaysia. Selain itu, FRIM telah memenangi Anugerah BrandLaureate (2010-2011 & 2012) untuk Jenama Terbaik dalam Perhutanan dan Pemuliharaan Alam Sekitar; Anugerah Sains dan Teknologi Bank Pembangunan Islam (IDB) 2012; serta Anugerah Buku Negara (2010, 2012, 2013, 2016 & 2019). FRIM juga memenangi Anugerah Buku ASEAN 2019 bagi kategori Institusi Penyelidikan.

FRIM berjaya meraih Anugerah Inovasi Negara 2013 (Kategori Produk) dan Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2014 (Kategori Paten) untuk sistem rawatan kayu melalui Pengeringan Suhu Tinggi (HTD). Pada 2014, FRIM juga diiktiraf sebagai Pusat Pensahihan Herba oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Pangkalan data Malaysia Biological Diversity Clearing House Mechanism (MyCHM) yang dibangunkan oleh FRIM menerima Anugerah Emas bagi Malaysia di Persidangan ke-13 Negara-negara Anggota kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (COP13), di Cancun, Mexico pada Disember 2016. Inovasi ‘Aedes Bio-Based Fuel’ (ABBF) FRIM turut menerima pingat emas di Pameran Reka Cipta Antarabangsa ke-45 di Geneva pada Mac 2017 serta Anugerah Khas Inovasi Hijau daripada Negeri Selangor pada Oktober 2017. Journal of Tropical Forest Science (JTFS) terbitan FRIM telah mendapat Sijil Pengiktirafan Skim Galakan Penerbitan (CREAM) bagi kategori Jurnal Berprestasi Tinggi Diindeks dalam Web of Science pada 2018. FRIM turut menerima beberapa rekod baharu daripada Malaysia Book of Records (MBR) dan kini memegang 38 MBR.

FRIM juga merupakan salah satu destinasi ekopelancongan yang paling popular di Malaysia. Kampus utamanya di Kepong menawarkan pelbagai tarikan dan aktiviti rekreasi untuk pengunjung termasuk jelajah denai alam, mandi di kawasan perkelahan, aktiviti pendidikan alam, tapak perkhemahan dan perkelahan, taman botani dan arboreta.

 

Visi

Menerajui kepimpinan dalam memacu program penyelidikan, pembangunan, komersialisasi dan aplikasi R&D perhutanan tropika negara.

Misi

Mempergiat aktiviti R&D, melibatkan komuniti untuk perkongsian faedah, meningkatkan pemindahan teknologi serta memperkasakan pengetahuan berasaskan sains dalam menangani isu-isu tempatan dan global berkaitan hutan yang memberi impak terhadap biodiversiti, alam sekitar dan industri negara.

Objektif Umum FRIM adalah untuk:

  • Menjana pengetahuan saintifik bagi pemahaman, pengurusan dan penggunaan sumber hutan
  • Mencapai kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan dengan penggunaan alat saintifik terkini
  • Mengkaji kepelbagaian biologi bagi menghasilkan produk berguna melalui penyelidikan dan pembangunan yang intensif
  • Memajukan teknologi berkaitan bagi memenuhi keperluan industri perhutanan
  • Mempakejkan hasil penyelidikan dan pembangunan untuk disebar kepada pelanggan
  • Mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan melalui pemindahan teknologi kepada pihak yang berminat
  • Menyediakan perkhidmatan cemerlang untuk memenuhi kepuasan pelanggan
  • Mewujudkan kerjasama strategik dengan agensi tempatan dan antarabangsa
  • Meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan alam sekitar dan pemuliharaan kepelbagaian biologi hutan

Objektif Operasi FRIM adalah untuk:

  • Menyediakan program pembangunan sumber manusia bagi melahirkan golongan saintis yang berwibawa dan kompeten
  • Menyediakan suasana kerja yang kondusif bagi menggalakkan cetusan idea di kalangan saintis dan perhubungan lebih rapat dengan pelanggan
  • Menyebarkan hasil teknologi, penyelidikan serta memberi perkhidmatan nasihat dan teknikal yang tepat dan profesional
  • Menyediakan penyelesaian praktikal kepada masalah berkaitan pengurusan dan penggunaan sumber dan hasil hutan
  • Menyediakan kemudahan dan memberi perkhidmatan profesional dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap alam sekitar

Fungsi

  • Merancang dan melaksanakan penyelidikan bagi pembangunan sektor perhutanan dan pemuliharaan sumber hutan.
  • Memperoleh dan menyebarkan maklumat hasil penyelidikan bagi meningkatkan pengurusan hutan dan penggunaan hasil hutan
  • Mengadakan hubungan kerjasama penyelidikan dan pembangunan perhutanan dengan badan-badan dalam dan luar Malaysia

Dasar Kualiti Korporat FRIM

Komited menyediakan perkhidmatan penyelidikan dan perkhidmatan sokongan berkaitan dengan cekap dan berkesan bagi memenuhi keperluan pelanggannya. Kami akan memastikan semua yang bekerja dengan kami bersama-sama bertanggungjawab dan mematuhi standard kualiti yang telah ditetapkan. FRIM akan melaksanakan penambahbaikan berterusan bagi meningkatkan keberkesanan sistem berkaitan.

Dasar Kualiti Operasi

Kami di FRIM bertanggungjawab:

  • menjalankan penyelidikan dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti secara profesional bersesuaian dengan keperluan dan jangkaan pelanggan dalam bidang perhutanan tropika dan keluaran hutan,
  • melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) secara berkesan untuk skop perkhidmatan penyelidikan, latihan, ujian & tentukuran, jualan, sewaan, perundingan dan khidmat nasihat yang memenuhi keperluan ISO 9001,
  • memantau keberkesanan pelaksanaan SPK melalui maklum balas yang diterima daripada pelanggan,
  • memastikan peningkatan secara berterusan ke atas objektif kualiti yang sedia ada melalui tindakan pembetulan dan pencegahan berdasarkan hasil analisis petunjuk kualiti yang dilakukan secara konsisten dan menyeluruh,
  • memastikan semua prosedur dan perkhidmatan yang disediakan untuk pelanggan melalui proses penyemakan agar standard yang ditetapkan dapat dicapai,
  • memastikan sebarang kegagalan dalam mencapai standard yang ditetapkan akan disemak dan dinilai untuk digunakan sebagai rujukan dalam proses peningkatan berterusan,
  • memastikan dasar ini difahami oleh kakitangan FRIM melalui taklimat, mesyuarat dan pameran poster, dan
  • memastikan setiap kakitangan FRIM melaksanakan polisi dan prosedur dalam semua aspek perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.