Pengenalan

Last modified: Mei 30, 2017

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) ialah salah sebuah institusi yang terkemuka dalam penyelidikan perhutanan tropika di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1929, FRIM yang dahulunya dikenali sebagai Institut Penyelidikan Perhutanan (IPP) menjadi sebuah badan berkanun sepenuhnya dengan ditadbir oleh Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB) di bawah Kementerian Perusahaan Utama pada 1985.
Sejak tahun 2003, kedua-dua FRIM dan MFRDB telah dipindahkan ke bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Institut ini terletak di kawasan seluas 545 hektar bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Lagong di perbandaran Kepong, kira-kira 16 km barat laut dari Kuala Lumpur. FRIM yang diterajui Dato’ Dr Abd Latif Mohmod sebagai Ketua Pengarah semenjak tahun 2008 telah dianugerahkan pensijilan MS ISO 9001:2000 pada Disember 2007. FRIM kemudiannya telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Semula Jadi pada 10 Februari 2009 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, dan diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah akta yang sama pada 10 Mei 2012.

Bidang Penyelidikan

Aktiviti-aktiviti penyelidikan FRIM dikendalikan mengikut bahagian yang berikut:

  • Perhutanan dan Alam Sekitar: Membangunkan teknologi dan menyediakan penyelesaian untuk menyokong dan memastikan pengurusan secara mampan terhadap sumber-sumber dan perkhidmatan ekosistem hutan asli, bandar dan rekreasi.
  • Bioteknologi Perhutanan: Membangunkan teknologi dan produk berasaskan sumber kepelbagaian biologi (biodiversiti) hutan dan ladang herba untuk industri berkaitan melalui pendekatan bioteknologi.
  • Keluaran Hutan: Memberi tumpuan pada pembangunan penyelidikan, pembangunan dan komersialisasi (R,D&C) ke arah peningkatan ketahanan, hayat perkhidmatan dan penggunaan sumber kayu dan bahan-bahan lignoselulosa sedia ada untuk menghasilkan pelbagai produk yang berkualiti dan bernilai tambah tinggi.
  • Biodiversiti Hutan: Menyedia dan membangunkan pengetahuan saintifik penting bagi melindungi biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem di Malaysia untuk pengurusan bijak dan mampan.
  • Produk Asli: Menyokong agenda bioekonomi negara melalui pemerkasaan industri berasaskan produk semula jadi dengan memastikan keselamatan bekalan bahan mentah bioaktif.
  • Ekonomi dan Analisis Strategik: Menjalankan penyelidikan sosioekonomi dan analisis strategik mengenai isu-isu perhutanan dan alam sekitar untuk pembangunan negara.Hasil penyelidikan FRIM diterbitkan dalam jurnal-jurnal sains yang disemak/diulas oleh rakan-rakan saintis lain dan juga dikongsi dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan yang terlibat dalam pengawalan dan pengurusan hutan, serta industri perhutanan.

Anugerah Penyelidikan

Penyelidik FRIM telah mencatatkan kejayaan yang cemerlang dengan memenangi pelbagai anugerah untuk hasil penyelidikan mereka. Anugerah yang dimenangi termasuklah penyelidikan mengenai penggunaan kayu getah di Pameran Perabot Antarabangsa Cologne (1995); dan pemerah serat kelapa sawit di Pameran Antarabangsa yang ke-25 di Geneva Invention (1997); Anugerah Pencapaian Saintifik Kesatuan Antarabangsa Pertubuhan Penyelidikan Perhutanan (IUFRO) (1995, 2000 & 2010); Anugerah Sains Antarabangsa Toray (1999); Anugerah Pencipta Petronas (1992, 1994); Anugerah Pereka Cipta Kebangsaan (1995 & 1997); MINDEX Anugerah INNOTEX / (1993, 1995); Anugerah Langkawi (1991); Anugerah Jabatan Perkhidmatan Awam (1996); Anugerah Sains Negara (1993) dan Japanese International Award for Young Agricultural Researchers (2009 & 2013).

Pada tahun 2009, FRIM menerima Anugerah Nikkei Asia untuk sumbangan terhadap perlindungan alam sekitar di rantau ini dan Anugerah Sains Mahathir sebagai pengiktirafan sumbangannya kepada penyelidikan dan pembangunan industri getah Malaysia. Selain itu, FRIM juga telah memenangi Anugerah Buku Negara (2010, 2012 & 2013); Anugerah BrandLaureate (2010-2011 & 2012) untuk Jenama Terbaik dalam Perhutanan Alam Sekitar Pemuliharaan; Anugerah Socrates Antarabangsa untuk Best Enterprise (Penyelidikan Gunaan & Pencapaian Saintifik) 2011; Anugerah Sains dan Teknologi Bank Pembangunan Islam (IDB) 2012; dan International Diamond Prize 2012 untuk kecemerlangan dalam kualiti. Baru-baru ini, FRIM berjaya meraih Anugerah Inovasi Negara 2013 untuk sistem rawatan kayu melalui Pengeringan Suhu Tinggi (HTD).

FRIM merupakan salah satu destinasi ekopelancongan yang paling popular di Malaysia. Kampus utamanya di Kepong menawarkan pelbagai tarikan dan aktiviti rekreasi untuk pengunjung termasuk jelajah denai alam, mandi air terjun, aktiviti pendidikan alam, tapak perkhemahan dan perkelahan, taman botani dan arboreta. Salah satu tarikan utama ialah Titian Silara FRIM sepanjang 150 m dan 30 m dari aras tanah.


Visi
Menjadi peneraju dalam penyelidikan, pembangunan, komersialisasi dan aplikasi perhutanan tropika menjelang tahun 2030.
Misi

Memperkasakan penyelidikan dan pembangunan, pemindahan teknologi dan penyelesaian permasalah industri secara saintifik bagi memenuhi keperluan perhutanan tropika masa kini dan akan datang.

Objektif Umum FRIM adalah untuk:

  • Menjana pengetahuan saintifik bagi pemahaman, pengurusan dan penggunaan sumber hutan.
  • Mencapai kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan dengan penggunaan alat saintifik terkini
    Mengkaji kepelbagaian biologi bagi menghasilkan produk berguna melalui penyelidikan dan pembangunan yang intensif
  • Memajukan teknologi berkaitan bagi memenuhi keperluan industri perhutanan
  • Mempakejkan hasil penyelidikan dan pembangunan untuk disebar kepada pelanggan
  • Mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan melalui pemindahan teknologi kepada pihak yang berminat
  • Menyediakan perkhidmatan cemerlang untuk memenuhi kepuasan pelanggan
  • Mewujudkan kerjasama strategik dengan agensi tempatan dan antarabangsa
  • Meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan alam sekitar dan pemuliharaan kepelbagaian biologi hutan

Objektif Operasi FRIM adalah untuk:

  • Menyediakan program pembangunan sumber manusia bagi melahirkan golongan saintis yang berwibawa dan kompeten
  • Menyediakan suasana kerja yang kondusif bagi menggalakkan cetusan idea di kalangan saintis dan perhubungan lebih rapat dengan pelanggan
  • Menyebarkan hasil teknologi, penyelidikan serta memberi perkhidmatan nasihat dan teknikal yang tepat dan profesional
  • Menyediakan penyelesaian praktikal kepada masalah berkaitan pengurusan dan penggunaan sumber dan hasil hutan
  • Menyediakan kemudahan dan memberi perkhidmatan profesional dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap alam sekitar

Fungsi

  • Merancang dan melaksanakan penyelidikan bagi pembangunan sektor perhutanan dan pemuliharaan sumber hutan.
  • Memperoleh dan menyebarkan maklumat hasil penyelidikan bagi meningkatkan pengurusan hutan dan penggunaan hasil hutan
  • Mengadakan hubungan kerjasama penyelidikan dan pembangunan perhutanan dengan badan-badan dalam dan luar Malaysia

DASAR KUALITI KORPORAT FRIM

Komited menyediakan perkhidmatan penyelidikan dan perkhidmatan sokongan berkaitan dengan cekap dan berkesan bagi memenuhi keperluan pelanggannya. Kami akan memastikan semua yang bekerja dengan kami bersama-sama bertanggungjawab dan mematuhi standard kualiti yang telah ditetapkan. FRIM akan melaksanakan penambahbaikan berterusan bagi meningkatkan keberkesanan sistem berkaitan.

DASAR KUALITI OPERASI

Kami di FRIM bertanggungjawab:

  • menjalankan penyelidikan dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti secara profesional bersesuaian dengan keperluan dan jangkaan pelanggan dalam bidang perhutanan tropika dan keluaran hutan,
  • melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) secara berkesan untuk skop perkhidmatan penyelidikan, latihan, ujian & tentukuran, jualan, sewaan, perundingan dan khidmat nasihat yang memenuhi keperluan ISO 9001,
  • memantau keberkesanan pelaksanaan SPK melalui maklum balas yang diterima daripada pelanggan,
  • memastikan peningkatan secara berterusan ke atas objektif kualiti yang sedia ada melalui tindakan pembetulan dan pencegahan berdasarkan hasil analisis petunjuk kualiti yang dilakukan secara konsisten dan menyeluruh,
  • memastikan semua prosedur dan perkhidmatan yang disediakan untuk pelanggan melalui proses penyemakan agar standard yang ditetapkan dapat dicapai,
  • memastikan sebarang kegagalan dalam mencapai standard yang ditetapkan akan disemak dan dinilai untuk digunakan sebagai rujukan dalam proses peningkatan berterusan,
  • memastikan dasar ini difahami oleh kakitangan FRIM melalui taklimat, mesyuarat dan pameran poster, dan
  • memastikan setiap kakitangan FRIM melaksanakan polisi dan prosedur dalam semua aspek perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan.

4.7 (93.17%) 41 votes

.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),
52109 Kepong, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
G : 3.2464539,101.643837
T : 603-62797000
F : 603 62731314
E : feedback@frim.gov.my

.

Jumlah pengunjung:

wordpress counter sejak 23 Jun 2014

Paparan Terbaik : Firefox 15+, Internet Explorer 10+, Chrome 3+
Resolusi : 1280 X 1024, Responsive

.

frim-iso frim-5s frim-ipv62 frim-1malaysia frim-mygov frim-msc frim-mampu frim-nre
Font Resize
Contrast